Showing posts with label esei panjang. Show all posts
Showing posts with label esei panjang. Show all posts

Thursday, July 7, 2011

#343: Sikap

Salaam...

Saudara, andai anda sedari, sebenarnya hidup ini tidak akan sempurna tanpa merenung hari yang telah lalu. Selalunya, masa silam mampu mengajar kita lebih banyak perkara berbanding seorang guru biasa boleh ajar. Di sekolah, kita diajar untuk menjadi pandai, manakala di dalam kehidupan kita ini, kita belajar sendiri untuk menjadi cemerlang. Sama ada mahu memilih atau menolak kecemerlangan. 

Kecemerlangan sebenar manusia terletak pada sikap. "Sikap adalah apa yang kita tiada," kata Faizal Tehrani; seorang penulis yang awal meletakkan sikap pada hari-harinya. Pada sikap, ada kelengkapan-kelengkapan yang berpatutan yang boleh digunakan untuk memberi reaksi berpatutan pada bakat dalam diri mahupun kelemahan. Sikap memainkan peranan dalam pembentukan diri yang utuh; meskipun dalam taufan adat-adat baru yang menggoncangkan tradisi pemikiran.

Begitupun, sikap tidak semesti bertujuan untuk "bertahan" melainkan untuk "berubah". Kekuatan sikap memberikan manusia ketahanan ke atas perkara yang tidak baik, namun masih membenarkan kritikan. Pelajar yang tidak bersikap, kecuali negatif, mempunyai kecenderungan untuk bergantung kepada guru dan kawan-kawan. Atau pada ibu bapa. 

Pembentukan sikap boleh dilakukan dengan menjadikan sesuatu perkara baik (bercakap, berbincang, mengkaji, menuntut ilmu) sebagai budaya. Tidakkan pun budaya masharakat; budaya untuk diri sendiri pun jadilah. Kerana saya faham betapa masharakat tidak akan berubah jika tiada yang memulakan langkah perubahan.

Pembudayaan sikap ke atas diri-sendiri dan terhadap orang lain akan membentuk rutin dan kebiasaan. Kebiasaan ini akan mematangkan seseorang beserta pemikirannya. Tanpa pembudayaan, sukarlah untuk kita benar-benar mengaplikasi kehidupan bersikap, dan ini menjurus kepada kematian bakat.

Tiada penanda wacana saya letakkan di sini. Karangan ini baru separuh, dan untuk itu, saya meletakkan tanggungjawab separuh lagi karangan kepada anda untuk menyiapkannya bagi pihak anda. Wassalam.

Saturday, July 2, 2011

Kisah Seorang Menteri Agung

Salaam.. sekadar berkongsi (tiada kaitan dengan hidup mahupun yang telah meninggal dunia):

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sebermula, tersebutlah kisah seorang maharaja China yang sangat menyentuh hati. Tiadalah pula alkisah ini didapati dalam mana-mana kitab, melainkan ianya hanya dongengan yang mengandungi unsur ilmu dan kemanusiaan. Kisah ini berlatarkan sebuah empayar yang diperintah oleh seorang maharaja muda yang baru setahun jagung bertatih dalam bidang pemerintahan.

Pada suatu hari, sang Maharaja berhasrat untuk turun dari kerusi takhta demi melawati rakyat jelatanya. Dikatakan maharaja ini orangnya sengkek dan ego, begitupun dia adalah sedikit jahil daripada barisan menterinya. Suaranya tidak boleh dibantah. Kalau dibantah, adalaha kepala yang terpisah dari badan. Pernah suatu hari, baginda sedang makan, lalu dirasakannya makanan yang dijamahnya basi. Segera dia bertitah agar dipanggilkan si tukang masak bagi menerangkan situasi sebenar. Kasihan.. belumpun sempat si tukang masak membela diri, sudah algojo menghayun pedang. Memercik darah.

Memandangkan dia belum pernah melihat dunia di bawah mahligainya, maka rasa kekok dan tidak selesa bertandang saat pertama kali kakinya menjejak tanah. Baginda sebenarnya mempunyai sejenis penyakit yang menghalangnya dari memijak tanah. Pada setiap langkah, ada rasa geli dan keras; panas dan tajam. Semuanya menyebabkan si maharaja berjalan kurang selesa. Mengeluh  maharaja ini. Lalu baginda meminta sida-sidanya untuk mendukungnya semula ke istananya. Itulah yang diperbuat mereka.

"Aah, sakitnya!!" jerit si maharaja saat tukang urut diraja melumurkan sedikit minyak urut ke kaki raja. Menggeleng kepala dia, memikirkan rajanya yang punya empayar berjuta ekar luas, tidak pernah memijak seincipun tanah yang baginda miliki. Tidak dapat menahan ketawa, akhirnya si tukang urut tergelak. Matilah  jua dia di pedang algojo.

Sambil mengurut-urut kakinya, baginda memanggil segala barisan sida, menteri dan penasihat untuk memikirkan cara terbaik bagi menyelesaikan masalah yang sedang baginda hadapi. Mendengarkan saja titah si maharaja bongkak, maka berkumpullah ratusan sida dan puluhan menteri. Menteri yang paling senior duduk sedikit rendah di sebelah kanan maharaja egois itu. Menteri Agung itu tidak baginda berapa suka, dikeranakan sikapnya yang baginda rasa, suka memandai-mandai. Para dayang yang mengiringi permaisuri kemudian dilihat masuk berpusu-pusu.

"Man shoi, man shoi, man, man shoi!" Semua menjerit penuh ketaatan. Melutut.

"Bangun semua!" titah sang maharaja, lalu menyambung, "Hari ini, buat pertama kali beta terpaksa menangguhkan kehendak beta untuk turun melawat tanah jajahan beta sendiri! Sebabnya, tiada tempat sesuai untuk kaki beta yang mulia ini untuk melangkah. Apa yang kamu semua telah lakukan sepanjang hari ini, hah!?"

Si Menteri Agung yang sudah tua, berdiri. Janggutnya yang lebat melepasi paras pinggang dilurutkan agar rata dan sekata. Lantas dengan penuh wibawa, dia menjawab,

"Bukankah tuanku yang menyuruh kami semua melakukan perbincangan untuk menakluk wilayah Xinjiang? Maka itulah yang kami lakukan sehari-hari.."

"Berani menjawab kamu, yah! Tangkap dia dan pancung dia!"

Kelihatan para pengawal yang berbaju hijau gelap, pudar keluar bergerombolan dari belakang takhta. Ada yang membawa lembing dan ada pula yang menghunus pedang. Mereka segera mengepung si Menteri Agung, lalu menangkapnya. Sekejap saja, si menteri yang sudah mencapai usia sembilan puluh tahun itu diikat pada tiang istana. Ratusan sida dan menteri hanya mampu melihat dengan perasaan hiba. Mereka sangat sayangkan menteri yang satu ini, atas jasanya mengembangkan empayar yang sekarang dimiliki maharaja zalim itu. Namun seorang pemuda yang juga sida, yang juga anak Menteri Agung itu berdiri, lalu berkata,

"Wahai tuanku, dia telah berkhidmat dengan ayahanda tuanku selama empat puluh tahun dan dengan tuanku juga, selama sepuluh tahun. Atas nasihatnyalah, kerajaan ini berkembang sehinggalah ke Mongolia. Atas nasihatnya jugalah, kita berupaya menyekat serangan orang gasar. Inikah balasannya?"

Mata maharaja berkaca dalam kegeraman yang amat sangat.

"Tangkap juga dia.. dan bunuh keduanya!"

Gerombolan soldadu berbaju hijau tadi menurut titah. Ikatan pada istana dilonggarkan, lalu disimpulkan pada sangkar besar. Ditendang mereka masuk ke dalam dan dijolok dengan buntut lembing. Ada juga dalam kalangan tentera itu melaksanakan titah dengan air mata, lantaran Menteri Agung itulah Jeneral mereka di medan perang. Tetapi sudah kehendak hati maharaja.

Setelah dekat setengah jam diperlakukan sedemikian, maka berdarahlah seluruh badan Menteri Agung. Dahinya yang penuh dengan kerut hikmah, turut berdarah. Anaknya menekup punca pendarahan itu, sedang dirinya sendiri mengalami pendarahan teruk. Menteri Agung yang semakin kehilangan nafas, lantas berdiri di dalam sangkar itu, lalu berkata,

"Demi nama ayahanda tuanku, patik akan tetap mentaati tuanku meskipun begini."

Si maharaja tidak terkesan sedikitpun dengan kata-kata yang sungguh menyentuh hati itu. Sang permaisuri yang sedang bersimpuh, menangis melihat kesetiaan Menteri Agung yang tidak berbelah-bahagi, dibalas sedemikian rupa. Sendunya disertai para dayang, ratusan sida dan menteri. Namun apalah daya mereka semua untuk menentang dasar autokrasi maharaja itu.

