Saturday, July 2, 2011

Kisah Seorang Menteri Agung

Salaam.. sekadar berkongsi (tiada kaitan dengan hidup mahupun yang telah meninggal dunia):

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sebermula, tersebutlah kisah seorang maharaja China yang sangat menyentuh hati. Tiadalah pula alkisah ini didapati dalam mana-mana kitab, melainkan ianya hanya dongengan yang mengandungi unsur ilmu dan kemanusiaan. Kisah ini berlatarkan sebuah empayar yang diperintah oleh seorang maharaja muda yang baru setahun jagung bertatih dalam bidang pemerintahan.

Pada suatu hari, sang Maharaja berhasrat untuk turun dari kerusi takhta demi melawati rakyat jelatanya. Dikatakan maharaja ini orangnya sengkek dan ego, begitupun dia adalah sedikit jahil daripada barisan menterinya. Suaranya tidak boleh dibantah. Kalau dibantah, adalaha kepala yang terpisah dari badan. Pernah suatu hari, baginda sedang makan, lalu dirasakannya makanan yang dijamahnya basi. Segera dia bertitah agar dipanggilkan si tukang masak bagi menerangkan situasi sebenar. Kasihan.. belumpun sempat si tukang masak membela diri, sudah algojo menghayun pedang. Memercik darah.

Memandangkan dia belum pernah melihat dunia di bawah mahligainya, maka rasa kekok dan tidak selesa bertandang saat pertama kali kakinya menjejak tanah. Baginda sebenarnya mempunyai sejenis penyakit yang menghalangnya dari memijak tanah. Pada setiap langkah, ada rasa geli dan keras; panas dan tajam. Semuanya menyebabkan si maharaja berjalan kurang selesa. Mengeluh  maharaja ini. Lalu baginda meminta sida-sidanya untuk mendukungnya semula ke istananya. Itulah yang diperbuat mereka.

"Aah, sakitnya!!" jerit si maharaja saat tukang urut diraja melumurkan sedikit minyak urut ke kaki raja. Menggeleng kepala dia, memikirkan rajanya yang punya empayar berjuta ekar luas, tidak pernah memijak seincipun tanah yang baginda miliki. Tidak dapat menahan ketawa, akhirnya si tukang urut tergelak. Matilah  jua dia di pedang algojo.

Sambil mengurut-urut kakinya, baginda memanggil segala barisan sida, menteri dan penasihat untuk memikirkan cara terbaik bagi menyelesaikan masalah yang sedang baginda hadapi. Mendengarkan saja titah si maharaja bongkak, maka berkumpullah ratusan sida dan puluhan menteri. Menteri yang paling senior duduk sedikit rendah di sebelah kanan maharaja egois itu. Menteri Agung itu tidak baginda berapa suka, dikeranakan sikapnya yang baginda rasa, suka memandai-mandai. Para dayang yang mengiringi permaisuri kemudian dilihat masuk berpusu-pusu.

"Man shoi, man shoi, man, man shoi!" Semua menjerit penuh ketaatan. Melutut.

"Bangun semua!" titah sang maharaja, lalu menyambung, "Hari ini, buat pertama kali beta terpaksa menangguhkan kehendak beta untuk turun melawat tanah jajahan beta sendiri! Sebabnya, tiada tempat sesuai untuk kaki beta yang mulia ini untuk melangkah. Apa yang kamu semua telah lakukan sepanjang hari ini, hah!?"

Si Menteri Agung yang sudah tua, berdiri. Janggutnya yang lebat melepasi paras pinggang dilurutkan agar rata dan sekata. Lantas dengan penuh wibawa, dia menjawab,

"Bukankah tuanku yang menyuruh kami semua melakukan perbincangan untuk menakluk wilayah Xinjiang? Maka itulah yang kami lakukan sehari-hari.."

"Berani menjawab kamu, yah! Tangkap dia dan pancung dia!"

Kelihatan para pengawal yang berbaju hijau gelap, pudar keluar bergerombolan dari belakang takhta. Ada yang membawa lembing dan ada pula yang menghunus pedang. Mereka segera mengepung si Menteri Agung, lalu menangkapnya. Sekejap saja, si menteri yang sudah mencapai usia sembilan puluh tahun itu diikat pada tiang istana. Ratusan sida dan menteri hanya mampu melihat dengan perasaan hiba. Mereka sangat sayangkan menteri yang satu ini, atas jasanya mengembangkan empayar yang sekarang dimiliki maharaja zalim itu. Namun seorang pemuda yang juga sida, yang juga anak Menteri Agung itu berdiri, lalu berkata,

"Wahai tuanku, dia telah berkhidmat dengan ayahanda tuanku selama empat puluh tahun dan dengan tuanku juga, selama sepuluh tahun. Atas nasihatnyalah, kerajaan ini berkembang sehinggalah ke Mongolia. Atas nasihatnya jugalah, kita berupaya menyekat serangan orang gasar. Inikah balasannya?"

