Showing posts with label malam jumaat. Show all posts
Showing posts with label malam jumaat. Show all posts

Friday, July 29, 2011

Tolong Hentikan.. (Bahagian 1)

Salaam...saya pernah janji dulu, dengan seorang kawan mahu menuliskan cerita ngeri/seram/menakutkan setiap malam Juma'at. AHAHAHA, sudah banyak Juma'at terlepas, maafkan saya. InshaAllah; kalau ada idea dan masa, akan saya usahakan untuk menetapkan diri pada janji itu. Kalau tidak, ampuni saya. OKlah, mula bercerita;
Pak Berahim memberhentikan teksi merah putihnya, setelah lampu merah bernyala. Lampu trafik itu berkelip-kelip keusangan. Tiangnya pun sudah berkarat, manakala kalibrasinya tidak tegak sudah. Sudah lari dari keserenjangan dengan lantai bumi. 
Sungguhpun lampu merah bernyala, tiada kereta dari arah kiri dan kanan trafik melintas. Hanya deru angin yang menyejukkan jiwa, bertiup memasuki teksi lapuk Pak Berahim. Sesekali beliau menggosok lengannya yang kesejukan, sambil merunguti mutu kerja JKR serta ADUN yang memerintah daerah ini. Mencebik sendiri beliau. 
Lama... lampu merah masih bernyala, segila benderang biji saga. Tiada tanda akan bertukar kepada hijau dan Pak Berahim sudah mula naik bosan. Ditekannya punat radio dan penala bunyi dipusing epada aras maksima. Maka, bergoncanglah teksi tua itu dengan lagu retro. Pak Berahim suka dengan stesyen muzik 'RetroFM'. Selain pro-Kerajaan, lagu-lagu yang dihidangkan juga membeli nalurinya untuk kembali ke zaman remaja dulu-dulu.  
"Bunga-bunga, berterbangan ditiup bayu... taburkanlah bunga di pusaraku.. andai, tiada ku pulang.." 
Lagu 'Berjuta Batu' bergema, mengusir kebosanan yang semakin menyendati kesabaran Pak Berahim. Digoyangnya sedikit bahunya; jarang bermanja dengan diri-sendiri. Bila sunyi macam ini, tiada orang; Pak Berahim buat perangai. Asyik saja beliau berlibur dan berdansa dalam kesempitan teksi itu. 
Sepuluh minit sudah berlalu. 
"Aah, tiadalah ini. Mesti lapu trafik rosak", getus hatinya. Pedal minyak ditekan perlahan dan keretanya pun bergerak.  
Tiba-tiba, ada suatu ketawa kecil berdengung di telinga Pak Berahim, dan radio terpadam. Hanya bunyi desiran yang memanjang kedengaran. Pak Berahim langsung menoleh ke arah suar itu berpunca; yakni kerusi belakang. Tiada siapa. "Aah, mungkin radio saja". Memujuk hati. Tengok semula cermin belakang. Masih (sudah) tiada. 
Bergerak sejauh sepuluh kilometer dari simpang trafik tadi, radio berfungsi semula. Lagu Allayarham Tan Sri P. Ramlee berdendang, dan Pak Berahim--seperti yang saya ceritakan tadi--melayan secebis jiwa mudanya yang masih bertempek di hati.
"Berkorban.. apa saja.
 Harta ataupun nyawa..
 Itulah kasih mesra...
 Sejati.. dan mulia..." 
Tangisan. Tiba-tiba Pak Berahim mendengar suatu tangisan lelaki ddari kerusi belakang. Suara itu seperti pernah beliau dengari dari wayang gambar dulu-dulu. Kemanusiaan mendahului ketakutan, apalagi cuaca malam yang "syahdu" dan kesunyian jalan raya yang semakin tinggi gravitasnya, Pak Berahim menoleh ke kersui belakang. Masih-  