"Bawa mereka pergi, dan humbankan ke gaung!!" teriak maharaja itu. Mukanya merah padam.

"Tuanku, kesetiaanku dan kebijaksanaanku ada pada sebuah kotak di penjuru kamarku!" jerit si Menteri Agung, sebelum lesap dari pandangan maharaja. Pintu yang luas terbuka, ditutup semula. Kedengaran esakan memenuhi ruang singgahsana. Tidak tahan hati pula baginda.

"Wahai kalian, mengapakah semuanya menangis?? Bukankah beta telah melakukan yang terbaik, yakni menghidari pembelot!? Apakah kamu tidak menyetujui keputusan beta??"

"Tidak, tuanku. Cuma tuanku telah menzalimi seorang yang sangat ayahanda tuanku cintai. Yang sangat berjasa kepada dinasti kita. Apakah tidak kami menangis mengingatkan bahawa semua harta yang menghias istana ini hasil kepintarannya!?"

"Sudah! Beta tidak suka rakyat yang lembik. sekarang fikirkan cara bagaimana untuk merubah tanah jajahan ini menjadi sesuatu yang enak untuk dipijak.. cepat fikir! Beta bagi masa semalaman untuk kalian berfikir."

"Baiklah, tuanku. Sekarang juga kami usahakan." Menteri yang berdiri tadi kembali melutut, dengan air mata melenturi wajahnya. Baginya. Menteri Agung itulah mentornya yang selama ini mendidik dia dari taktik perang ke protokol istana. Beliaulah yang menyelamatkan nyawanya suatu masa dahulu, ketika dia jatuh dari kuda tunggangannya. 

Bersurai.

Keesokan harinya, semua menteri dan sida berkumpul. Semuanya berbincang sesama sendiri, mengambil peluang atas masa baginda yang belum hadir. Semuanya berfikir dan untuk mencapai konsensus. Maharaja datang. Gong dipalu dan--seperti kebiasaannya--semua tunduk melutut. Tangan dikepal lalu dihalakan pada pandangan maharaja itu. 

"Sejahtera seribu tahun, tuanku!". Seluruh penghuni ruang singgahsana memberikan tunduk hormat.

"Sudah, sudah.. bangun semua!. Sekarang bentangkan rancangan kamu!"

Seorang sida, yang mengetuai barisan sida berjubah merah bangkit. Sebelum itu, tunduk dia sedikit bagi memohon izin. Maharaja mengangguk. Kawan baik mendiang menteri tadi menoleh, ingin melihat gerangan yang mempunyai idea itu dan segera jugalah dia mencebik bibir. Si pengampu maharaja.

"Wahai maharajaku yang baik hati, yang aku sanjungi sampai ke bulan tinggi, patik sudahpun memikirkan suatu cara untuk tuanku. Supayanya bolehlah kiranya kaki tuanku yang mulus berjalan melihat barang tanah jajahan.."

"Apa dia?"

"Apa kata jika kita bentangkan karpet dari kulit lembu dan rusa, kambing dan kerbau ke seluruh pelusuk empayar tuanku yang luas dan indah ini untuk dijadikan karpet? Lalu kita bina pula bumbung dari hampas padi serta jerami; dari pelepah-pelepah kelapa yang kita rampas dari kerajaan Melayu itu agar tuanku selamat dari sinaran mentari, mahupun hujan yang membekukan? Bagaimana?"

"Waah, kamu bukan saja mempunyai mulut yang manis, malah otak yang bergeliga pul-"

"Nanti! ..maafkan patik, tuanku. Cadangan si pengampu ini tidak praktikal. Mana mungkin kita perlu mengorbankan seluruh aset kerbau, sapi, kambing, rusa, padi, serta pelepah-pelepah kelapa kita yang berharga untuk membina semua itu. Ianya tidak praktikal!"

Si sida pengampu berang. "Hey, siapa yang kamu panggil pengampu? Apa kamu ada cadangan lain?"
Diam dan sunyi. Tiada balasan dari menteri yang membangkang tadi melainkan suatu gelengan yang perlahan. "Kalaulah Menteri Agung masih hidup..."

"Hehh, kalau begitu, jalankan cepat projek ini! Beta tidak sabar untuk melawati kawasan jajahan beta sendiri. Kamu, Sida Yoon; saya naikkan gaji tahunan kamu.."

Tersenyum pengampu kepuasan. Matanya melirik kepada menteri kawan mendiang Menteri Agung tadi. Berlawan pandangan. Tunduk dengan air mata. "Menteri Agung, engkau pergi terlalu awal.."

Projek bermula. Kesemua simpanan ternakan yang berkulit tebal: dari kerbau, kambing, biri-biri sehinggalah kepada unta; semuanya dibunuh untuk diambil kulitnya. Lalu dikaitkan bersama, membentuk karpet. Begitupun setelah semua ternakan dibunuh, tiadalah cukup untuk menutupi tanah. Satu per seratuspun tidak sampai.

Begitu juga dengan projek bumbung mega yang dicanang-canang baginda. Hanya barang dua ratus hektar saja yang mampu ditutupi langitnya. Ada baki dua juta hektar lagi, dan kesemua pagi, gandum, barli, kelapa malah lalang panjang sudah habis dikorbankan. Projek itu nyata menemui jalan buntu.

Dan beberapa bulan selepas itu, empayar yang selama ini maharaja itu bangga-banggakan mencapai titik keruntuhan. Aset yang dikorbankan tidak memungkin perdagangan berlaku. Ramai petani memberontak pula, dibunuh, sebelum ribuan lagi askar mati kelaparan. Dayang-dayang yang selama ini menghiasi taman-taman istana, mati semuanya-akibat kebuluran. Tinggallah si maharaja yang termangu di atas kerusi takhta, permaisurinya yang sedang mengandung, para sida dan menteri. Tukang masak diraja tinggal seorang; sengsara dia memasakkan makanan untuk semua yang masih hidup.

Oh ya, sida pengampu tadi dipancung kerana kegagalan projek itu.

"Bukankah sudah kukatakan, wahai maharaja. Tindakan tuanku bukan sahaja membazir, malah menyebabkan empayar kita di ambang kematian..". Suara menteri yang menentang projek itu bergema, membunuh kesuraman singgahsana.

"Manalah beta tahu, bodoh! Salah kamu yang tidak menegaskan pikiranmu dulu.."

"Aah, sudahlah tuanku dengan ego tuanku yang tinggi! Kalaulah tuanku membiarkan membiarkan Menteri Agung hidup dan tidak membunuhnya, tentu dia mampu menolong kita menyelesaikan masalah tuanku. Sekarang ini, kita terpaksa berpindah ke negeri Sichuan untuk membina semula kerajaan yang mereja ini. Untuk itu, tuanku perlu berjalan kerana pengangkat tandupun sudah tewas semuanya. Mengharapkan sida-sida ini" Menteri menjeling ke belakang, ke arah para sida, "Sampai kiamatpun tidak terangkat".

Sang maharaja tunduk. Tiada sudah tentera untuknya mengarahkan agar dibunuh menteri yang sedang berhujah di depannya ini. Dan entah kenapa, hatinya terbuka untuk merenungi nasihat sang menteri. Baginda menyesal sungguh-sungguh. Memang betul, selama ini baginda terlalu memandang tinggi dirinya dan terlalu memandang hina orang yang bekerja di bawahnya. Tidak pernah dia menghargai sedikitpun segala titik peluh yang ditumpahkan mereka untuknya, terutama sekali, Menteri Agung.

Baginda dan para warga dinasti kini hanya mampu duduk memikirkan nasib empayar ini. Tiada apa yang dapat mereka lihat di hadapan, melainkan kemusnahan yang sudah sangat pasti. Semuanya tunduk buntu.

"Yaa.. mendiang Menteri Agung. Bukankah dia pernah berkata, 'kesetiaanku dan kebijaksanaanku ada pada sebuah kotak di penjuru kamarku' kepada tuanku? Tidakkah perlu kita melihat wasiatnya; mana tahu mampu membantu kita buat masa ini?" si Menteri bersuara. Kedengaran bisikan yang bersambungan dari barisan sida di belakang. Ada ramai yang mengangguk setuju dan membenarkan. Begitu jua baginda maharaja.

"Sida Chun, sila periksa bilik mendiang, di penjuru kamarnya. Di situ dia menyimpan kebijaksanaan dan kesetiaannya untuk beta!"

Seorang sida berdiri dan tangkas bergerak keluar singgahsana. Kelihatan jubah merahnya menyapu lantai istana, terlalu panjang. Dan seketika kemudian, dia kembali dengan sebuah kotak kecil di dalam genggaman.

"Tuanku, patik menemukan sesuatu! Patik menemukan sesuatu!"

"Haa.. apalah kotak kecil ini mampu lakukan.."

