Thursday, May 12, 2011

Pada Semua.. Ada Ekspresi.Pernah

Salaam/Regards,


Untuk entri ketiga bagi hari ini, ingin saya berkongsi tujuh foto yang tertangkap melalui SE J20i Hazel saya. Lama sudah gambar ini, cuma tidak terpos. Baru tadi saya menyelongkar segala galeri yang ada di dalam komputer riba, mencari sesuatu. Akhirnya, ini juga yang saya jumpa. Sekali nampak, tiada apa yang istimewa.  Tiada?? ..mari kita selidiki semantik mereka.


Memandang foto yang ini, hatiku tiba-tiba tertusuk dengan suatu rasa yang sangat  menyedihkan. Rasa itu  menggaru kasar hatiku. Rasa itu menghujatku. Inilah aku, seperti penyapu. Penilaian bukan fizikal yang aku buat, tetapi berbentuk sarkasm. Aku seperti penyapu, disingkirkan dan kadang-kadang memilih untuk menyingkirkan diri. Kadang-kadang. Aku tidak suka kekotoran, tetapi itulah yang kutentang setiap.  Aku benci kejijikan, luar dan dalam. Untuk memilih mana yang lebih kuperangi, aku pilih dalaman.
Faceless.. identiti tiada rupa. Terbungkam diri bila kesedaran mengetuk kekosongan. Bergema dan bertaluan ketukan itu, menggegar sukma, menyiksa jiwa. Bukan aku yang memilih begini, tetapi engkau yang lebih rela begitu. Untuk sampai saat ini, biarlah aku berkorban. Tanpa wajah, aku masih manusia.
"Persoalan dalam alam semesta yang paling misterius adalah diri kita sendiri..", itu kata ahli falsafah Eropah yang sangat kukagumi, Mark Twain. Benar apa yang beliau misalkan. Kenyataan beliau itu tidak beranjak sedikitpun daripada realit; betul amat. Kita bekerja di siang hari, makan, minum, bergembira dan beriadah bersama keluarga. Kita tergelak tersenyum, geli hati dan terhibur; dari awal terbit mentari sehinggalah ke matahari terbenam. 
Pernah tidak di tengah malam, anda tidak bisa tidur. Seperti ada sesuatu yang tidak lengkap dalam jiwa kita. Apakah belaian, usapan dan suapan zahir siang tadi tidak mencukupi? Apakah zahir masih lapar lagi? Tahukah anda yang merengek di dalam juzuk anda adalah JIWA. Jiwa perlukan belaian, perlukan pedoman dan tauladan. Jiwa perlukan sesuap kisah untuknya mencerna. Setelah kenyang zahir, ruuh masih kebuluran, rindu pada sekilas pandang ilmu. Pada sesaat sujud. Berilah ruuh hak yang sepatutnya. 
Menggigit parah, pada hati. Kesilapan yang tidak mungkin bisa ada undurnya. Namun pengajaran.. pengajaran akan sentiasa menjadi badi kemusnahan. Reja kegagalan. Jatuh bukan alasan untuk tidak bangkit, dan luka bukan sebab untuk tidak sembuh. Jalan.. jalan senantiasa ada terbuka, cuma kita terlalu mengagungkan kepuasan mata zahir, menyembunyikan betapa rindunya mata hati kita untuk menilai dunia. 
Apakah kita pernah beri peluang kepada hati untuk melihat dunia luar? Untuk punya ruang berekspresi? Hah, dan kita salahkan kekurangan zahiriah sebagai punca derita. Buka hatimu pada keluwesan. Hati adalah burung merpati putih di sangkar emas. Meskipun mewah, tanpa sedikit kebebasan, ianya seakan mati. Tiada nilai.
Pada keping-keping kaca, ada kesan darah. Darah bukan darah diraja; ia darah  manusia yang membongkok setengah hari di antara lautan selut. Membanting nyawa, berhempas-pulas nyawa untuk bertahan. Kaca itu bukan perangkap, bukan.. kaca itu hasil titik peluhnya. Hasil setengah umurnya berjemur antara hidup dan keterpaksaan.
Aku bukan anti-kerajaan, aku pro-rakyat. Kenapa petani kita perlu bersia-sia memeras seluruh tubuh, menyeru segenap tenaga untuk suatu kesia-siaan? Mengapa dibiarkan mereka basah dengan lumpur dan keringat, tidak dilap sekurang-kurangnya dengan kain harapan. Bahawa esok tidak lagi begini.
Wahai petaniku sayang, teruskan membongkok pada takdir, tetapi bangkitlah pada realiti. Letakkan cangkulmu, kita berpimpinan. Depan duta, depan parlimen kita sorak harapan; royalti, hak dan kewarganegaraan. Kita tanya mereka, untuk siapa mereka berjuang? Untuk siapa mereka menduduki takhta?
Hujan.. suatu manifestasi wujud rahmat. Suatu simptom ilahiah, petanda WujudNya Dia yang memerintah. Melihat setiap getar bisikan yang sesunyi-sunyinya, bergementaran pada kekosongan hendak. Mana tahu rahmat belum capai, mana tahu. Jiwa yang fakih sedar hujan adalah kiriman salam Tuhan, lalu disambutnya dengan senyuman dia dengan Tuhan. Nafi dia, tidak. Dia tidak nafi hujan jerangkap maut, hujan punca celaka sungai.. pada yang tidak bersedia, hujan pengangkutan ke lubang neraka. Pada yang sudah gagah meyakini diri dan iman, bersandar pada pasrah. Jadi atau tidak banjir, tiada berkisah. Yang penting bertemu hakikat kemustahilan. Bertemu Pencipta yang dirunduinya setiap malam.  
Intelektualisme ialah sesuatu yang tidak mampu dicabar. Sekuat manapun mentaliti, kewarasan harus ada, harus jaga. Kerana dengan kewarasan, semuanya jadi rasional. Ketidaksanggupan menghadap lupus saudara bukanlah namanya perjuangan. Tidak penting siapa yang bunuh, yang penting kenapa dibunuh. Yang penting pengajaran dari kematiannya. Itulah yang tidak sia-sia.

No comments:

Post a Comment

Ohana :)