Tidak ada apa-apa. Tangisan tadipun berhenti. 
Dan alangkah terkejutnya beliau apabila menoleh semula ke jalan raya, sesusuk tubuh dengan pakaian kasual petak-petak ber'blazer' sedang berdiri di tengah jalan. Pak Berahim menekan brek dan lampu kereta direndahkan. Takut kesilauan pula. 
Pak Berahim memerhatikan lelaki itu dan mengenyit kedua belah matanya untuk menginspeksi siapa lelaki itu. Bukan hantu, kerana kakinya jelas menjejak tanah (petua dulu-dulu; LOL). Hany bahagian pinggang ke bawah saja kelihatan, sedang dari pinggang ke atas, kegelapan dan kesuraman. Pak berahim mengeluarkan kepalanya yang penuh dengan uban pengalaman. 
"Encik mahu teksi ke?", tanya Pak Berahim. Mengangguk. Meskipun wajahnya samar, Pak Berahim masih mampu mengesani isyarat mengangguk dari lelaki tadi. "Naiklah", jemput Pak Berahim pula. Sebatang rokok dikeluarkan dari kotak 'Marlborrow' yang berletak di papan meter kereta. Mancis diumpil dari kocek seluar, lalu rokok tadi bernyala merah. 
"Hendak ke mana, anak muda?" 
"Uhmm.. bawa saja ke mana. Akan saya barhentikan enche' bilamana sudah sampai tujunya". 
Pak Berahim mulai garu kepala. Dan garu kepala dalam kamus hidup Pak Berahim bermaksud takut dan rasa keseraman. Bergelombang aturan ubannya, tatkala jari semakin ganas menggaru dahi. Semakin takut. (tidak pula Pak berahim ini terfikir untuk memandang cermin belakang, kan? Takut kot.. HEHEHE. *woi, ini cerita seriuslah!* Oops.. maaf. Teruskan). 
"Saya bawa anak pergi jalan Tunkulah, boleh?" 
"Ahh, sangat moleklah" 
Pak Berahim menggeleng kepala, perlahan. Ini mesti kes putus cinta. Tidakpun, lari dari rumah. Atau mungkin juga, hilang kerja. Alahailah anak muda sekarang.. tiada hala tuju jelas. Hanya mahu berseornok-seronok. Apabil sudah kesempitan, bunuh dirilah, terjun sungailah, berzinalah, mabil/hisap dadahlah. Menggeleng lagi, Pak Berahim. 
Sungguhpun sipenumpang tidak berkata apa-apa, Pak Berahim sudah tahu benar auranya penumpang begini dan begitu. Pengalaman memandu teksi selama dua puluh lima tahun meneguhkan auta itu. Pak Berahim sebenarnya ingin bertanya, tetapi entah kenapa malam itu, mulutnya berat. Biasanya akan berlakulah komunikasi pemandu-penumpang yang gamat. Entahlah, lagu RetroFM itupun sudah tidak beliau hiraukan. Mata ditancap pada jalan di hadapan. 
"EEEEEEEEEEEEE......". Suara lelaki menangis (maaf, tidak pandai menukarkan suara menangis kepada perkataan). Sudah diduga, pasti manusia yang kecewa, penumpang yang satu ini. 
"Pak Im.." 
Berdegup jantung Pak Berahim. Bagaimana lelaki kecewa ini tahu namanya? Dari siapa, kenapa? Bergelodak rasa. Kepala digaru. 
"Pak Im!" 
Setahu pak Berahim, hanya sahabat yang betul-betul rapat sahaja, mahupun rakan sekeluarga yang menyebutnya namanya dengan gelaran "Pak Im". Orang lain mana tahu. 
"PAK IM!!" 
"Iye nak?", jawab Pak Berahim. Matanya yang liar bergerak sedikit demi sedikit ke cermin belakang. Dan sedikit lagi, dan sedikit lagi.. Sampai.