"Tuanku.. kita lihat dulu," nasihat menteri. Kotak bertukar tangan. Dari tangan Sida Chun ke tangan menteri, ke tangan permaisuri sebelum berpindah ke tangan maharaja sendiri. Dibukanya, ada dua helai kain lusuh dan sepucuk surat yang sudah kuning dimakan masa. Sang maharaja lantas membuka ikatana surat dan langsung membacanya dalam keadaan berbisik. Lama maharaja memerhatikan setiap aksara dan cuba memahami surat itu, sebelum matanya berkaca dan mengalirkan air mata. Buat pertama kali si maharaja yang sombong dan angkuh mengalirkan air mata. Semua yang sedang memerhatikan maharaja itu kehairanan.

"Kenapa, tuanku?". Sang menteri mendaki tangga kerusi takhta sebelum mengambil surat itu. Sang maharaja sudah tidak lagi menghalang. Sebelum ini, permaisuri sendiri tidak berani menjejakkan kaki ke tangga daulat itu. Yang baginda lakukan sekarang adalah menangis dan meraung. Kerinduannya pada sang Menteri Agung berwajah suci bertandang. 

Apakala menteri membacakan surat itu kepada mereka yang ada di singgahsana itu
"Sebenarnya, patik tidak ada apa-apa untuk disumbangkan kepada kerajaan tuanku melainkan baju sejuk dan kain buntil patik. Ikatlah baju sejuk yang tebal itu pada kaki baginda; semoga terhalang dari dicemari tanah dan gunakanlah kain buntil itu untuk dibuat payung; agar wajah mulai tuanku tidak terbakar dek matahari. Maafkan patik tuanku, kerana tidak mampu menjalankan tugas dengan baik.. cuma pesanan patik, 'Kita tidak patut merubah dunia untuk menjadikan diri kita lebih baik, namun kitalah yang patut berubah untuk menjadikan dunia ini lebih baik. Sejahtera seribu tahun, tuanku!"
Apalagi yang mampu dilakukan oleh kesemua pendengar melainkan menangis. Nama mendiang disebutkan dengan rasa rindu dan sayang. Sang menteri yang membaca wasiat itu lagilah; teresak-esak dia menahan sendu. Ternyata setelah kepergiannya pun, masih mampu berjasa.

"Yaa Menteri Aguuungg!!", jeritnya.

Lalu setelah itu, maharaja pun melakukan seperti apa yang disarankan mendiang. Mengikat kakinya dengan kain baju sejuk dan membuat payung kain yang satu lagi lalu berangkatlah mereka ke tanah Sichuan. Di sana, sang maharaja dan menteri membina semula empayar yang runtuh dan kali ini:- dengan sikap rendah diri dan baik hati. Terbinalah semula empayarnya dengan penuh kasih sayang dan suasana saling menghormati.

Tammat.

Wednesday, June 29, 2011

Kenapa Perlu Ditumbangkan Kerajaan (Kesimpulan)

Salaam...ini adalah sekuel terakhir bagi siri 'Kenapa Perlu Ditumbangkan Kerajaan (Bahagian I)' dan 'Kenapa Perlu Ditumbangkan Kerajaan (Bahagian II)'. Untuk entri ini:  lebih bersifat pendapat sendiri dan segala apa yang saya nukilkan di sini, saya sedia bertanggungjawab. Begini...

Buat penyokong 'BERSIH 2.0' yang beragama...ketahuilah bahawa Islam mengharamkan perbuatan menderhakai pemberontak, apatah jika anda bermazhab Ahlus Sunnah Wal Jama`ah, Salafi atau Ashaab `Ul-Hadeeth. Ya, Islam mengajarkan kebencian terhadap korupsi dan kezaliman, tetapi Islam juga mengajarkan kita bahawa niat tidak menghalalkan cara. Lagipula, bukankah ada Dewan Parlimen untuk membahaskan isu ini? Kenapa perlu berdemonstrasi?

Saya juga ingin menyangkal tuduhan Malaysia bukan negara Islam. Menurut tafsiran Abu Hanifah, Muhammad Abu Zahrah, Yusuf `Ul-Qardhawi dan Dr. Wahbah Az-Zuhaili, negara Islam adalah negara di mana umat Islam mampu hidup dan berasa aman, tenang serta bahagia. Menurut definisi empat tokoh ini, Malaysia masih bergelar negara Islam. Begitupun, label fasik di belakang frasa negara Islam tidak dapat dibuang. Untuk ini, saya mengakui bahawa Kerajaan perlu melakukan sesuatu.

Syed Qutb, Abu Bakar Zaidan, Al Maududi dan ramai lagi tokoh mengatakan bahawa negara Islam adalah negara yang mengamalkan hukum Islam. Penjelasan mudah saya utarakan; saya tidak dapat nafikan bahawa Kerajaan gagal untuk memenuhi syarat pengimplementasian hukum Islam di Malaysia. Namun sejauh manakah anda dapat menjamin bahawa Pakatan Rakyat mampu melaksanakan hukum Islaam. Setakat ini, saya tidak dapat melihat potensi itu.

Satu lagi perkara yang saya ingin utarakan adalah persoalan untuk diri-sendiri. Kita lakukan demostrasi untuk menegakkan keadilan dan kebenaran, sedang diri-sendiri hanyut dalam arus hiburan. Tidak sedikit kawan saya yang tinggal di maktab ini yang menyokong Pakatan Rakyat dan 'BERSIH 2.0' meninggalkan hidup Islami. Siapalah saya untuk menegur, namun sekurang-kurangnya, biarlah natijah yang kita kejar bersesuaian dengan cara hidup kita.

Dr Muhammad Imarah ada menekankan dengan sungguh-sungguh pembaikan pada peringkat diri-sendiri. Yang paling perlu berubah adalah diri kita; dekatkan diri dengan amalan Nabi Muhammad SAWS dan Para Sahabat. Istilah istikhlaf serta islah diri perlu dimengertikan, lalu dipraktikkan. Ada kepercayaan kuat dalam diri saya, bahawa, apabila kita berjaya mengIslamkan diri-sendiri sepenuhnya, urusan lain yang bersangkutan dengan isu integriti dalam parti dan pilihan raya pasti akan terlaksana.

Tinggalkan perkara laghoh dan melalaikan. Jika Liga FA itu menyebabkan anda lupa dengan solat Subuh, tinggalkan. Jaga pertuturan dan patuhi garis perbualan. Jangan melayan program bodoh + jahil seperti Maharaja Lawak, Akademi Fantasia, Mentor dan sebagainya. Apalagi mengundi.

Beriadah, jaga aurat dan pandangan. Amalkan amal ma`ruf nafi mungkar serta elakkan pergaduhan. Tumpukan juga sepenuh tenaga pada pelajaran dan cuba tumbuhkan dalam diri dengan minat terhadap pendalaman subjek agama. 

Saya mengakui, banyak daripada perkara di atas, saya sendiri tidak mampu laksanakan. Tetapi bukankah lebih baik untuk ada kesedaran sedemikian lalu dengan kesedaran itu, menidakkan demonstrasi berbanding tiada kesedaran lalu membuta-tuli, mengotorkan nama Islam dengan berkata, "Nabi Muhammad SAW juga pasti melakukan sedemikian (demonstrasi)!"

Saya bukan pro-UMNO; saya cuma pro-Islam. Dan sebagaimana Islam menyuruh taat pada Datuk Sri Najib, begitulah juga taatnya saya pada beliau. Tiada jalan lain. Kalau mahu ada jalan lain, undi saja Parti Keadilan Rakyat pada PRU13 nanti, saya tiada masalah. Sementara itu, biarkan saya tidur lena.

Akhir kata, izinkan saya berkongsi petikan sebuah hadith dan kata-kata dari ulama agung, Imam asy-Syaukani Rahimahullah:
لَتَتْبَعُنَّ سَنَنَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ شِبْرًا شِبْرًا وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا جُحْرَ ضَبٍّ تَبِعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ
"Sesungguhnya akan ada dari kalangan kamu (umat Muhammad) yang mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kamu akan mengikutinya." Kami (para sahabat) bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah yang engkau maksudkan itu (jalan) Yahudi dan Nasara?" Beliau menjawab, "Siapa lagi (sekiranya bukan mereka)?" (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/298, no. 6775)

ويؤدب من يثبط عنه” فالواجب دفعه عن هذا التثبيط فإن كف وإلا كان مستحقا لتغليظ العقوبة والحيلولة بينه وبين من صار يسعى لديه بالتثبيط بحبس أو غيره لأنه مرتكب لمحرم عظيم وساع في إثارة فتنة تراق بسببها الدماء وتهتك عندها الحرم وفي هذا التثبيط نزع ليده 
من طاعة الإمام
"Orang yang melakukan provokasi dan kekacauan (membakar emosi rakyat) untuk membenci pemerintah, mereka wajib diberi hukuman, maka yang diwajibkan adalah menghentikan perbuatannya (agar tidak timbul kekacauan). Jika mereka tidak juga berhenti dari melakukan kekacauan (provokasi tersebut), maka mereka berhak mendapat hukuman yang berat dan dipisahkan daripada orang-orang yang mereka provokasikan, sama ada dengan cara dipenjara atau selainnya. Ini adalah kerana mereka telah melakukan suatu perkara yang sangat-sangat diharamkan dan dalam masa yang sama telah berusaha menyebar fitnah yang berpotensi mengakibatkan pertumpahan darah serta mencemarkan kehormatan yang menodai harga diri. Provokasi seperti inilah yang menyebabkan seseorang keluar dari ketaatan terhadap pemerintah." (asy-Syaukani, as-Sailul Jarrar, 1/942 – Maktabah Syamilah).
Wassalam dan wallahu`alam.
*SAYA SAYANG ALLAH::*
*::SAYA SAYANG ISLAM::*
*::SAYA SAYANG RASULULLAH SAWS::*



Sunday, June 26, 2011

Kenapa Perlu Ditumbangkan Kerajaan (Bahagian I)

Salaam.