Mata maharaja berkaca dalam kegeraman yang amat sangat.

"Tangkap juga dia.. dan bunuh keduanya!"

Gerombolan soldadu berbaju hijau tadi menurut titah. Ikatan pada istana dilonggarkan, lalu disimpulkan pada sangkar besar. Ditendang mereka masuk ke dalam dan dijolok dengan buntut lembing. Ada juga dalam kalangan tentera itu melaksanakan titah dengan air mata, lantaran Menteri Agung itulah Jeneral mereka di medan perang. Tetapi sudah kehendak hati maharaja.

Setelah dekat setengah jam diperlakukan sedemikian, maka berdarahlah seluruh badan Menteri Agung. Dahinya yang penuh dengan kerut hikmah, turut berdarah. Anaknya menekup punca pendarahan itu, sedang dirinya sendiri mengalami pendarahan teruk. Menteri Agung yang semakin kehilangan nafas, lantas berdiri di dalam sangkar itu, lalu berkata,

"Demi nama ayahanda tuanku, patik akan tetap mentaati tuanku meskipun begini."

Si maharaja tidak terkesan sedikitpun dengan kata-kata yang sungguh menyentuh hati itu. Sang permaisuri yang sedang bersimpuh, menangis melihat kesetiaan Menteri Agung yang tidak berbelah-bahagi, dibalas sedemikian rupa. Sendunya disertai para dayang, ratusan sida dan menteri. Namun apalah daya mereka semua untuk menentang dasar autokrasi maharaja itu.

"Bawa mereka pergi, dan humbankan ke gaung!!" teriak maharaja itu. Mukanya merah padam.

"Tuanku, kesetiaanku dan kebijaksanaanku ada pada sebuah kotak di penjuru kamarku!" jerit si Menteri Agung, sebelum lesap dari pandangan maharaja. Pintu yang luas terbuka, ditutup semula. Kedengaran esakan memenuhi ruang singgahsana. Tidak tahan hati pula baginda.

"Wahai kalian, mengapakah semuanya menangis?? Bukankah beta telah melakukan yang terbaik, yakni menghidari pembelot!? Apakah kamu tidak menyetujui keputusan beta??"

"Tidak, tuanku. Cuma tuanku telah menzalimi seorang yang sangat ayahanda tuanku cintai. Yang sangat berjasa kepada dinasti kita. Apakah tidak kami menangis mengingatkan bahawa semua harta yang menghias istana ini hasil kepintarannya!?"

"Sudah! Beta tidak suka rakyat yang lembik. sekarang fikirkan cara bagaimana untuk merubah tanah jajahan ini menjadi sesuatu yang enak untuk dipijak.. cepat fikir! Beta bagi masa semalaman untuk kalian berfikir."

"Baiklah, tuanku. Sekarang juga kami usahakan." Menteri yang berdiri tadi kembali melutut, dengan air mata melenturi wajahnya. Baginya. Menteri Agung itulah mentornya yang selama ini mendidik dia dari taktik perang ke protokol istana. Beliaulah yang menyelamatkan nyawanya suatu masa dahulu, ketika dia jatuh dari kuda tunggangannya. 

Bersurai.

Keesokan harinya, semua menteri dan sida berkumpul. Semuanya berbincang sesama sendiri, mengambil peluang atas masa baginda yang belum hadir. Semuanya berfikir dan untuk mencapai konsensus. Maharaja datang. Gong dipalu dan--seperti kebiasaannya--semua tunduk melutut. Tangan dikepal lalu dihalakan pada pandangan maharaja itu. 

"Sejahtera seribu tahun, tuanku!". Seluruh penghuni ruang singgahsana memberikan tunduk hormat.

"Sudah, sudah.. bangun semua!. Sekarang bentangkan rancangan kamu!"

Seorang sida, yang mengetuai barisan sida berjubah merah bangkit. Sebelum itu, tunduk dia sedikit bagi memohon izin. Maharaja mengangguk. Kawan baik mendiang menteri tadi menoleh, ingin melihat gerangan yang mempunyai idea itu dan segera jugalah dia mencebik bibir. Si pengampu maharaja.

"Wahai maharajaku yang baik hati, yang aku sanjungi sampai ke bulan tinggi, patik sudahpun memikirkan suatu cara untuk tuanku. Supayanya bolehlah kiranya kaki tuanku yang mulus berjalan melihat barang tanah jajahan.."

"Apa dia?"