P. Ramlee. Adalah P. Ramlee (atau bayangan; qarin) yang sedang duduk di belakang. Matanya buta seperti dalam filem 'Ibu Mertuaku', sedang darah mengalir dari mata itu...

Saturday, June 4, 2011

Perhatian & Tawau


Salaam. Pengumuman penting.. *drum please* mulai hari ini *sebenarnya dari minggu lalu lagi* eh, diamlah! (berdehem) mulai hari ini, beta sebagai pemerintah blogosmos (blog + kosmos) ini memperkenankan usul agar hanya gambar sahaja yang diposkan setiap hari. Maaf kerana penulisan akan berkurang *bak kata orang; gambar menceritakan seribu kisah* entah jitu, entah tidak bidalan itu *perlu perdebatan* HAHA, lain kalilah.. bha, bha.. maaf jika ada yang rasa jengkel dengan transformasi ini. Alaa, bukannya besar sangat perbedaannya.. dan, lagi satu *dram* INI KAN BLOG GUE.. MAKA SUKA HATI GUELAH MAU KAEK APAPUN! MAU LAKUIN APAPUN!! WAHAHAH *nampak jahat*.


Setelah mengumumkan itu, izinkan saya untuk menceritakan serba sedikit mengapa saya sayang sangat, sangat, sangat Tawau.. KiHKiHKiHKiHKiHKiHKiHKiH~

1. Orangnya pelbagai. Sangat indah bila tiga orang pemandu teksi berlainan bangsa, agama dan suku berpukulan dan bergurau senda. Memang seronok dapat lihat aksi mereka ketawa sama-sama. Setakat ini, saya hanya jumpa keadaan ini di Tawau. Jujur saya cakap; sepanjang saya hidup, tidak pernah ada pertelagahan agama, bangsa dan suku. Kalau bertelagahpun, itu disebabkan oleh PATI. Memang inilah Tawau.

2. Tidak begitu membangun. Saya ada teori untuk menyokong idea ini. Ingat tidak bangsa Maya dengan ramalan apokalips 2012 mereka? Dengan perkembangan melampau mereka? Kenapa mereka runtuh? Ada kata sebab serangan bangsa Aryan.. saya kata tidak! Mengejar kemajuan yang melampau akan menyebabkan sesuatu tamadun meninggalkan moral mereka. Saya tidak kata kemajuan salah, tetapi jika melampau sehingga melupuskan usaha untuk memacu rohani, maka itulah jadinya. Empayar Kemalisme dahulu yang terlalu mengejar langkah Westernisasi, bukankah jatuh berguling? Mereka membunuh sumber mengalirnya kemeriahan ruhani. Mustafa Kamal Attaturk dahulu arsonis hafidz!




3. Boleh tengok bintang dan awan dan ombak dan hutan dan.. banyak lagilah! Tawau pada pendapat saya merupakan tanah paling seronok bila mahu melihat bintang.. cantik gila, serius. Malam tadi saya keluar mengambil angin, sangat teruja. Bintang berkerlipan menyapa diri; rasa luasnya alam, besarnya Dia dan kerdilnya saya sangat monumental. Terima kasih Tuhan kerana menciptakan saya di sini.. dan maaf, kamera si Hazel tidak berapa sesuai untuk menangkap gambar bintang *ombak!?* ohh, ombak nanti saya usahakan.

Pagi di Tawau

Tengahari di Tawau

Petangnya..


4. Islamisme yang kuat. Lihat sahaja solat Jumaat, tiada masjid yang tidak sesak dengan jemaah. Mubalgih Kristian banyak juga, tapi nilai-nilai Islam itu tidak sedikitpun tergugah. Dan saya berpendapat dari situlah (Islam), perpaduan di daerah barakah ini terbentuk *tolong jangan sebut pasal UMNO-PKR-PAS* JANGAN!

Parit di kawasan saya. Jernih sangat paritnya.. WAKAKAHAHA

Ini gambar adik saya yang tangkap *si Aming, anak keenam* WAHAHA.. pandai dia selaraskan fokus kamera.



5. LOL: apabila pilihanraya berlaku di sini; tidak ada/pernah berlaku keganasan dan rusuhan. Islam tidak ajar kafir-mengkafir serta mengharamkan pencabulan keamanan. Dan ideologi ini saya kira, diimplementasikan di sini. Pilihanrayanya macam hari-hari biasa; jarang kedengaran desas-desus undi hantu atau sebagainya. Dan harapnya kekal begitu.

