Falsafah bersandar atas banyak sebab, sebenarnya. Untuk entri kali ini, aku mahu membincangkan falsafah Utilitarianisme, atau dalam bahasa mudahnya: Falsafah Praktis-Fungsi.
Falsafah Ulititarianisme tidak bermain dengan permasalahan manusia yang geraktujunya. Ia bertumpu pada wahana yang mampu membawa manusia ke suatu objektif (bergantung kepada tamadun beserta keinginannya). Ia juga ditafsir sebagai suatu falsafah yang menekankan bahawa nilai moral sesuatu perbuatan diukur melalui kegunaannya sahaja (Wikipedia).
Bagiku, utiliti tetap akan ada meskipun manusia tidak menerokainya. Diberi contoh: air. Fungsi air = untuk minum dan mandi. Persoalan falsafahnya: Apakah jika manusia tidak memerlukan air, fungsi air tadi hilang?
Tidak.. fungsi merupakan sifat implisit sesuatu benda, perkara yang memberi makna terhadap benda atau perbuatan. Air makna implisitnya menghilangkan dahaga, meskipun terjemahnya berbunyi, "sejenis sebatian,". Hakikat inilah yang aku pegang untuk menjustifikasikan ketetapan falsafah berkenaan air (mungkin juga berkait dengan sunnatullah asbabiyah?).
Falsafah Utilitarianisme sentiasa bergerak pada daerah kefungsian. Ia tiada berpengaruh apapun pada perubahan bentuk objek, malah ialah yang dipengaruhi oleh bentuk. Sesuatu perbuatan atau objek mesti tidak bergerak di luar garisan fungsi, atau tidak, ia kehilangan moralnya. Begitulah falsafah ini aku fahamkan.
Satu lagi yang menarik untuk disebut adalah falsafah ini menilai magnitud moral sesuatu perkara melalui betapa bergunanya ia kepada umat manusia. Ia tidak mengambil kira faktor keikhlasan sesuatu perbuatan, dan mengiktiraf keganasan yang boleh memberi kemudahan. Di bawah ini aku senaraikan kelemahan falsafah ini yang menurutku, sekaligus menyebabkan aku menolaknya.
- Bagaimana dengan para sami yang memencilkan diri bagi memurnikan diri sendiri? : mereka ini tiada fungsi kepada masyarakat, malah menjauhkan diri daripadanya. Adakah patut kita gelar mereka sebagai tidak bermoral?
- Bagaimana dengan dengan mereka yang menyokong Fasisme dan Komunisme? : difikirkan: sistem zalim ini memiliki nilai guna yang amat besar kepada masyarakat, maka; adakah Komunisme sesuatu yang bermoral?
- Bagaimana dengan sisi keikhlasan? : adakah mereka yang menderma perkara banyak tetapi tiada ikhlasnya lebih bermoral dari mereka yang menyumbang sesen tetapi sangatlah ikhlas?
- Bagaimana kefungsian individu? : seseorang mungkin melihat sesuatu itu berguna sedangkan yang lain melihatnya sebagai tidak. Bukankah dengan itu moral dipandang relatif (sememangnya moral bersifat relatif jika dipandang dari sudut "tanpa Tuhan Mutlak")?
Jadi itulah beberapa kelemahan falsafah utilitarianisme yang aku dapat lihat. Apa-apa kekurangan sila kritik di kotak mesej bawah: aku baru belajar, maka segala kritikan amatlah berharga.
No comments:
Post a Comment