If a man does his best, what else is there?" -General George S. Patton
Salaam...baru habis kelas untuk setengah hari ini. Separuh lagi bersambung jam 2.30PM nanti dan saya lantas mengambil kesempatan untuk mencoret sedikit pandangan (atau lebih sesuai, refleksi) berkenaan profesionalisme guru. Apa yang menjadikan manusia itu hebat dan profesional?
Ada dua idea yang dapat saya rumuskan hasil daripada perbincangan ilmiah dalam kuliah Pengantar Pendidikan tadi. Satunya adalah kenyataan bahawa guru profesional adalah guru yang mengikut silibus pendidikan, yakni melaksanakan seratus-peratus apa yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan. Bagi penyanjung idea ini, melanggar sukatan rasmi adalah tidak profesional dan tidak beretika; sepertinya melanggar peraturan sebagai guru yang bermajikankan Kerajaan. Mereka mementingkan nilai pasaran global yang kita tahu bersifat merit, di mana, hanya yang pandai sahaja yang mampu bersaing. Justeru, pembelajaran ditumpukan pada pencapaian akademik (berteraskan silibus) sahaja.
Gagasan idea kedua adalah idea bahawa guru profesional akan melaksanakan tugasnya ataupun amanahnya dengan telus dan ikhlas; dengan penuh perasaan dan penghayatan. Mereka tidak mementingkan penyampaian maklumat mengikut silibus yang sepatutnya, tetapi mereka berusaha membina daya fikir dalam diri kanak-kanak. Bagi golongan ini, maksud sebenar pendidikan adalah menumbuhkan bakat dan minat berdasarkan kehendak murid, dan bukan atas permintaan pasaran. Golongan ini tidak suka apabila murid-murid diperangkap akalnya dalam lingkungan sukatan. Mereka tidak mahu murid mereka tahu saja, tetapi faham dan sedar.
Pendapat saya: Bagi saya, adalah lebih baik jika kita membuka semula definisi dan maksud pendidikan itu sendiri. Juga perlu dibongkar adalah tujuan dan matlamat kita mengimplementasikan pendidikan. Tidak kiralah dalam keadaan formal dan bukan formal. Baiklah, izinkan saya bermula *bha, mulalah*.
Profesionalisme guru diukur pada betapa seriusnya dia melaksanakan amanah. Prinsip pertama dalam mendukung aspirasi negara dan sekaligus profesionalisme adalah dengan melakukan apa yang disuruh dan dituntut dengan sepenuh integriti. Tidak mementingkan diri dan tidak pula membawakan perkara peribadi ke dalam karier ini.
Begitupun, guru mestilah tidak dikekang pada silibus seliaan kerajaan. Pihak atasan perlu sedar bahawa utama pendidik adalah mendidik, bukan sekadar memberitahu dan menyendatkan otak serta minda murid dengan penyediaan ilmu yang tetap. Biarkanlah guru membawa anak muridnya meneroka dunia ini dan mendidik mereka bagaiaman untuk membunuh harimau dari setakat berkata, "Itu harimau".
Profesion guru tidak tercemar jika tidak mengikuti silibus demi memberikan didikan ilmiah dan manusiawi. Profesion guru mungkin terlaksana jika kita melaksana silibus sebenar, seratus persen. Tetapi dengan itu, kemanusiaan murid juga terdegradasi. Jiwa akan terperangkap dengan kesekian banyaknya hempapan kerja rumah dan ketidak fahaman. Otak menjumud dilekiti bebenang sukatan.
Saya tidak mengutuk Kerajaan di sini. Sebagai bakal guru, saya rasa logik untuk saya menyuarakan pendapat. Jika tidak disuarakan, maka tiada mungkin akan. Wallahu`alam.
No comments:
Post a Comment