HAHAHA.. Sudah letih saya berdebat di alam maya Facebook dan akhirnya tidak mendapat apa-apa (serius, banyak remaja di Facebook yang sangat pakar dengan mainan politik. Terkejut sokmo bila baca ulasan mereka) *nampaknya, sudah ada kesedaran* nampaknya/harapnya begitulah.

Mana-mana manusia yang membaca segala macam entri politikar saya dalam blog ini akan perasan bahawa saya seorang 'fencesitter' ataupun neutralis. *Kenapa??* Soalan yang cukup bernas. Kerana saya seorang Muslim *tapi PAS... bukankah mereka Parti Muslim?* Ya.. mereka parti yang mewakili Islam. Tetapi ada fahaman mereka yang tidak saya berkenan. Contohnya perihal bersekutu dengan kafiir dan wadah perjuangan (demonstrasi).

Baru hari ini juga, saya diberikan pencerahan oleh beberapa orang sahabat (kredit: Mohd Azmi, Faris Ikhwan, etc.). Menurut mereka, PAS bersekutu dengan DAP atas dasar tahlul siyasah. Dinisbatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bertahlul siyasah dengan sekumpulan kabilah bagi mendapatkan bantuan Abu Sufyan.

Saya tidak akan menyentuh bahagian itu (nantilah entri lain). Apa yang saya ingin suarakan di sini adalah keharaman demonstrasi dalam Islam: dalam pemahaman ulama Salafi serta Ahlu Sunnah wal Jama'ah. Barang diingat, mazhab ortodoks Islam adalah Ahlus Sunnah dan ianya paling ramai penuntut (saya tidak berkata mazhab yang salah/sesat, ok?).

Salah satu hadith yang paling kuat menentang aktiviti demonstrasi (menentang pemimpin/bergantung dengan pemahaman) adalah hadith yang yang dinarasi oleh Junada bin Abi Umaiya;
Kami melawat Ubada bin As-Samit ketika beliau sakit. Kami berkata; "Semoga Allah menjadikan kamu sihat. Apakah engkau akan memberitahu kami hadith yang engkau telah dengar daripada Nabi (SAW) yang mungkin Allah memberikanmu kebaikan?". Dia berkata; "Rasulullah (SAW) memanggil kami dan kami memberikannya kesaksian untuk Islam dan antara syarat yang baginda ambil kesaksian dari kami adalah kami mendengar dan mentaati (arahan) pada masa kami bertenaga dan penat, and pada masa-masa susah dan masa-masa senang dan memberikan pemimpin kami haknya walaupun jika dia tidak memberikan kami hak kami dan tidak menentangnya melainkan kami melihat dia kufur yang mana kami akan mempunyai bukti daripada Allah SWT."
Persoalan yang timbul setelah dibacakan hadith ini adalah: adakah pemimpin kita, kafir? Jika kita mampu membuktikan bahawa pemimpin kita kafir, maka barulah diperboleh demonstrasi menentang beliau. Untuk ini, PAS telah menggunakan dalil Surahtul Maa'idah ayat 44:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu Nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendeta-pendetanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu) dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia) dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir."
Dalam respon terhadap pertuduhan ini, Bahagian Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri telah menerbitkan satu buku yang menceritakan secara komprehensif berkenaan tafsiran ayat ini mengikut ulama-ulama muktabar dan saya cuma akan mengeposnya di sini (saya berlepas dari tanggungjawab kesahihan dan ketepatan pentafsiran mereka). Di samping itu, saya juga akan menuliskan beberapa potong hadith yang yang saya petik dari perawi sahih (sahaja). Semoga Allah memberikan kemudahan untuk kita sama-sama mengamalkan suruhan Nabiyullah, Muhammad SAW.

i. BIDASAN HUJAH UMNO TERHADAP TUDUHAN PAS (seperti yang dituliskan dalam buku, 'Penjelasan Mengenai Isu Mengkafirkan Orang Islam, Jihad dan Mati Syahid', terbitan Bahagian Hal Ehwal Islam, di Jabatan Perdana Menteri. Cetakan 1986. Halaman yang dipetik: 8, 9, 10 11)

Dalam kitab Tafsir Ruhul Ma'ani, juzuk 6, halaman 130 mengenai ayat ini disebutkan tafsirannya seperti berikut: "Golongan Khawarij telah membuat hujah dengan ayat ini bahawa orang-orang fasiq (yang melakukan dosa-dosa) adalah kafir yakni tidak mukmin". 

Pendapat Khawarij ini dijawab oleh ulamak Islam dengan beberapa jawaban, antaranya:
 1. Ayat tersebut tidak dimaksudkan secara zahiriah kerana menghukum itu meskipun pengertiannya meliputi amalan hati dan perbuatan anggota lahir, tetapi yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah amalan hati itu sendiri yang "mempercayai" atau "tidak mempercayai" hukum Allah SWT. Maka tidak syak lagi bahawa seseorang itu menjadi kafir jika dia tidak mempercayai akan apa yang diturunkan oleh Allah SWT;

2. Dalam Tafsir Ruhul Ma'ani juga dijelaskan lagi bahawa Ibnu Abbas telah menyatakan bahawa "sesungguhnya Allah menurunkan ayat-ayat di atas (ayat 44, 45 dan 47 Surahtul Ma'idah) hanya mengenai orang-orang Yahudi, semata-mata."

3. Dalam kitab yang sama, Abi Salleh telah berkata: "Tiga ayat dalam Surahtul Ma'idah tersebut tidak kena-mengena dengan orang Islam ayat tersebut mengenai orang-orang kafir."

4. Dalam Kitab Tafsir Al-Kabir kerangan Imam Fakhruddin Al-Razi, juzuk 12, muka surat 5-6 mengenai ayat-ayat di atas disebutkan bahawa berhubung dengan ayat tersebut terdapat dua pendapat:
  •  Maksud ayat ini adalah untuk menakut-nakutkan orang Yahudi kerana mereka itu dengan berani mengubah hukum Allah mengenai hudud ke atas orang yang melakukan zina. Apakala mereka mengingkari hukum Allah yang termaktub di dalam Taurat, mereka berkata hukum itu tidak wajib. Maka oleh sebab itu mereka menjadi kafir mutlak. Mereka tidak berhak dianggap beriman sama ada kepada Nabi Musa AS dan Taurat ataupun kepada Nabi Muhammad SAW dan Al-Qur'an.
  • Ayat ini ditafsri golongan bermazhab Khawarij bahawa tiap-tiap orang yang melakukan dosa penderhakaan kepada Allah SWT adalah kafir; setiap orang yang mengerjakan dosa termasuklah mereka yang menghukum selain yang diturunkan oleh Allah SWT, mereka adalah kafir. Mengikut pendapat ulama tafsir bahawa maksud ayat tersebut bukanlah demikian. Kata Akrimah; "Firman Allah dalam ayat di atas hanya bagi mereka yang ingkar dengan hati dan membantah dengan lidah akan hukum Allah SWT tetapi masih beriman dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT, maka mereka tidaklah termasuk dalam maksud ayat tersebut. Inilah jawaban sahih menurut Al-Fakhrul Razi.
5. Mengikut pendapat yang muktamad dalam Tafsir Al-Qurtubi Jilid 6 halaman 190: "Ayat-ayat di atas keseluruhannya diturunkan kepada orang-orang kafir di ...mana thabitnya yang demikian itu di dalam hadith Sahih Muslim dari seorang sahabat bernama Barra' bin Azib sebagaimana yang telah diriwayat terlebih dahulu. Dan di atas ayat inilah dilandaskan pendapat kebanyakan Ahli Tafsir. Adapun orang-orang Islam maka tidaklah sekali-kali menjadi kafir walaupun ia melakukan dosa besar. Ada pendapat yang mengatakan firmanullah tersebut (Surahtu Ma'ida, ayat 44) mengandungi maksud tersembunyi iaitu: Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT kerana ia menolak al-Qur'an dan tidak mengikuti ajaran Rasululllah maka ia menjadi kafir."

