Berapa kali kita menyebut namaNya?
Berapa kali memujiNya?
Berapa kali kita berbincang mengenaiNya?
Berapa kali kita melalaikanNya?
Jawapan yang saya terima:
Kenapa harus menyebut namaNya?
Kenapa harus memujiNya?
Kenapa kita perlu berbincang mengenaiNya?
Kenapa kita mesti mengingatiNya?
Saya respon dengan sebuah kisah yang saya kira, agak menarik untuk dikongsikan~
Seorang lelaki yang bekerja sebagai pekebun (kita beri nama Abel) sedang duduk bertinggung mencabut rumput yang mencemari keindahan serumpun bunga. Dia seorang ateis; yakni menolak adanya Tuhan. Kisahnya menjadi ateis mudah saja.
Semasa mudanya, dia menjadi tunggak keluarga. Ayahnya mati di ladang getah belakang rumah, manakala ibunya yang menghidap penyakit misteri tenat menjalani hidup dengan berkerusi roda. Itupun hasil derma penduduk kampungnya. Demi ibu tercinta, dia melupakan cita-cita untuk menjadi seorang ahli geologis dan terus bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran di jalan masuk kampungnya.
Dia orangnya taat pada agama. Setiap malam dia bangkit dari perbaringan, meletakkan dahinya dan bersujud kepada Tuhan. Dalam doanya, dia berharap agar disembuhkan ibunya dari kelumpuhan itu, dan dia yakin benar Tuhan yang Maha Kuasa, Maha Menciptakan akan membantunya. Tiada sekelumitpun rasa ragu dalam dirinya.
Namun pada suatu hari, ibunya jatuh kepada status kesihatan yang kritikal. Kadangkala, nafasnya tersekat-sekat, matanya terjungil ke atas. Beberapa kali juga dia menjerit kepedihan, tatkala kesakitan bertandang menyinggahi segenap urat dan nadinya.
"Ibu.. mengucap!!" jerit Abel tikamana ibunya semakin kuat menggelupur.
Abel menangis dalam ketakutan. Dirinya belum cukup bersedia untuk kehilangan seorang wanita yang sangat sempurna di matanya. Dia menahan esak dan sendu, dalam kekalutan ibunya berjuang untuk melepaskan diri dari kepedihan mati. Dirinya serabut, memikirkan apa yang perlu dibuatnya. Berlari ke dapur, mencedok sedikit air dan berlari semula ke ibunya. Kain lap yang selama ini tersangkut di bahunya dibasahkan dan diperas. Abel menekap kain basah itu ke dahi ibunya yang menggeletar. Bergetar seluruh tubuh Abel, seakan-akan dia pula yang akan mati. Airmatanya tidak usah ceritalah..
Usai ibunya tenang sedikit, Abel menghela nafas selega-leganya. Sempat pula itu, ibunya yang tadi menggelupur, tersenyum.
"Ibu..jangan pergi bu.." pujuk Abel sambil memeluk ibunya yang masih terlantar.
"Abel.." tidak terkata ibunya. Sememang suatu perasaan yang aneh apabila kita terselamat dari cengkaman maut dan merasakan bahawa ia akan datang sebentar lagi. Hanya linangan air mata yang mampu dihadiahkan oleh si ibu tatkala mengenangkan yang dia mungkin akan 'bertolak' sebentar lagi, meninggalkan anak kesayangannya. Ditatapnya wajah Abel dalam-dalam.. kemudian shahadah dibaca perlahan..
..dan tiba-tiba, rumahnya yang diterangi lampu minyak tanah itu bertukar sepi. Tiada lagi jeritan dan dengusan seorang wanita tua. Hela nafas yang tadinya jelas kedengaran lesap. Sudah tiada.
Seorang lagi anak Adam kembali kepada Pencipta.
"TIDAAAAAAAAAAAAAAAKK!!!!!!!"
Alangkah remuknya hati Abel tatkala melihat tubuh ibunya mengeras. Kakinya sejuk, serta matanya tertutup rapat, Ada sejalur senyuman di wajah wanita solehah itu. Abel lantas meletakkan kedua jarinya ke leher ibunya. Ternyata, bersaksikan lampu minyak tanah, ibunya pergi.
Sukar benar Abel menerima kenyataan itu, sehingga disalahkannya pula Tuhan. Imannya entah ke mana terbang. Sungguh dugaan ini benar-benar mengguncang akidahnya.
"Ya Tuhan, lain aku doa, lain pula yang Kauberikan. Kenapa Tuhan!!!! KENAPAAAAAAAAA!!"