"Apa kata jika kita bentangkan karpet dari kulit lembu dan rusa, kambing dan kerbau ke seluruh pelusuk empayar tuanku yang luas dan indah ini untuk dijadikan karpet? Lalu kita bina pula bumbung dari hampas padi serta jerami; dari pelepah-pelepah kelapa yang kita rampas dari kerajaan Melayu itu agar tuanku selamat dari sinaran mentari, mahupun hujan yang membekukan? Bagaimana?"

"Waah, kamu bukan saja mempunyai mulut yang manis, malah otak yang bergeliga pul-"

"Nanti! ..maafkan patik, tuanku. Cadangan si pengampu ini tidak praktikal. Mana mungkin kita perlu mengorbankan seluruh aset kerbau, sapi, kambing, rusa, padi, serta pelepah-pelepah kelapa kita yang berharga untuk membina semua itu. Ianya tidak praktikal!"

Si sida pengampu berang. "Hey, siapa yang kamu panggil pengampu? Apa kamu ada cadangan lain?"
Diam dan sunyi. Tiada balasan dari menteri yang membangkang tadi melainkan suatu gelengan yang perlahan. "Kalaulah Menteri Agung masih hidup..."

"Hehh, kalau begitu, jalankan cepat projek ini! Beta tidak sabar untuk melawati kawasan jajahan beta sendiri. Kamu, Sida Yoon; saya naikkan gaji tahunan kamu.."

Tersenyum pengampu kepuasan. Matanya melirik kepada menteri kawan mendiang Menteri Agung tadi. Berlawan pandangan. Tunduk dengan air mata. "Menteri Agung, engkau pergi terlalu awal.."

Projek bermula. Kesemua simpanan ternakan yang berkulit tebal: dari kerbau, kambing, biri-biri sehinggalah kepada unta; semuanya dibunuh untuk diambil kulitnya. Lalu dikaitkan bersama, membentuk karpet. Begitupun setelah semua ternakan dibunuh, tiadalah cukup untuk menutupi tanah. Satu per seratuspun tidak sampai.

Begitu juga dengan projek bumbung mega yang dicanang-canang baginda. Hanya barang dua ratus hektar saja yang mampu ditutupi langitnya. Ada baki dua juta hektar lagi, dan kesemua pagi, gandum, barli, kelapa malah lalang panjang sudah habis dikorbankan. Projek itu nyata menemui jalan buntu.

Dan beberapa bulan selepas itu, empayar yang selama ini maharaja itu bangga-banggakan mencapai titik keruntuhan. Aset yang dikorbankan tidak memungkin perdagangan berlaku. Ramai petani memberontak pula, dibunuh, sebelum ribuan lagi askar mati kelaparan. Dayang-dayang yang selama ini menghiasi taman-taman istana, mati semuanya-akibat kebuluran. Tinggallah si maharaja yang termangu di atas kerusi takhta, permaisurinya yang sedang mengandung, para sida dan menteri. Tukang masak diraja tinggal seorang; sengsara dia memasakkan makanan untuk semua yang masih hidup.

Oh ya, sida pengampu tadi dipancung kerana kegagalan projek itu.

"Bukankah sudah kukatakan, wahai maharaja. Tindakan tuanku bukan sahaja membazir, malah menyebabkan empayar kita di ambang kematian..". Suara menteri yang menentang projek itu bergema, membunuh kesuraman singgahsana.

"Manalah beta tahu, bodoh! Salah kamu yang tidak menegaskan pikiranmu dulu.."

"Aah, sudahlah tuanku dengan ego tuanku yang tinggi! Kalaulah tuanku membiarkan membiarkan Menteri Agung hidup dan tidak membunuhnya, tentu dia mampu menolong kita menyelesaikan masalah tuanku. Sekarang ini, kita terpaksa berpindah ke negeri Sichuan untuk membina semula kerajaan yang mereja ini. Untuk itu, tuanku perlu berjalan kerana pengangkat tandupun sudah tewas semuanya. Mengharapkan sida-sida ini" Menteri menjeling ke belakang, ke arah para sida, "Sampai kiamatpun tidak terangkat".

Sang maharaja tunduk. Tiada sudah tentera untuknya mengarahkan agar dibunuh menteri yang sedang berhujah di depannya ini. Dan entah kenapa, hatinya terbuka untuk merenungi nasihat sang menteri. Baginda menyesal sungguh-sungguh. Memang betul, selama ini baginda terlalu memandang tinggi dirinya dan terlalu memandang hina orang yang bekerja di bawahnya. Tidak pernah dia menghargai sedikitpun segala titik peluh yang ditumpahkan mereka untuknya, terutama sekali, Menteri Agung.

Baginda dan para warga dinasti kini hanya mampu duduk memikirkan nasib empayar ini. Tiada apa yang dapat mereka lihat di hadapan, melainkan kemusnahan yang sudah sangat pasti. Semuanya tunduk buntu.