6. Dalam Tafsir At-Tabari, jilid 6, muka surat 257 mengenai ayat tersebut, terdapat satu pendapat yang paling muktamad tentang huraian ayat di atas sebagaimana berikut: "Dan yang paling tepat dalam segala pendapat yang tersebut ini ialah pendapat golongan yang mengatakan: bahawa ayat ini diturunkan kepada orang kafir Ahlil-Kitab (Yahudi) kerana kenyataan sebelum ini adalah ditujukan kepada mereka. Jadi merekalah yang dimaksudkan dalam ayat tersebut. Manakala ayat ini juga adalah ekoran berita tentang mereka itu. Maka sudah tentulah ayat ini tetap merupakan peristiwa tentang hal-hal mereka."

7. Hujah ulama di atas disudahkan dengan empat konklusi besar:
  • Ayat 44 Surahtul Ma'idah adalah ditujukan kepada orang kafir Yahudi keran mereka mengubah hukum Allah dan menggantikannya dengan hukuman ciptaan sendiri. Ini jelas dari ayat tersebut yang mengisahkan turunnya Kitab Taurat yang dikaitkan dengan orang-orang Yahudi.
  • Tidak menjadi kafir seseorang Islam yang tidak melaksanakan hukum Islam dalam sesebuah negara selagi ia tidak mengingkari kebenaran hukum tersebut yang datang dari Allah SWT; apatah lagi jika ia (atau mereka) tidak mempunyai kuasa penuh untuk melakukan sedemikian.
  • PAS mengkafirkan UMNO adalah semata-mata atas dasar perbezaan politik kerana kedua-duanya merebut pengundi Muslim, khasnya orang Melayu.
  • Bahawa tanggungjawab melaksanakan hukum Islam sepenuhnya di negara ini bukanlah tanggungjawab UMNO semata-mata, tetapi tanggungjawab semua parti politik di negara ini. UMNO secara bersendirian, tidak mempunyai keupayaan untuk melaksanakan tugas tersebut kerana anggotanya di parlimen tidak mempunyai majoriti 2/3; lebih-lebih lagi kerana orang-orang Islam, khasnya parti politik orang Islam sentiasa bercakaran antara satu sama lain.
*Kesimpulan peribadi: UMNO tidaklah kafir dan dengan itu, tidak wajib ditentang. Segala macam perbuatan yang bertujuan untuk menentang kerajaan oleh itu adalah HARAM, meskipun pada kita, tindak-tanduk UMNO berbaur korupsi dan tidak adil, serta tidak memenuhi hak rakyat. Dikeranakan menurut hadith awal sekali mengatakan bahawa melainkan pemimpin itu kafir, maka ia tidak boleh ditentang.* Wallahu'alam.

Tuesday, June 14, 2011

#463: Warna Diri


"Kau suka warna apa?"
"Warna ungu.."
"Saya warna ungu"
"...."
"Dengar tidak, saya warna ungu!!!!"
"Saya suka warna merahlah"

Tidak kisahlah anda "warna" apa, yakinlah ada manusia yang sedang menunggu kedatangan anda dalam hidupnya. Apabila seorang penulis blog yang rapat dengan saya menyebutkan pasal warna airnya yang berhabuk, tidak terpakai, saya terpanggil untuk mengekspresikan diri saya berkenaan warna. Warna diri.

Saintis menyebutkan bahawa ada 16 juta jenis waran berbeza. Mata manusia mustahil untuk membezakan satu dengan yang lainnya, lantaran julat lambda gelombang cahaya antara satu warna dengan yang lain sangat kecil. Mata manusia mampu membezakan satu warna yang jauhnya 1 nanometer dengan warna lain dalam spektrum biru-hijau dan spektrum kuning. Ini Ensiklopedia Britannica yang kata.

16 juta warna itu, terhasil dari percampuran warna primer, sekunder, tertiari dan kuartenari. Sedikit kurang, maka warna lain akan terhasil. Contohnya campurkan merah dan biru. Terlalu banyak biru akan menghasilkan warna lembayung dan terlalu banyak warna merah akan menghasilkan warna magenta. Bayangkanlah..

Sekarang, buka kotak imaginasi anda luas-luas dan andaikan setiap warna yang membina warna lain sebagai nilai manusiawi atau lebih baik, kesedaran. Sudah tentu anda dengan automatiknya membayangkan bahawa akan ada pelbagai jenis warna dari percampuran nilai-nilai tadi.

Begitulah kita...diri kita ini umpama warna. Kita pilih warna yang kita suka, yang kita rasakan bagus untuk imej kita, dan gabungkannya. Terjadilah personaliti diri. Warna diri kita terhasil dari pecahan kecil kesedaran dan nilai. Jika jelik "warna" yang anda pilih, maka jeliklah pula "warna" diri anda. Logik, bukan?

Sekarang, kita tahu bahawa kesemua 16 juta warna ini dataag dari kerawakan percampuran tiga warna asas; merah, biru dan kuning. Dan kita juga tahu bahawa tiga warna ini datang dari satu warna yang paling utama; putih. Seperti diri kita, setiap nilai itu datang daripada Dia yang Satu. Perhatian dimohon bahwa saya tidak berniat untuk menyamakan Tuhan dengan warna putih *subhanAllah*, cuma membuat analogi mudah.

Walau bagaimanapun rupa warna anda, kita semua datang dari Yang Satu dan kepadaNya juga kita kembali. Maka tidak ada gunanya untuk kita berbangga dengan betapa meriahnya warna diri anda, kerana seeuforia manapun kita, kita di bawah kekuasaan Dia.

Dan dari sini kita juga tahu bahawa fitrahnya, kita adalah makhluk yang suci. Ingat lagi tidak, pendapat yang mengatakan bahawa bayi ini fitrahnya bersih, tidak ada dosa. Bayi umpama kain putih, dan ibu bapalah yang mencorakkan anak-anak mereka. Sebenarnya, ibu bapa hanya menyediakan kanvas, tripod dan palet warna, sedang si anaklah yang mencorak diri mereka apabila mereka sudah besar. 

Ibu bapa dengan itu bertanggungjawab menyediakan warna yang sepatutnya untuk si anak. Kalau mahu dia secantik zirkon, tidak patut untuk menyiapkan palet hitam untuknya. Sediakan biru dan hijau. Bentang kanvas si anak seluas-luasnya agar dia mempunyai lebih ruang... dan lebih baik sediakan juga warna putih; warna ruuhani untuk mencantikkan lagi warna diri si anak.

Ada banyak lagi pengajaran serta nilai penghargaan dari observasi filasafat terhadap warna. Saya hanya mengemukakan lima; dan ianya kelihatan sudah terlalu banyak. Kesimpulannya, bersyukurlah dengan warna anda, tetapi dalam masa yang sama, sentiasa memperbaiki warna diri. Tuhan sentiasa menyediakan kita peluang untuk memadam warna yang lalu, dan menggubah skim warna baharu. Sentiasa menghargai diri, kerana itulah karya yang anda hasilkan dengan tangan sendiri. Peluk ia erat-erat. Sangat banyak mampu kita belajar dari benda seremeh warna, bukan? Begitulah indahnya ciptaan Tuhan :)

Apa warna anda?

Kelahiran Makhluk Tuhan (Peristiwa Yang Mengharukan)

Salaam...ini kucing, namanya Chomel *sebenarnya ejaan itu "Comel"* saja mahu meng-'emphasize'-kan maksud comel itu sendiri. Dia merupakan seekor kucing betina yang bunting dan dia agak comel jugaklah.. sesuai dengan nama. Dia kucing keluarga saya yang kedua senior selepas si Kiki *dekat setahun sudah ni, umur si Chomel**sepatutnya pos ini ditulis sehari lalu**DIAM!* OK, memang betul cakap si... hmm, Ungu tu. Kelmarin si Chomel selamat melahirkan anaknya. Comel-comel semuanya, saya rasa si Chomel ini memang dari baka yang baik. Di bawah merupakan gambar sebelum dia bersalin *wehh, beranaklah..* ah ya.. hehe, beranak.

Tidak perlu menjerit "Awww~~" dengan kuat. Saya tahu dia comel.
Mata dia sangat memberi kesan psikologi. Kalau kami makan (terutamanya ayah),
 mesti dia datang dekat dan berdiri, minta makanan. Siap pegang tangan ayah lagi :)
Merenung masa depan anak-anak *Yassin, berhenti melayan Chomel seperti dia seorang manusia.
Dia kucinglah!* Eh, dia yang mula dulu..

Boncit dan muka yang kepenatan *saya faham rasa lelah ketika mengandung..* weits!
Berdasarkan beberapa gambar di atas, kamu rasa ada berapa ekor anak kucing yang Chomel lahirkan? Dua, tiga atau empat? Sebenarnya ada empat ekor anak yang dilahirkannya. Adik perempuan saya pula yang gembira apabila si Chomel melahirkan anaknya *macam dia yang bersalin, HAHA* HAHAHA, ada-ada sajalah kau ni.