Berterusan suara itu bergema. Tuduhan dan cacian kedengaran. Sang cengkerik yang sedari tadi bernyanyi, menjeda .. seakan-akan meratapi kematian iman seorang manusia.
"Kau kejam Tuhan .. mulai hari ini, Kausaksikanlah, bahawa aku memalingkan diriku daripadaMu!!"
MasyaAllah, sampai begitu sekali dia menderhakai Allah. Dan ya.. sejak itu, dia meninggalkan semua amalan serta ibadah yang pernah dilakukannya seharian. Hidupnya terasa jauh lebih tenang berbanding dulu. Imam kampung pernah juga mendatanginya, mengajaknya semula kepada Islam, siap berdebat lagi.
Dalam sekalian banyaknya acara debat, imam selalunya kalah. Ini menguatkan lagi hujah bahawa ilhad adalah sebenar-benar tujuan hidup.
"Peduli apa aku..bukannya Dia boleh buat apa-apapun. Cuba kamu doa mintak BMW sekarang, bolehkah dia bagi?" perlinya saat sang Imam cuba untuk meluruskan semula akidah Abel.
"Masanya akan tiba, Abel.." balas imam tua itu perlahan.
-
-
-
Beberapa tahun kemudia, di sinilah dia.. menjadi pekebun. Meskipun gajinya rendah, dia tetap berasa aman dan bahagia. Dirinya seakan-akan telah menemui titik puncak hidupnya bersama seorang wanita yang baru dikahwini. Habis wanita itu, menjadi mulhid gara-gara ajaran ilhad Abel.
"Abel..". Suatu suara yang lembut dan sopan memukul perlahan gegendang telinganya. Dia berpaling dan ternyata, suara itu milik Tuan Rafiz, majikannya.
"Hantarkan aku ke surau.. sudah dekat Maghrib ni.." perintah Tuan Rafiz.
Selain menjadi pekebun, pemandu perubadi Tuan Rafiz adalah kerja sampingannya. Apabila Encik Guna (pemandu tetap Tuan Rafiz) tidak bekerja, maka dialah yang menggantikan syif beliau. Adalah lebih sedikit untuk hari itu.
"Silakan masuk, tuan.." pelawa Abel dengan penuh berhemah setelah pinta belakang BMW hitam itu dibuka. Tuan Rafiz tersenyum, berpuas hati dengan perkhidmatan serta hospitaliti Abel.
Tuan Rafiz.. seorang lelaki ternama yang sangatlah kaya. Dirinya merupakan pegawai tertinggi estet FELDA berdekatan. Asetnya mencapai berpuluh juta ringgit, dengan ladang kelapa sawit melebar sehingga dua ratus hektar persegi. Di bandar dan di kampungnya sendiri, dia dikenali ramai orang.
Namun bukanlah kekayaan beliau yang menyebabkan dirinya disegani tetapi peribadinya yang zuhud. Tidak seperi manusia mewah lain, rumahnya tidak dikawal oleh orang jaga dan tidak pula berpasang sistem amaran laser dan sebagainya. Rumahnya tidaklah besar mana, malah jika dilihat, rumah Encik Guna lebih besar dan 'grand' dari rumahnya sendiri.
Ilmu agamanya juga menjadi aset sebenar mengapa dirinya dihormati. Setiap minggu, dirinya sendiri menjadi penceramah di surau kampung itu tanpa bayaran. Personalitinya tidak seperti jutawan lain, beliau tidak jijik untuk memeluk tubuh golongan petani, tidak merasa geli untuk bersalaman dengan tangan-tangan yang berkematu. Dia merasa tenang dan bahagia berbuat begitu.
Dan mungkin perbuatannya yang paling agung adalah ketika mana selepas solat. Dia tanpa segan silu mencium tangan imam tersebut, merasa kerdil dengan kehebatan imam tadi. Rajin berhalaqah dan mendermakan moreh, tiada siapa yang duduk di dalam kampung itu tidak menyayanginya. Termasuklah Abel sendiri.
"Tuan ada ceramah ya, harini?" tanya Abel memecah kesunyian.
"Ya.. hari ni pasal Tuhan.. kalau awak mau, jemputlah hadir" pelawa Tuan Rafiz dengan senyuman. Sekali lagi bergetar diri Abel. Tidak pernah dia mendengar cerita majikan yang agung menjemput hambanya untuk hadir sekali.