6. Statistik jenayah agak kurang. Ya, saya akui dalam kalangan remaja (menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superitenden Imran Abd Rahman) meningkat. Namun, baca ini:
Pelancaran “Pilot Project” Program Cegah Jenayah menggunakan kaedah “reverse psychology” telah diadakan dan yang julung kali diadakan di Malaysia merupakan ilham dari syarikat anak watan Tawau iaitu Wealthy Empire Management Sdn. Bhd. sebagai tanggungjawab sosial bagi membantu memberi kesedaran mengenai kepentingan pendidikan kepada kanak-kanak di samping melahirkan generasi yang bencikan jenayah. SK Pasir Putih telah dipilih sebagai peserta projek yang pertama bagi melihat keberkesan program tersebut. (sumber: Puteri UMNO Sabah. 14 Februari 2011)
Hebat, bukan?

7. Boleh nampak bintang *wehh, itu sudahlah* oh, yaka? HAHAHA.. OKlah.. bahasanya. Kelmarin semasa menunggu kepulangan kakak tercinta, saya tertarik pada suatu situasi di mana satu keluarga Suluk berbahasa Suluk di tengah keriuhan manusia. Tidak ada muka prejudis pada orang di sekeliling mereka; macam semua penduduk Tawau disetkan untuk berfikiran positif dengan bangsa selain mereka. Dan slanga Tawau sangat syiok! *sedih masa tinggal di KK & KL dahulu, terhakis sedikit slanga itu* Wahaha, saya sayang lenggok komunikasi Tawau.