Mari saya cerita detik-detik terakhir sebelum anak-anaknya lahir: pagi itu (sekitar jam 2.00AM), adik saya yang tidur berdekatan dengan ibu terdengar suara dengusan bercampur rengekan kecil. Selepas itu, dia ternampak si Chomel tengah mengiau *atau mengerang* berhampiran ibu. Mungkin meminta pertolongan dari ibu *biasalah, ini pertama kali dia melahirkan anak*. Adik saya bangunkanlah ibu.

Ibu terbangun dan terus berdiri. Dia hanya mampu mengusap lembut kepala Chomel, memberi kekuatan.Setelah dalam beberapa puluh minit bertarung, akhirnya terbunjul satu kepala. Ada tangisan halus yang bergema dalam kegelapan malam itu. Ibu terus bangkit, duduk di ruang tamu untuk memberikan Chomel ruang bagi melahirkan anaknya yang lain. Mereka (ibu dan dua adik saya) ingat hanya dua anaknya, sekali periksa semula, rupanya empat. Sekarang spekulasi bahawa ada lagi satu anaknya yang belum dilahirkan berlegar *BALK, kau ingat ini macam cerita konspirasi, kah? Berhenti buat begitu*.

Inilah alhasilnya.





Kecil kepala dia...comel sangat.


Nampak tak, uri tembuninya *yang warna merah tu.. waiiiii...* HAHAHA, kan diri sendiri terkena.



"Selamat melihat dunia, Si Putih Salji!!". 

(gambar: kredit kepada adik perempuan saya, Nur Amalina)
First Alphabet

Sunday, May 22, 2011

Jangan Pandang Rendah

Kisah ini saya petik dari sebuah blog dengan sedikit penambahan. Cerita ini agak comel *macam kau, Yassin* tolonglah, jangan buat perangai *ERK!*.. di mana sudah saya tadi.. arh ya, cerita ini agak comel dan sangat menyentuh hati juga. Yang diambil daripada cerita ini harus pengajaran; jangan pula kamu buat perkara yang sama. Mahu jadi bahan ketawakah, apa..
Azah kemurungan. Dirinya sudah tidak dapat menanggung rasa sendiri yang memenjara. Dia perlu mendapat seseorang untuk dijadikan teman hidup yang sah. Ibunya juga sudah berpesan sebelum dia kembali ke universitinya untuk semester terakhir itu, untuk mencarikan menantu baginya. Mahu menimang cucu, katanya. Azah mula-mula mendengarkan itu tersenyum simpul juga, memang itu juga yang diinginkannya. Yalah, pengajian hampir tamat dan kerja senang pula didapati. Dengan semua itu, fikirnya, sudah cukup syarat untuk menjadi isteri orang
Tetapi untuk melaksanakan impian ibu dan dirinya itu, dia mengalami satu masalah. Dia anti-sosial dan dikenali sebagai budak paling 'nerd' atau 'geek' di seluruh maktab. Pelajar perempuan semua tidak menyukainya; tidak tahu pula pelajar lelaki. Namun jauh di pangkal kesedaran diri, pelajar lelakipun seakan tidak suka dirinya yang terlalu konservatif dan berpegang kepada adat dan peraturan universiti. 
Azah boleh dikatakan pelajar yang cemerlang dan terkenal juga. Dalam kalangan penuntut universiti wanita, dia terkenal sebagai bahan ketawa dan hinaan. Entah kenapa dirinya dibenci sedemikian rupa, dia tidak pernah tahu. Perangai buruk, tidak juga. Pernah berkonsultasi dengan ibunya, ibunya kata mereka semua cemburu dengan kecantikan Azah; dan Azah tahu benar, itu cumalah suatu cara menjaga hatinya.
Suatu hari, dilancarkan sebuah permainan peringkat universiti yang dianjurkan oleh Kelab Pencinta Manusia. Mereka meletakkan sebuah pokok tiruan di tengah kampus. Cara bermain  mudah sahaja; setiap seorang diminta untuk menuliskan nama serta pesanan berupa cinta, sayang, rindu; apa-apalah yang berbentuk kecintaan pada sehelai kertas, kemudian melekatkannya. Namun syaratnya, si penulis pesanan tidak boleh menujukan pesanannya kepada sesiapa. Mesej cinta yang ditulis mestilah bersifat umum.
Azah yang mendengarkan berita permainan itu mendapat suatu idea. Kenapa tidak dia gunakan peluang itu untuk mendapatkan pasangan hidup? Dia tersenyum dan mengambil sehelai kertas, lalu menulis:
Maka setelah menulis ini, dilekatnya pada dahan pokok tiruan tadi. Berdebar-debar dia ketika melekatkan itu. Waktu dia menulis di situ, tiada sesiapa yang berada di situ. Perkara itu memang dia yang rancang kerana dia malu orang nampak. Takut dia menjadi buah mulut orang yang jahat hatinya. Mereka tidak faham betapa diapun seorang manusia. 
"Ihh.. orang macam diapun mahu juga bercintakah?" Inilah yang ditakutkannya. Meski belum pernah berlaku, risiko tidak patut dicerobohi. Risiko perlu disimpan dalam-dalam dan kalau boleh disembunyikan dari pandangan manusia lain. Setelah menyelesaikan hajat, dia langsung beredar dari situ. Hidupnya diteruskan seperti biasa bagi sisa-sisa hari itu. 
Keesokannya, dia bersiap awal. Mengenakan sweater long-sleeves  hitam dan snowcap kelabu, berkaca mata seperti biasa; dia berusaha untuk menjadi secantk-cantiknya. Setelah usai menyikat rambutnya yang panjang, terus dia bergerak keluar balkoni; ingin melihat siapakah gerangan yang sudi menjadikan dia sebagai pasangan hidup. Hehe..
Dia tengok.. terkejut.

Begitulah adanya. 

Merenung Manusia



Penderitaan yang tidak pernah padam; sentiasa marak membakar jiwa si anak muda; meributkan suasana, menggegar takhta. Siapa yang menyangka; tangan sekecil itu mampu meruntuhkan segenap istana? Asal bertempik sahaja suara merdeka jiwa yang dirias indah mujahadah, semuanya bisa. Malah bisa pula dia memimpin tentera yang membentengi hak-hak manusia. Setakat desingan bingit senjata, sudah dia biasa.

Bukan mengiring rasa riak, mahupun menjunjung sikap esentrik; tetapi realiti perlu dihadapi dengan ego. Tanpa ego, mati jiwa yang bersaing, punah lorong perlumbaan kehidupan; tiada dinamiknya. Pendek kata, hidup itu tunggaknya ego yang menjulang *bukan menjulang* tetapi mengguntur *menakutkan* berdentam-dentum.. ehh, kau boleh ke tepi sedikit? *(tiada bunyi)*.

Gerun bukan alasan berhenti, kalah bukan sebab berpatah kembali; kalah atau berserah, malah, tiada jalan kembali. Hanya kepastian yang kabut dikocak kerisauan tentang masa depan. Gerisik waras yang tadinya lancar bertingkahpun diam digertak ketidakpastian. Takdir ada jalannya, telah ditentukan itu.

Berselindung di sebalik parut derita; bekas cangkuk pengalaman. Mencandat kemenangan dengan pengorbanan termulia, menunduk pada tenang air laut kehidupan. Dia yang setia berembun masin, menunggu tangkapan. Subuh masih bersengkang mata, masih mencandat:- harapan pun jadilah.

Denai hijau, gaungnya membunuh jua. Gunung indah, jika jatuh di puncaknya, mati juga. Bertongkatkan kudrat yang masih bersisa, dia masih memimpin bangsa manusia yang ingin tahu lereng-lereng rimba; syurga cintanya, lubuk harta. Rimba adalah kanvasnya melukis masa depan:- upah bertukar tangan, si ungka liar jadi saksi ubannya yang semakin subur disiram titis rimba.

Friday, May 20, 2011

Nilai Kasih Ibu

Nazri mengeluh singkat. Kemarahannya yang dari dulu ditahan-tahan, tidak tertampung lagi; kesabaran sudah habis. Dia yang sedang duduk di sofa, menjahit seluar sekolah hijaunya itu lantas berdiri. Baginya, batas sudah dicerobohi, dia harus bertindak. Maka bergeraklah dia mendapatkan ibunya yang dari tadi baring, melayan tidur.

Nazri bukan tidak pandai. Di sekolahnya, dialah harapan UPSR sekolah, malah mendapat pengiktirafan pelajar terbilang lagi. Dia disanjung semua barisan guru-guru dan itu termasuklah juga guru besar. Sebab itulah dia mudah mendapat Biasiswa Kecil Persekutuan. Dalam kalangan teman-teman, dia selalu jadi tumpuan kerana suaranya yang lantang serta peribadinya yang berdisiplin:- yalah, Ketua Pengawas, kan.