"Yaa.. mendiang Menteri Agung. Bukankah dia pernah berkata, 'kesetiaanku dan kebijaksanaanku ada pada sebuah kotak di penjuru kamarku' kepada tuanku? Tidakkah perlu kita melihat wasiatnya; mana tahu mampu membantu kita buat masa ini?" si Menteri bersuara. Kedengaran bisikan yang bersambungan dari barisan sida di belakang. Ada ramai yang mengangguk setuju dan membenarkan. Begitu jua baginda maharaja.

"Sida Chun, sila periksa bilik mendiang, di penjuru kamarnya. Di situ dia menyimpan kebijaksanaan dan kesetiaannya untuk beta!"

Seorang sida berdiri dan tangkas bergerak keluar singgahsana. Kelihatan jubah merahnya menyapu lantai istana, terlalu panjang. Dan seketika kemudian, dia kembali dengan sebuah kotak kecil di dalam genggaman.

"Tuanku, patik menemukan sesuatu! Patik menemukan sesuatu!"

"Haa.. apalah kotak kecil ini mampu lakukan.."

"Tuanku.. kita lihat dulu," nasihat menteri. Kotak bertukar tangan. Dari tangan Sida Chun ke tangan menteri, ke tangan permaisuri sebelum berpindah ke tangan maharaja sendiri. Dibukanya, ada dua helai kain lusuh dan sepucuk surat yang sudah kuning dimakan masa. Sang maharaja lantas membuka ikatana surat dan langsung membacanya dalam keadaan berbisik. Lama maharaja memerhatikan setiap aksara dan cuba memahami surat itu, sebelum matanya berkaca dan mengalirkan air mata. Buat pertama kali si maharaja yang sombong dan angkuh mengalirkan air mata. Semua yang sedang memerhatikan maharaja itu kehairanan.

"Kenapa, tuanku?". Sang menteri mendaki tangga kerusi takhta sebelum mengambil surat itu. Sang maharaja sudah tidak lagi menghalang. Sebelum ini, permaisuri sendiri tidak berani menjejakkan kaki ke tangga daulat itu. Yang baginda lakukan sekarang adalah menangis dan meraung. Kerinduannya pada sang Menteri Agung berwajah suci bertandang. 

Apakala menteri membacakan surat itu kepada mereka yang ada di singgahsana itu
"Sebenarnya, patik tidak ada apa-apa untuk disumbangkan kepada kerajaan tuanku melainkan baju sejuk dan kain buntil patik. Ikatlah baju sejuk yang tebal itu pada kaki baginda; semoga terhalang dari dicemari tanah dan gunakanlah kain buntil itu untuk dibuat payung; agar wajah mulai tuanku tidak terbakar dek matahari. Maafkan patik tuanku, kerana tidak mampu menjalankan tugas dengan baik.. cuma pesanan patik, 'Kita tidak patut merubah dunia untuk menjadikan diri kita lebih baik, namun kitalah yang patut berubah untuk menjadikan dunia ini lebih baik. Sejahtera seribu tahun, tuanku!"
Apalagi yang mampu dilakukan oleh kesemua pendengar melainkan menangis. Nama mendiang disebutkan dengan rasa rindu dan sayang. Sang menteri yang membaca wasiat itu lagilah; teresak-esak dia menahan sendu. Ternyata setelah kepergiannya pun, masih mampu berjasa.

"Yaa Menteri Aguuungg!!", jeritnya.

Lalu setelah itu, maharaja pun melakukan seperti apa yang disarankan mendiang. Mengikat kakinya dengan kain baju sejuk dan membuat payung kain yang satu lagi lalu berangkatlah mereka ke tanah Sichuan. Di sana, sang maharaja dan menteri membina semula empayar yang runtuh dan kali ini:- dengan sikap rendah diri dan baik hati. Terbinalah semula empayarnya dengan penuh kasih sayang dan suasana saling menghormati.

Tammat.

4 comments:

  1. Nice story..! I loike~~ Entri begini la entri jenis ringan sket.. Haha.

    ReplyDelete
  2. Nad: Maksud ko?? Terima kasih, yang penting mesej tu sampai.

    ReplyDelete
  3. Maksud sy, bacaan ringan la.. Bacaan berat mcm entri2 ko kebelakangan neh, ada juga terselit entri ringan mcm neh.. :) Sampai, memang sampai.. Masalahnya bahagian mengaplikasi..

    ReplyDelete
  4. BAHAGIAN MENGAPLIKASII!?!?!? HAHAHAHA *HEY, THAT LAST SENTENCE WAS FOR ME, RIGHT =,="*

    ReplyDelete

Ohana :)