Friday, May 20, 2011

Nilai Kasih Ibu

Nazri mengeluh singkat. Kemarahannya yang dari dulu ditahan-tahan, tidak tertampung lagi; kesabaran sudah habis. Dia yang sedang duduk di sofa, menjahit seluar sekolah hijaunya itu lantas berdiri. Baginya, batas sudah dicerobohi, dia harus bertindak. Maka bergeraklah dia mendapatkan ibunya yang dari tadi baring, melayan tidur.

Nazri bukan tidak pandai. Di sekolahnya, dialah harapan UPSR sekolah, malah mendapat pengiktirafan pelajar terbilang lagi. Dia disanjung semua barisan guru-guru dan itu termasuklah juga guru besar. Sebab itulah dia mudah mendapat Biasiswa Kecil Persekutuan. Dalam kalangan teman-teman, dia selalu jadi tumpuan kerana suaranya yang lantang serta peribadinya yang berdisiplin:- yalah, Ketua Pengawas, kan.

Tapi disiplinnya pun tidak dapat mengempang rasa marah terhadap ibunya. Dia sudah cukup lama bersabar dengan perangai ibunya. Di rumah, Nazrilah yang memasak nasi, menyapu halaman rumah; malah membasuh kainpun dia. Sungguh meletihkan, dan tragis baginya perkara itu kerana sejek kematian ayahnyalah, ibu bersikap begitu. Dan pada hari itu, dia ingin menunjukkan sedikit disiplin kepada si ibu yang masih berbaring mengipas diri.

"Mak!" bentak Nazri. Terduduk Mak Jah jadinya. Terus kipasan dihentikan, kepala dialihkan ke arah Nazri. "Jahitkan ini untuk Ayi.." tambah Nazri lagi sambil mengunjuk seluar sekolah hijaunya.

"Tapi, Yi...." balas Mak Jah, nama emak Nazri.

"Ahh! Tiada tapi-tapi. Kerja di rumah ni, mana ada emak buat, semuanya Ayi yang bereskan. Mak tau tidur, makan, tidur, makan. Ayi tak tahanlah mak!"

"Ayi! Sampai hati Ayi cakap macam tu.. ini emak, Ayi.. yang mengandungkan Ayi.." balas Mak Jah pula, meminta belas. Secebispun jadilah.

Mendengarkan lasan ibunya itu, Ayi bertambah berang. Matanya bertukar warna, mukanya merah padam. PAAP! satu tamparan mengenai muka Mak Jah. Terus Mak Jah menekup mukanya, takut ditampar lagi. Dia sudah tua, sudah tidak berdaya melawan. Berserah, ya.

"Ehh, mak buat jelah! Aku nak masak nasi. Kalau mak taksiapkan, tak makanlah emak hari ini."

Sungguh; demi sungguh, hati Mak Jah pecah berderai. Tidak pernah terlintas di  hatinya akan Ayi berubah sedemikian  begitu. Walhal, dialah yang dahulunya mengandungkan, menyusukan serta membelai Ayi. Pipi yang Ayi tampar; itulah yang menghangatkan tubuhnya ketika dia masih lagi bayi. Sungguhpun begitu, Mak Jah lakukan juga suruhan Ayi. Bukan nasi yang dikejarnya, dan bukan pula rasa takut ditampar lagi yang dia gusarkan. Akan tetapi kasih sayang.. dia tidak mahu kasih sayangnya dicemari rasa benci terhadap Ayi. Dia sayang sangat Ayi.

Ayi pula, dalam pada itu, berasa puas dengan tindakannya tadi. Sudah lama dia memendamkan keinginan untuk menampar wanita itu. Jijik dia; sudahlah pemalas, tidur saja kerjanya. Maka bagi dia, menampar wanita yang digelarnya emak itu adalah suatu kewajaran.

Setelah hati ditenangkan, dia memulakan tugasan harian. Memasak nasi; mengemas serta melipat kain yang baru saja diangkat dari tali jemuran. Sesekali pengasingan dilakukan untuk membezakan seluar dengan baju, dan dari kain batik Mak Jah. Usai itu, dia bergegas ke dapur. Periuk nasi sudah berhenti bergegar. Nasi sudah masak.Lantas dia mengaut sepiring nasi dan dicedoknya ikan rebus; diletakkan di sisi  nasi. Berjalan ke tempat Mak Jah.

"Hah, dah siap?", separuh menjerit; separuh menyapa. Sapaan dari naluri manusia, atau mungkin naluri anak. Suaranya yang tadi tinggi menggempa, diperlahankan. Sementalahan, piring tadi diletak di tepi.

"Belum, nak...", jawab Mak Jah. Menggeletar dia.

"APAAAAA!!! Mak ni, kerja macam itupun kau lembap. Mak, biasiswa aku yang menyuapkan nasi ke mulut mak, tau? KAU TAU!!"

Jeda. Menghela nafas marah.

"Haah, bak sini seluar tu.. apa yang mau disembunyikan!" Nazri memerintah, sambil jarinya menunjuk kedua belah tangan Mak Jah yang berselindung di belakangnya. Terketar-ketar Mak Jah menghulurkan tangan. 

Demi sahaja Mak Jah menyuakan tangan, Nazri terduduk.. berdarah seluar itu; dan melihat jemari Mak Jah, dia tahu dari mana punca itu. Jemari Mak Jah jelas terjahit sama dengan sulaman benang putih tadi. Dan dalam pada itu, Mak Jah bersuara,

"Maafkan mak, nak. Mak ni buta, tak boleh buat bagus-bagus. Kalau mak boleh jahit dengan baik, mak pasti akan jahit dengan sebaiknya. Maafkan mak, nak.."

 ...apalagi yang mampu Ayi perkatakan. 
===============================================================================================================================
{|  "Seorang ibu mungkin buta matanya; tetapi hatinya sentiasa suci mengasihi. Selamat Hari Ibu"  |}

4 comments:

  1. Sedih... :'(
    I'm not a good son...

    ReplyDelete
  2. NadJoliey: Teh.. ambil pengajaran yang penting :) Thanks, anyway.

    Dien: Who said so?

    ReplyDelete
  3. yeah..
    Atoookkk eei.. Dinn.. kalo ko not a good son, sy lagi la.. tp version daughter mah.. sy lebih jahat dr ko..

    ReplyDelete

Ohana :)