Tapi disiplinnya pun tidak dapat mengempang rasa marah terhadap ibunya. Dia sudah cukup lama bersabar dengan perangai ibunya. Di rumah, Nazrilah yang memasak nasi, menyapu halaman rumah; malah membasuh kainpun dia. Sungguh meletihkan, dan tragis baginya perkara itu kerana sejek kematian ayahnyalah, ibu bersikap begitu. Dan pada hari itu, dia ingin menunjukkan sedikit disiplin kepada si ibu yang masih berbaring mengipas diri.

"Mak!" bentak Nazri. Terduduk Mak Jah jadinya. Terus kipasan dihentikan, kepala dialihkan ke arah Nazri. "Jahitkan ini untuk Ayi.." tambah Nazri lagi sambil mengunjuk seluar sekolah hijaunya.

"Tapi, Yi...." balas Mak Jah, nama emak Nazri.

"Ahh! Tiada tapi-tapi. Kerja di rumah ni, mana ada emak buat, semuanya Ayi yang bereskan. Mak tau tidur, makan, tidur, makan. Ayi tak tahanlah mak!"

"Ayi! Sampai hati Ayi cakap macam tu.. ini emak, Ayi.. yang mengandungkan Ayi.." balas Mak Jah pula, meminta belas. Secebispun jadilah.

Mendengarkan lasan ibunya itu, Ayi bertambah berang. Matanya bertukar warna, mukanya merah padam. PAAP! satu tamparan mengenai muka Mak Jah. Terus Mak Jah menekup mukanya, takut ditampar lagi. Dia sudah tua, sudah tidak berdaya melawan. Berserah, ya.

"Ehh, mak buat jelah! Aku nak masak nasi. Kalau mak taksiapkan, tak makanlah emak hari ini."

Sungguh; demi sungguh, hati Mak Jah pecah berderai. Tidak pernah terlintas di  hatinya akan Ayi berubah sedemikian  begitu. Walhal, dialah yang dahulunya mengandungkan, menyusukan serta membelai Ayi. Pipi yang Ayi tampar; itulah yang menghangatkan tubuhnya ketika dia masih lagi bayi. Sungguhpun begitu, Mak Jah lakukan juga suruhan Ayi. Bukan nasi yang dikejarnya, dan bukan pula rasa takut ditampar lagi yang dia gusarkan. Akan tetapi kasih sayang.. dia tidak mahu kasih sayangnya dicemari rasa benci terhadap Ayi. Dia sayang sangat Ayi.

Ayi pula, dalam pada itu, berasa puas dengan tindakannya tadi. Sudah lama dia memendamkan keinginan untuk menampar wanita itu. Jijik dia; sudahlah pemalas, tidur saja kerjanya. Maka bagi dia, menampar wanita yang digelarnya emak itu adalah suatu kewajaran.

Setelah hati ditenangkan, dia memulakan tugasan harian. Memasak nasi; mengemas serta melipat kain yang baru saja diangkat dari tali jemuran. Sesekali pengasingan dilakukan untuk membezakan seluar dengan baju, dan dari kain batik Mak Jah. Usai itu, dia bergegas ke dapur. Periuk nasi sudah berhenti bergegar. Nasi sudah masak.Lantas dia mengaut sepiring nasi dan dicedoknya ikan rebus; diletakkan di sisi  nasi. Berjalan ke tempat Mak Jah.

"Hah, dah siap?", separuh menjerit; separuh menyapa. Sapaan dari naluri manusia, atau mungkin naluri anak. Suaranya yang tadi tinggi menggempa, diperlahankan. Sementalahan, piring tadi diletak di tepi.

"Belum, nak...", jawab Mak Jah. Menggeletar dia.

"APAAAAA!!! Mak ni, kerja macam itupun kau lembap. Mak, biasiswa aku yang menyuapkan nasi ke mulut mak, tau? KAU TAU!!"

Jeda. Menghela nafas marah.

"Haah, bak sini seluar tu.. apa yang mau disembunyikan!" Nazri memerintah, sambil jarinya menunjuk kedua belah tangan Mak Jah yang berselindung di belakangnya. Terketar-ketar Mak Jah menghulurkan tangan. 

Demi sahaja Mak Jah menyuakan tangan, Nazri terduduk.. berdarah seluar itu; dan melihat jemari Mak Jah, dia tahu dari mana punca itu. Jemari Mak Jah jelas terjahit sama dengan sulaman benang putih tadi. Dan dalam pada itu, Mak Jah bersuara,

"Maafkan mak, nak. Mak ni buta, tak boleh buat bagus-bagus. Kalau mak boleh jahit dengan baik, mak pasti akan jahit dengan sebaiknya. Maafkan mak, nak.."

 ...apalagi yang mampu Ayi perkatakan. 
===============================================================================================================================
{|  "Seorang ibu mungkin buta matanya; tetapi hatinya sentiasa suci mengasihi. Selamat Hari Ibu"  |}

Thursday, May 19, 2011

Buka Halaman Baru

Salaam, hari ini memang mengujakan *yeah, writing two adjacent posts in one row IS a sign of excitement* Hahahaha..

Oits, mahu umumkan hari ini; mulai hari ini, saya akan ubah cara tulis blog. Ada beberapa aspek yang saya rasa perlu diubah *Ya.. kan citarasa manusia berubah* Jangan tanya kenapa saya ubah polisi penulisan sebab.. *inikan 'Blogku: Suka Hatikulah Mahu Menulis Apa'* SALAHLAH! Sebenarnya, 'Ini Blogku. Aku punya suka', HAHA.. baiklah, serius sekejap.
  1. Memandangkan kerawakan *maksud kau, 'randomness* Ya, memandangkan 'randomness' semakin kerap berlaku, maka saya yang kemas dan berdisiplin ini ingin *PERGHH.. paling kemas* Diamlah! *(berdehem)* Saya ingin menutur polisi baru. Entri akan ditulis dengan lebih bersifat fokus serta tidak rawak. Lihat sajalah segala macam pos saya.. memang macam rojak *tahu takpa* DIAMLAH!
  2. Bahasa Melayu akan dimaksimakan sehabis mungkin.. entahlah, selepas menjawab soalan Bahasa Melayu Kontekstual pagi tadi, saya rindu pula dengan Bahasa Melayu *maksud kau, tiada lagi Bahasa Inggeris?* Ehh, tiadalah.. cuma kalau pos tu dalam Bahasa Inggeris, minimumkan Bahasa Melayu, kalau pos berbahasa Melayu, istilah Inggeris dimaksimakan *ohh.. maksud: tiada rojaklah?* Ya.. ada seorang kawan di laman sosial 'Facebook' *Ehh!? Tu Bahasa Inggeris!* LOL, itu jenama laman sesawang, mana boleh ubah, nanti lain jadinya; jangan mencelah, boleh? *..=,="..* Haah, baru gempak macam tu. Sebenarnya ada seorang kawan di 'Facebook' yang setengah jiwa memperjuangkan Bahasa Melayu. Datang pula rasa bertanggungjawab untuk membantu beliau *tabik springg!* Ya, tabik spring..
Haha, itu saja. Ada dua pembaharuan blog. Oh ya, rupa pun sudah direvolusikan, nampak kemas sikit *kemas kerr~* Hei, adalah juga sikit *Yelah, yelah..*

Hmm.. pembaharuan berikutnya, saya akan tuliskan di pos akan datang. Salaam..

Sunday, May 15, 2011

..dedikasi buat anda..

Salaam/Regards,

Sebenarnya, entri ini dituliskan sebagai dedikasi kepada setiap manusia yang bernafas di muka bumi ini, yang saya gelar sebagai kawan (ini adalah respon untuk entri yang terdahulu: di sini).

Maaf kalau ada bahagian dalam matan entri ini menimbulkan iritasi serta keGOLIan melampau kepada diri anda. Berlaku jujur adalah suatu yang pahit untuk semua pihak, kadang-kadang. Heii.. lagipun 'tagline' blog ini bukankah "Blog ini Semestaku"? Maka suka hati sayalah  untuk mengepos apapun, meskipun entri berbaur lucah (OK, that's just..)(jangan haraplah)(tapi kemungkinan itu tetap ada)(berhenti merepek, balik kepada topik)(OH NO, 'personal incredulity).

Baiklah, mari kita jadi serius sekejap. Jadi matang. 


Dahulu, saya punya seorang kawan yang sangat baik hati. Dia suka sokong, bagi nasihat dan bantuan. Dia orangnya kuat serta tabah pula; bertahan diri untuk berkawan dengan saya. Nampak dirinya seperti sedang melihat seorang malaikat, penuh kebaikan, malah kebaikan itu bersinar mulus dari cara dia senyum. Tapi itu lama dahulu..

Saya tidak kisah dia telah berubah, dia banyak berubah. Meskipun sinar mulus tadi masih berbaki, watak sudah berbeza. Jauh berbeza :(

Seingat saya dahulu, dialah ketua pengawas, dialah penentang orang yang hisap rokok. Dia bela pelajar depan penolong Hal Ehwal Murid (HEM), sangat berdedikasi saat itu. Walaupun usia baru beranjak sedikit dari umur 15 tahun, dia tidak kisah. 