Kesimpulan: Marilah datang.. saya cabar! *D'LOL*

Friday, May 20, 2011

Cerita Seram #1


Salaam.. cerita ini saya warisi daripada seorang sahabat. Pertama kali dengar, saya agak terkejut; katanya cerita betul. Tapi tidak tahu pula sejauh mana kebenaran cerita ini. Tanpa membuang masa..
Ada seorang pemuda namanya Joni (bukan nama sebenar). Dia bekerja di sebuah stesen radio tempatan yang terkenal. Terkenalnya bukan kerana baku bahasa yang digunakan, atau pilihan lagu yang dimainkan; terkenalnya stesen radio ini adalah kerana suatu slot tengah malam. Slot itu diadakan atas permintaan ramai, dan dalam slot itu, pendengar radio bebas untuk menelefon stesen radio terbabit untuk berkongsi cerita seram, cemas atau menakutkan mereka.  
Kebetulan malam itu, Joni bertugas di konti radio. Dia mengambil-alih malam itu, menggantikan kawannya Rosa (bukan nama sebenar). Rosa adalah wanita yang agak indah dari segi paras rupa mahupun tingkah laku. Sebenarnya, Joni sudah jatuh hati dengan Rosa atas suatu perkara; Rosa tidak berat hati menggantikan 'shift' Joni. Tetapi malam itu, entah mengapa; Joni berasa rajin pula untuk menduduki kerusi konti. 
Dekat jam jam 11.56PM, Joni pun menekan butang-butang berkenaan; mengisyaratkan kepada pendengar bahawa sebentar lagi slot tengah malam tadi akan bermula. Lagu dipasang, dan kelantangannya dimaksimakan. Joni menyandarkan kepalanya ke kusyen kerusi. "Ahh.. ada dua minit lagi" getus hatinya tatkala mengerling jam tangan Rolexnya. Sebentar, dia menutup mata. 
Setelah itu, dia tersedar. Jam sudah 12.10AM. "MasyaAllah..". Menyesal dia mencuri masa dua minit tadi, kan sudah terlajak. Apapun, lagu diperlahankan dan mikrofon hidup bergema. Tiba-tiba suatu rasa kesunyian melampau menggenangi rasa Joni. Jarang dia ada perasaan sebegitu, tetapi dibiarkannya saja. orang tua-tua berpesan, "Semakin kau layan, semakin galaklah benda tu..". Itu yang Joni simpan dalam hati. 
Baru sahaja bersuara di mikrofon, puluhan panggilan menerpa. Sudah sepuluh minit kelewatan, tidak hairanlah. Maka Joni menyuarakan kekesalannya dan terus menyambung tugas. Satu demi satu panggilan dilayan; kesemuanya menceritakan pengalaman ngeri masing-masing. Ada yang sedih, seram dan ada juga yang betul-betul membuatkan bulu tengkuk Joni tegak.  
Dekat jam 1.00AM, Joni menghentikan alunan lagu Misha Omar, "Seharum Bunga" yang sedang berdendang.  Dia menyatakan bahawa slot sudah hampir tamat dan hanya akan menerima seorang lagi pemanggil, di sinilah cerita jadi sedikit panas. Sejurus itu, sebuah panggilan menerpa masuk ke dalam konti dan serta-merta Joni meminimakan kelantangan lagu. Pemanggilnya perempuan, mungkin dalam usia 20 tahun. Mendengar silaan Joni, si pemanggil berceritalah. 
Menurutnya, dia pernah mengalami suatu kejadian aneh di sebuah jalanraya yang agak besar di bahagian Ranau-Keningau. Kisahnya berlaku dua bulan lalu, pada waktu malam; sama macam malam ini, katanya. Bulu tengkuk Joni mula berdiri, begitupun bulu romanya. Diusapnya; cuba untuk mengusir rasa takut. Dan itupun, ketakutan belum usai. 
Menurut pemanggil lagi, waktu itu dia menerima panggilan daripada keluarga di Keningau yang menyatakan ibunya sakit tenat. Dia yang ketika itu baru habis dengan tugasan lebih masa di pejabat, bergegas menghidupkan enjin; memecut dengan rasa risaunya dengan berita tadi. 
Di pertengahan jalan, tiba-tiba dia melihat sebuah lori balak yang panjangnya.. masyaAllah. Beberapa kali matanya digosok, pipinya ditampar tangan sendiri. Sungguh dia tidak percaya dengan keluarbiasaan itu. Ketika itu jalan raya sunyi, empat lorong lagi, maka diapun memecut untuk melihat kepala lori balak tadi. Pecut punya pecut, tidak jumpa juga kepala lori. Hanya treler yang panjangnya tidak terjangkau penglihatan memenuhi satu lorong dari empat lorong jalan raya. Keseraman mulai menyirapi tubuh. Pemanggil itu berkata, dia lantas memperlahankan kereta Kancilnya. 
Tiba-tiba,lori tadi menggeselkan trelernya yang panjang dan sarat dengan balak ke kereta si pemanggil. Wanita tadi cuba mengelak, mengerah tayar untuk merubah hala. Tercalar sedikit, tapi bukan itu yang wanita ini kisahkan. Masa lori itu menggesel, dia mulai menangis. Ketakutan amat dia. Yang paling sadis tu, tiada simpang, terpaksalah dia memecut untuk menyaingi kelajuan lori. 
Dan.. lori tadi menghentam dengan kuat Kancil miliknya. Demi sahaja dua jentera itu berdentum, melayang kereta wanita ini ke gaung. Dia cemas, dalam kejatuhan. Bimbang dengan keluarganya; apatah lagi ibunya yang sakit. Di fikirannya, hanya ada ibu. Sambil dia melayang jatuh, doa tidak henti-henti dilafazkan. 
Joni tersenyum. Ahh, cerita biasa.. kemalangan.. kereta misteri.. jatuh gaung. Dia tersenyum kecil; hajatnya untuk mengenakan si pemanggil. Dia saja ja mahu menanya, bergurau; 
"Hahaha.. jadi awak selamatlah?" Soalan bodoh. 
-
-
-
-
-
-
-
-
"TIDAAKKKK!!!!!!!" Jeritan itu. Berdarah. Bingit. Suara sipemanggil yang  dalam ketakutan. 
Haha, itu saja. Gerenti tidak ngeri, kan? Ada lagi...
*P/S: Si penyebar cerita kata, sejak itu, slot tengah malam itu dihentikan langsung. Ramai pendengar yang turut sama mendengar si pemanggil menceritakan kisahya, membunuh diri lantaran tidak tahan dengan jeritan di akhir panggilannya. Berdesing dan menghantui*

Ohana :)