"Tidaklah tuan.. saya tidak berminat" balas Abel tenang. Dia tahu, majikannya itu kenal benar dengannya serta pegangan ilhadnya.
"Baiklah.." respon Tuan Rafiz pula.
Tiba-tiba, ada suatu kesunyian yang teramatlah aneh. Abel berasa kekok. Seolah-oleh dirinya kepanasan. Dia segera menguatkan aras pendingin hawa. Tuan Rafiz tidak memberikan apa-apa respon. Beliau tidak kisahpun dengan perbuatan Abel itu.
"Tuan, panaskan?"
"Hmm.. ni belum neraka lagi ni.." balas Tuan Rafiz. Abel melihat cermin pandang belakang. Dilihatnya Tuan Rafiz tersenyum sinis.
Abel tersentak mendengarkan teguran itu. Dirinya terasa tercabar.. berani, dia bersuara:
"Itupun kalau ada neraka, tuan"
Giliran Tuan Rafiz pula rasa tercabar. Namun dia senyum, mengingati pesan Nabiyullah yang mendidik manusia untuk tidak memotong persoalan seorang kafir. Dan pada Surahtul Dhuhaa, ayat 10.
"Ada, ya Abel.. tuhan pun ada"
"Tuan .. adakah dengan itu, tuan membawa saya berdebat?" tanya Abel, setelah mendengarkan jawaban Tuan Rafiz itu. Ada suatu sinar yang sukar dimengertikan yang terpancar dari anak mata Abel.
Sememangnya, waktu ini sangat-sangat ditunggui Abel. Dari dulu lagi dia menyimpan hasrat untuk membahas hal ketuhanan dengan majikannya itu. Namun atas dasar hormat dan terhutang budi, dia memendam hasrat tersebut. Dari cakap-cakap orang kampung, Tuan Rafiz sebetulnya manusia yang layak ditakuti oleh golongan mulhid. Maka harapnya malam itu, dia dapat meranapkan cakap-cakap itu.
Tuan Rafiz yang duduk dengan tenang di bahagian belakang membuka sedikit cermin tingkapnya. Disedutnya udara senja sedalam yang dia boleh. Mega merah mulai surut ditenggelami kegelapan malam, sedang kelibat burung terlihat bersusup-sasap balik ke rumah di sebalik kekelaman malam. Bulan mulai menuntut tempatnya di dada langit. Tuan Rafiz menutup matanya.
Memikirkan jawaban terbaik untuk pertanyaan Abel tadi. Tiba-tiba, beliau bergerak secara mengejut ke hadapan. Dirampasnya stereng dari Abel dan terus memutarkannya ke bahu jalan di sebelah kanan. Ada seorang pembonceng basikal sedang mengayuh kenderaan antik itu. Sekejap sebelum BMW Tuan Rafiz melanggarnya, Tuan Rafiz melepaskan semula pegangan stereng tersebut dan dalam sekejap masa, Abel mendapat semula kawalan yang dia hilang sebentar tadi.
"Kenapa tuan buat macam begitu? Tidakkah tuan membahayakan orang berbasikal tadi?"
Tuan Rafiz tersenyum.
"Aku ingin bertanyamu, antara basikal tadi dengan keretaku ini.. mana yang lebih kompleks?"
Abel berasa tidak enak. Dia dapat menghidu ada suatu sandiwara sedang berlaku. Dialog pun bermula;
Abel: Tentulah kereta ini, tuan..
Tuan Rafiz: Maka, mana yang lebih memerlukan penyenggaraan? Mana yang lebih layak mempunyai pemantau?
Abel: Wahai tuanku, sudah tentulah kereta tuan lebih memerlukan servis dan paling layak memiliki pemantau..
Tuan Rafiz: *berdehem* ..antara alam semesta ini dengan kereta BMW saya, mana lebih kompleks?
Abel: Tuan, tentulah alam lebih kompleks, dengan pelbagai sistem dan aturannya..
Tuan Rafiz: Jikalau begitulah pandanganmu, maka alam ini lebih berhak memiliki Penyelenggara berbanding kereta saya ini!
Abel: Tapi.. *muka sedikit tunduk, kening membengkok*
Tuan Rafiz: Tapi apa, Abel?
Abel: Tapi segala hukum sains menyebut bahawa kewujudan hukum alam memungkinkan kewujudan tanpa Pencipta, tuan!
Tuan Rafiz: Maka cuba terangkan dari mana asalnya hukum alam ini..
Abel: Ia tidak datang, ia memang sudah ada sejak alam ini wujud
Tuan Rafiz: Hmm.. *berfikir* ..pernahkah kamu melihat sekolah?