Solat jangan katalah. Jujur, meskipun dia hidup susah lebih daripada saya, amalan tinggi menggunung. Jenuh leher mendongak untuk melihat puncak gunung amalnya. Saya pernah bermimpi untuk jadi macam lelaki ini; jadi berdisiplin, baik hati, komited, pandai, muhsin, mukmin dan abid. Sungguh sempurna.

Baru-baru ini, tidak sangka boleh bertemu lagi dengan dia. Sedikit gembira, meskipun hanya melalui 'Facebook' sahaja. Berceritalah sekejap~lepas itu saya tersedar, di sebalik perubahan drastiknya; masih ada secebis "dia yang dahulu". Masih ada seulas "hati yang dahulu saya kagumi". Memang tersentuh masa sear akan hal itu..

Saya diberitakan bahawa dia yang dahulunya anti-rokok, kini telah menjadi penghisap tegar oleh seorang kawan. Mahu saja saya memberi sedas penumbuk diperut sipemberita. Pandai-pandai saja dia membuat cerita, memfitnah kawan yang saya sangat sanjung. Tetapi kalau sudah dua-tiga orang yang sahkan, takkanlah menipu pula. Maka saya bersedih :(


Tetapi melalui entri ini (*******, harap awak membaca ini.. harap sangat), saya ingin memberitahu anda, sekejam manapun anda, sezalim manapun anda sekarang; saya masih sayang awak sebagaimana saya sayang "dia yang dahulu". Awak banyak beri impak kepada diri saya, terutamanya dalam aspek kesedaran. Kalaupun saya benci awak yang sudah jadi perokok, saya masih sayang bahagian awak yang ada "sinar mulus".

Maaf--saya tiada di situ masa awak perlukan. Mungkin itu punca perubahan sikap awak. Saya terpaksa meninggalkan kelab tidak rasmi Bawah Pokok Mangga demi mengejar cita-cita dan memenuhi aspirasi/harapan keluarga. Harap dapat jumpa lagi di lain hari. Dan bila kita jumpa semula, harap yang berdiri di hadapan saya "dia yang dahulu". Amiiinn...

Ada orang kata, "Sayangilah yang ada sekarang, lupakan mereka yang memberi kesakitan. Lupakan mereka yang berpura-pura beri kekuatan dan tunjuk iltizam; tetapi diri-sendiri mengalah dan kurang keazaman."
-

-
Saya benci kata-kata itu. Tidak benar--sejahat manapun kawan kita, merekalah yang memberikan jalan pada diri kita untuk menjadi lebih sedar. Hargai 'part' yang itu.
(P/S: Apa kata kita baca perihal 'Batas atau Perlindungan?'

Thursday, May 12, 2011

Pada Semua.. Ada Ekspresi.Pernah

Salaam/Regards,


Untuk entri ketiga bagi hari ini, ingin saya berkongsi tujuh foto yang tertangkap melalui SE J20i Hazel saya. Lama sudah gambar ini, cuma tidak terpos. Baru tadi saya menyelongkar segala galeri yang ada di dalam komputer riba, mencari sesuatu. Akhirnya, ini juga yang saya jumpa. Sekali nampak, tiada apa yang istimewa.  Tiada?? ..mari kita selidiki semantik mereka.


Memandang foto yang ini, hatiku tiba-tiba tertusuk dengan suatu rasa yang sangat  menyedihkan. Rasa itu  menggaru kasar hatiku. Rasa itu menghujatku. Inilah aku, seperti penyapu. Penilaian bukan fizikal yang aku buat, tetapi berbentuk sarkasm. Aku seperti penyapu, disingkirkan dan kadang-kadang memilih untuk menyingkirkan diri. Kadang-kadang. Aku tidak suka kekotoran, tetapi itulah yang kutentang setiap.  Aku benci kejijikan, luar dan dalam. Untuk memilih mana yang lebih kuperangi, aku pilih dalaman.
Faceless.. identiti tiada rupa. Terbungkam diri bila kesedaran mengetuk kekosongan. Bergema dan bertaluan ketukan itu, menggegar sukma, menyiksa jiwa. Bukan aku yang memilih begini, tetapi engkau yang lebih rela begitu. Untuk sampai saat ini, biarlah aku berkorban. Tanpa wajah, aku masih manusia.
"Persoalan dalam alam semesta yang paling misterius adalah diri kita sendiri..", itu kata ahli falsafah Eropah yang sangat kukagumi, Mark Twain. Benar apa yang beliau misalkan. Kenyataan beliau itu tidak beranjak sedikitpun daripada realit; betul amat. Kita bekerja di siang hari, makan, minum, bergembira dan beriadah bersama keluarga. Kita tergelak tersenyum, geli hati dan terhibur; dari awal terbit mentari sehinggalah ke matahari terbenam. 
Pernah tidak di tengah malam, anda tidak bisa tidur. Seperti ada sesuatu yang tidak lengkap dalam jiwa kita. Apakah belaian, usapan dan suapan zahir siang tadi tidak mencukupi? Apakah zahir masih lapar lagi? Tahukah anda yang merengek di dalam juzuk anda adalah JIWA. Jiwa perlukan belaian, perlukan pedoman dan tauladan. Jiwa perlukan sesuap kisah untuknya mencerna. Setelah kenyang zahir, ruuh masih kebuluran, rindu pada sekilas pandang ilmu. Pada sesaat sujud. Berilah ruuh hak yang sepatutnya. 
Menggigit parah, pada hati. Kesilapan yang tidak mungkin bisa ada undurnya. Namun pengajaran.. pengajaran akan sentiasa menjadi badi kemusnahan. Reja kegagalan. Jatuh bukan alasan untuk tidak bangkit, dan luka bukan sebab untuk tidak sembuh. Jalan.. jalan senantiasa ada terbuka, cuma kita terlalu mengagungkan kepuasan mata zahir, menyembunyikan betapa rindunya mata hati kita untuk menilai dunia. 
Apakah kita pernah beri peluang kepada hati untuk melihat dunia luar? Untuk punya ruang berekspresi? Hah, dan kita salahkan kekurangan zahiriah sebagai punca derita. Buka hatimu pada keluwesan. Hati adalah burung merpati putih di sangkar emas. Meskipun mewah, tanpa sedikit kebebasan, ianya seakan mati. Tiada nilai.
Pada keping-keping kaca, ada kesan darah. Darah bukan darah diraja; ia darah  manusia yang membongkok setengah hari di antara lautan selut. Membanting nyawa, berhempas-pulas nyawa untuk bertahan. Kaca itu bukan perangkap, bukan.. kaca itu hasil titik peluhnya. Hasil setengah umurnya berjemur antara hidup dan keterpaksaan.
Aku bukan anti-kerajaan, aku pro-rakyat. Kenapa petani kita perlu bersia-sia memeras seluruh tubuh, menyeru segenap tenaga untuk suatu kesia-siaan? Mengapa dibiarkan mereka basah dengan lumpur dan keringat, tidak dilap sekurang-kurangnya dengan kain harapan. Bahawa esok tidak lagi begini.
Wahai petaniku sayang, teruskan membongkok pada takdir, tetapi bangkitlah pada realiti. Letakkan cangkulmu, kita berpimpinan. Depan duta, depan parlimen kita sorak harapan; royalti, hak dan kewarganegaraan. Kita tanya mereka, untuk siapa mereka berjuang? Untuk siapa mereka menduduki takhta?
Hujan.. suatu manifestasi wujud rahmat. Suatu simptom ilahiah, petanda WujudNya Dia yang memerintah. Melihat setiap getar bisikan yang sesunyi-sunyinya, bergementaran pada kekosongan hendak. Mana tahu rahmat belum capai, mana tahu. Jiwa yang fakih sedar hujan adalah kiriman salam Tuhan, lalu disambutnya dengan senyuman dia dengan Tuhan. Nafi dia, tidak. Dia tidak nafi hujan jerangkap maut, hujan punca celaka sungai.. pada yang tidak bersedia, hujan pengangkutan ke lubang neraka. Pada yang sudah gagah meyakini diri dan iman, bersandar pada pasrah. Jadi atau tidak banjir, tiada berkisah. Yang penting bertemu hakikat kemustahilan. Bertemu Pencipta yang dirunduinya setiap malam.  
Intelektualisme ialah sesuatu yang tidak mampu dicabar. Sekuat manapun mentaliti, kewarasan harus ada, harus jaga. Kerana dengan kewarasan, semuanya jadi rasional. Ketidaksanggupan menghadap lupus saudara bukanlah namanya perjuangan. Tidak penting siapa yang bunuh, yang penting kenapa dibunuh. Yang penting pengajaran dari kematiannya. Itulah yang tidak sia-sia.

Ohana :)