Sunday, June 26, 2011

Kenapa Perlu Ditumbangkan Kerajaan (Bahagian I)

Salaam.

HAHAHA.. Sudah letih saya berdebat di alam maya Facebook dan akhirnya tidak mendapat apa-apa (serius, banyak remaja di Facebook yang sangat pakar dengan mainan politik. Terkejut sokmo bila baca ulasan mereka) *nampaknya, sudah ada kesedaran* nampaknya/harapnya begitulah.

Mana-mana manusia yang membaca segala macam entri politikar saya dalam blog ini akan perasan bahawa saya seorang 'fencesitter' ataupun neutralis. *Kenapa??* Soalan yang cukup bernas. Kerana saya seorang Muslim *tapi PAS... bukankah mereka Parti Muslim?* Ya.. mereka parti yang mewakili Islam. Tetapi ada fahaman mereka yang tidak saya berkenan. Contohnya perihal bersekutu dengan kafiir dan wadah perjuangan (demonstrasi).

Baru hari ini juga, saya diberikan pencerahan oleh beberapa orang sahabat (kredit: Mohd Azmi, Faris Ikhwan, etc.). Menurut mereka, PAS bersekutu dengan DAP atas dasar tahlul siyasah. Dinisbatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bertahlul siyasah dengan sekumpulan kabilah bagi mendapatkan bantuan Abu Sufyan.

Saya tidak akan menyentuh bahagian itu (nantilah entri lain). Apa yang saya ingin suarakan di sini adalah keharaman demonstrasi dalam Islam: dalam pemahaman ulama Salafi serta Ahlu Sunnah wal Jama'ah. Barang diingat, mazhab ortodoks Islam adalah Ahlus Sunnah dan ianya paling ramai penuntut (saya tidak berkata mazhab yang salah/sesat, ok?).

Salah satu hadith yang paling kuat menentang aktiviti demonstrasi (menentang pemimpin/bergantung dengan pemahaman) adalah hadith yang yang dinarasi oleh Junada bin Abi Umaiya;
Kami melawat Ubada bin As-Samit ketika beliau sakit. Kami berkata; "Semoga Allah menjadikan kamu sihat. Apakah engkau akan memberitahu kami hadith yang engkau telah dengar daripada Nabi (SAW) yang mungkin Allah memberikanmu kebaikan?". Dia berkata; "Rasulullah (SAW) memanggil kami dan kami memberikannya kesaksian untuk Islam dan antara syarat yang baginda ambil kesaksian dari kami adalah kami mendengar dan mentaati (arahan) pada masa kami bertenaga dan penat, and pada masa-masa susah dan masa-masa senang dan memberikan pemimpin kami haknya walaupun jika dia tidak memberikan kami hak kami dan tidak menentangnya melainkan kami melihat dia kufur yang mana kami akan mempunyai bukti daripada Allah SWT."
Persoalan yang timbul setelah dibacakan hadith ini adalah: adakah pemimpin kita, kafir? Jika kita mampu membuktikan bahawa pemimpin kita kafir, maka barulah diperboleh demonstrasi menentang beliau. Untuk ini, PAS telah menggunakan dalil Surahtul Maa'idah ayat 44:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu Nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendeta-pendetanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu) dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia) dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir."
Dalam respon terhadap pertuduhan ini, Bahagian Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri telah menerbitkan satu buku yang menceritakan secara komprehensif berkenaan tafsiran ayat ini mengikut ulama-ulama muktabar dan saya cuma akan mengeposnya di sini (saya berlepas dari tanggungjawab kesahihan dan ketepatan pentafsiran mereka). Di samping itu, saya juga akan menuliskan beberapa potong hadith yang yang saya petik dari perawi sahih (sahaja). Semoga Allah memberikan kemudahan untuk kita sama-sama mengamalkan suruhan Nabiyullah, Muhammad SAW.

i. BIDASAN HUJAH UMNO TERHADAP TUDUHAN PAS (seperti yang dituliskan dalam buku, 'Penjelasan Mengenai Isu Mengkafirkan Orang Islam, Jihad dan Mati Syahid', terbitan Bahagian Hal Ehwal Islam, di Jabatan Perdana Menteri. Cetakan 1986. Halaman yang dipetik: 8, 9, 10 11)

Dalam kitab Tafsir Ruhul Ma'ani, juzuk 6, halaman 130 mengenai ayat ini disebutkan tafsirannya seperti berikut: "Golongan Khawarij telah membuat hujah dengan ayat ini bahawa orang-orang fasiq (yang melakukan dosa-dosa) adalah kafir yakni tidak mukmin". 

Pendapat Khawarij ini dijawab oleh ulamak Islam dengan beberapa jawaban, antaranya:
 1. Ayat tersebut tidak dimaksudkan secara zahiriah kerana menghukum itu meskipun pengertiannya meliputi amalan hati dan perbuatan anggota lahir, tetapi yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah amalan hati itu sendiri yang "mempercayai" atau "tidak mempercayai" hukum Allah SWT. Maka tidak syak lagi bahawa seseorang itu menjadi kafir jika dia tidak mempercayai akan apa yang diturunkan oleh Allah SWT;

2. Dalam Tafsir Ruhul Ma'ani juga dijelaskan lagi bahawa Ibnu Abbas telah menyatakan bahawa "sesungguhnya Allah menurunkan ayat-ayat di atas (ayat 44, 45 dan 47 Surahtul Ma'idah) hanya mengenai orang-orang Yahudi, semata-mata."

3. Dalam kitab yang sama, Abi Salleh telah berkata: "Tiga ayat dalam Surahtul Ma'idah tersebut tidak kena-mengena dengan orang Islam ayat tersebut mengenai orang-orang kafir."