Abel: Pernah tuan..
Tuan Rafiz: Tahukah kamu sekolah itu ada peraturannya? Logikkah jika saya membinanya sekarang lalu tiba-tiba tertulis di dinding sekolah itu segala macam peraturan? Waraskah jika saya sekolahkan anak saya di situ dan dengan sendirinya, dia tahu apa peraturan di situ?
Abel: Tidak.. err.. *berfikir* tentulah akal manusia tidak dapat menerimanya. Undang-undang memerlukan Pencipta dan Penggubalnya
Tuan Rafiz: Maka bagaimana dengan segala hukum dan undang-undang alam.. menurut logikmu tadi, sememangnya mustahillah semuanya wujud tanpa Penggubal?
Abel: Ya.. *terkedu dan berasa kecil* ..tapi kalau betul ada Tuhan, kenapa dia ciptakan neraka dan syurga?
Tuan Rafiz: Syurga dan neraka diciptakan agar manusia patuh dan tunduk padaNya
Abel: Kalau benarlah Dia Maha Penyayang, kenapa diciptakan neraka?
Tuan Rafiz: Abel, atas rahmatNyalah, dia menciptakn neraka.. sebagai amaran buat mereka yang berbuat zalim dan balasan buat yang jahat. Kalaulah tiada neraka, ada syurga ja.. maka pencuri akan terus mencuri, perompak terus merompak dan pembunuh akan terus membunuh.. sebab mereka tidak perlu risau.. hanya ada satu pengakhiran sahaja iaitu syurga. Adilkah begitu?
Abel: *berdehem, mata mulai berkaca* baiklah.. kenapa perlu kita mengingatiNya? Bukankah itu suatu tindakan yang egoistik buat Tuhan untuk menyuruh hambaNya yang lemah berkhidmat kepadaNya? Kenapa perlu solat dan beribadah.. dan Diakan Maha Pemurah, jadi mengapa perlu ada kriteria di atas?
Tuan Rafiz: *berfikir* Abel, kenapa awak memandu kereta ini?
Abel: Tuankan mintak hantar *kebingungan. Kaca-kaca yang membasahi matanya kering semula*
Tuan Rafiz: Jika saya suruh awak membawa saya ke suatu tempat lalu anda menolak ajakan itu .. layakkah awak diberikan gaji?
Abel: Sudah pastilah tidak, tuan ..
Tuan Rafiz: Maka kalau begitu, apa yang melayakkan mereka yang menolak segala suruhanNya untuk masuk syurga?
Abel: .. ehmm ..
Tuan Rafiz: Sudah masanya awak berubah, Abel. Saya tahu segala latar belakang awak. Dan atas sebab kepercayaan awak, saya mengambil awak bekerja, cuba untuk menyadarkan manusia seperti awak!
Abel: Tapi..
Tuan Rafiz: Sudah, jum ikut saya ke surau.. dengarkan tazkirah saya.. awak akan lebih faham nanti
Abel tunduk. Secalit kebahagiaan yang dulunya layu subur disirami air nasihat. Entah kenapa dan bagaimana, hatinya tenang.
Sesampainya dia di surau, Tuan Rafiz menarik tangannya, mengajaknya masuk. Abel mulanya keberatan, namun dapat dirasakannya suatu dorongan yang maha hebat menggerakkan kakinya. Dia menurut, sememangnya debat kecil tadi serta ketulusan hatinya dalam menerima kekalahan melarangnya untuk menipu diri sendiri. "Memang benar", getus hatinya. "Aku perlu menerima kenyataan.."
Masuk saja dia, seluruh manusia yang sedang bersimpuh di surau nan usang itu menatapnya. Ada yang berbisik, tidak kurang juga yang tersenyum. Penerimaan dirinya disimbolken dengan senyuman. Abel seakan-akan menemui dirinya semula.
"Asyhadu anla ilaha illallah, wa asyhadu anna Muhammadan nabiyyan wa rasulullah"
Di hadapan jemaah tadi, dia mengucap dua kalimah syahadat yangditinggalkannya kira-kira seabad dulu. Malah, dia turut bersolat bersama-sama. Ketara ilmu agama yang dilupakannya tidak hilang,masih melekat teguh di dalam hati. Dia mengiqamahkan jemaah, dan bersolat betul-betul di belakang Tuan Rafiz tyang menjadi imam. Air matanya gugur, ketenangan pun bertandang.
Wallahua'lam :)
No comments:
Post a Comment