4. Dalam Kitab Tafsir Al-Kabir kerangan Imam Fakhruddin Al-Razi, juzuk 12, muka surat 5-6 mengenai ayat-ayat di atas disebutkan bahawa berhubung dengan ayat tersebut terdapat dua pendapat:
  •  Maksud ayat ini adalah untuk menakut-nakutkan orang Yahudi kerana mereka itu dengan berani mengubah hukum Allah mengenai hudud ke atas orang yang melakukan zina. Apakala mereka mengingkari hukum Allah yang termaktub di dalam Taurat, mereka berkata hukum itu tidak wajib. Maka oleh sebab itu mereka menjadi kafir mutlak. Mereka tidak berhak dianggap beriman sama ada kepada Nabi Musa AS dan Taurat ataupun kepada Nabi Muhammad SAW dan Al-Qur'an.
  • Ayat ini ditafsri golongan bermazhab Khawarij bahawa tiap-tiap orang yang melakukan dosa penderhakaan kepada Allah SWT adalah kafir; setiap orang yang mengerjakan dosa termasuklah mereka yang menghukum selain yang diturunkan oleh Allah SWT, mereka adalah kafir. Mengikut pendapat ulama tafsir bahawa maksud ayat tersebut bukanlah demikian. Kata Akrimah; "Firman Allah dalam ayat di atas hanya bagi mereka yang ingkar dengan hati dan membantah dengan lidah akan hukum Allah SWT tetapi masih beriman dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT, maka mereka tidaklah termasuk dalam maksud ayat tersebut. Inilah jawaban sahih menurut Al-Fakhrul Razi.
5. Mengikut pendapat yang muktamad dalam Tafsir Al-Qurtubi Jilid 6 halaman 190: "Ayat-ayat di atas keseluruhannya diturunkan kepada orang-orang kafir di ...mana thabitnya yang demikian itu di dalam hadith Sahih Muslim dari seorang sahabat bernama Barra' bin Azib sebagaimana yang telah diriwayat terlebih dahulu. Dan di atas ayat inilah dilandaskan pendapat kebanyakan Ahli Tafsir. Adapun orang-orang Islam maka tidaklah sekali-kali menjadi kafir walaupun ia melakukan dosa besar. Ada pendapat yang mengatakan firmanullah tersebut (Surahtu Ma'ida, ayat 44) mengandungi maksud tersembunyi iaitu: Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT kerana ia menolak al-Qur'an dan tidak mengikuti ajaran Rasululllah maka ia menjadi kafir."

6. Dalam Tafsir At-Tabari, jilid 6, muka surat 257 mengenai ayat tersebut, terdapat satu pendapat yang paling muktamad tentang huraian ayat di atas sebagaimana berikut: "Dan yang paling tepat dalam segala pendapat yang tersebut ini ialah pendapat golongan yang mengatakan: bahawa ayat ini diturunkan kepada orang kafir Ahlil-Kitab (Yahudi) kerana kenyataan sebelum ini adalah ditujukan kepada mereka. Jadi merekalah yang dimaksudkan dalam ayat tersebut. Manakala ayat ini juga adalah ekoran berita tentang mereka itu. Maka sudah tentulah ayat ini tetap merupakan peristiwa tentang hal-hal mereka."

7. Hujah ulama di atas disudahkan dengan empat konklusi besar:
  • Ayat 44 Surahtul Ma'idah adalah ditujukan kepada orang kafir Yahudi keran mereka mengubah hukum Allah dan menggantikannya dengan hukuman ciptaan sendiri. Ini jelas dari ayat tersebut yang mengisahkan turunnya Kitab Taurat yang dikaitkan dengan orang-orang Yahudi.
  • Tidak menjadi kafir seseorang Islam yang tidak melaksanakan hukum Islam dalam sesebuah negara selagi ia tidak mengingkari kebenaran hukum tersebut yang datang dari Allah SWT; apatah lagi jika ia (atau mereka) tidak mempunyai kuasa penuh untuk melakukan sedemikian.
  • PAS mengkafirkan UMNO adalah semata-mata atas dasar perbezaan politik kerana kedua-duanya merebut pengundi Muslim, khasnya orang Melayu.
  • Bahawa tanggungjawab melaksanakan hukum Islam sepenuhnya di negara ini bukanlah tanggungjawab UMNO semata-mata, tetapi tanggungjawab semua parti politik di negara ini. UMNO secara bersendirian, tidak mempunyai keupayaan untuk melaksanakan tugas tersebut kerana anggotanya di parlimen tidak mempunyai majoriti 2/3; lebih-lebih lagi kerana orang-orang Islam, khasnya parti politik orang Islam sentiasa bercakaran antara satu sama lain.
*Kesimpulan peribadi: UMNO tidaklah kafir dan dengan itu, tidak wajib ditentang. Segala macam perbuatan yang bertujuan untuk menentang kerajaan oleh itu adalah HARAM, meskipun pada kita, tindak-tanduk UMNO berbaur korupsi dan tidak adil, serta tidak memenuhi hak rakyat. Dikeranakan menurut hadith awal sekali mengatakan bahawa melainkan pemimpin itu kafir, maka ia tidak boleh ditentang.* Wallahu'alam.

2 comments:

  1. UMNO sekarang x macam dulu....segala yang haram jadi halal...misalnya judi...

    ReplyDelete
  2. PAS pun tidak macam dahulu. Kalau dulu, bukan main jengkel tengok kafir, sekarang... ada perkara yang kita perlu tengok dari sudut 'penjahat' anonymous, untuk meraih penghakiman yang jujur. Saya sudah laluinya.

    ReplyDelete

Ohana :)