Thursday, May 12, 2011

Pembentukan Perspektif

Salaam/Regards,


Perspektif.. ada apa dengan perspektif? Kenapa kita memerlukan perspektif? Sebelum kita menjawab tiga soalan 'High-Order Thinking' di atas, adalah lebih baik jika kita membungkus persoalan keindahan buat pos yang sebelum ini:
"Persoalan keindahan tidak mungkin pernah tinggal jauh daripada adat dan fitrah manusia, apalagi berpisah dari suatu aspek terawal dalam membina jambatan sosial antara kita dengan seseorang. Penilaian keindahan itu sendiri adalah suatu nikmat; tidak keterlaluan untuk saya menyebut bahawa penilaian adalah kemahiran terindah manusia. Dengannya, kita mampu dan berupaya menjustifikasikan rupa dan keadaan sesuatu mengikut apa yang kita suka dan apa yang kita perlukan."
APA ITU PERSPEKTIF?

Perspektif mengikut definisi amatur saya adalah suatu radas, yang semulajadinya tumbuh seiring dengan jasad manusia, atas pengaruh intrapersonal dan interpersonal. Perspektif adalah mata manusia yang digunakan untuk melihat perkara-perkara yang terjadi di dalam dunia ini; sama ada yang disaksikannya sendiri, disaksikan orang lain mahupun yang tidak disaksikan sesiapapun. Perspektif merupakan satu-satunya jambatan yang menghubungkan jati diri dengan subjek yang ingin diperhatikannya. Menghubungkan logik dengan ketidaklogikan.

Sebelum kita pergi lebih jauh, adalah lebih baik untuk difahami bahawa makna perspektif yang saya hidangkan berbeza daripada ruang lingkup tradisional kita. Kebanyakan melihat perspektif sebagai kata nama abstrak; tetapi bagi penulis, perspektif adalah kata kerja. Relatif atau subjektif, itu belakang cerita.

Apabila saya menamakan perspektif sebagai kata kerja, perlu difahami ianya tidak kaku, tidak stagnan dan berterusan dinamis. Perspektif sentiasa saja bertukar kulit dan bertukar badan, tidak pernah saya nampak seseorang dengan perspektif yang sama. Pendirian, ya.

Senang cerita, perspektif ini pandai membesar. Pandai bermetamofosis mengikut dedahan yang diterimanya. Individu yang mempunyai daya tahan terhadap segala macam dedahan, dengan ini, lebih rendah kedinamikan perspektifnya.

Mahu tahu betapa abstraknya perspektif setiap satu daripada kita? Buat aktiviti di bawah (sebaiknya, ajak kawan untuk mengikuti; akan jadi lebih jelas):


  1. Renung gambar di atas.
  2. Fikirkan secara spontan berkenaan bangunan tersebut.
  3. Siap..
Gayat, mustahil, kreatif, inovatif, kritis, seram, teruja, mengingini.. terdapat ribuan lagi pandangan atau penilaian yang mampu kita induksikan hanya berpandukan kepada satu gambar ini sahaja. Di sinilah hebatnya minda manusia. Subhanallah..

Hanya dengan berpandukan kepada gambar ini sahaja, seluruh persoalan perspektif dapat dijawab (sepatutnya dibuat pada awal entri, tidak mengapalah). Mari kita lihat satu-persatu.

Seperti yang saya katakan tadi, perspektif adalah kata kerja. Radas yang anda gunakan untuk menilai gambar di atas adalah mata dan minda semata-mata; tanpa peru merasa, mendengar, menghidu dan menyentuh. Perspektif, itulah ia. Berfungsi memberi definisi terhadap sesuatu perkara yang didedahkan kepada kita.

Andaikan anda menilai pemandangan tersebut sebagai indah, andaikan. Bagaimana jika saya tambah bau busuk pada stimulus di atas? Serta-merta--tanpa keraguan dalam diri saya--perspektif anda akan berubah. Dari membayangkan sesuatu yang bagus untuk didiami, kepada suatu yang jelik untuk disinggahi. Maka, dengan itu, penambahan aspek pada stimulus merangsang perspektif untuk bergerak lebih jauh dan di sinilah, terbukti bahawa perspektif terpengaruh dengan dedahan eksternal dan segala perubahannya.

Ramai mungkin bertanya: kenapa sepantas itu perspektif berubah? Adakah dengan itu bermaksud, jati diri saya rendah?

Jawabannya ada dua; ya, jati diri anda lemah ATAU perubahan perspektif itu merupakan suatu cara untuk anda mengadaptasikan jati diri dengan stimulus. Saya tidak berani untuk menentukan mana satu jawaban yang lebih tepat, kerana menurut saya; hal ini sangatlah subjektif untuk dibincangkan. Pemabaca lebih mengenal diri-sendiri.

Berbalik sekali lagi: sebelum anda menilai stimulus tadi, apa yang anda lakukan? Bersedia? Mengambil pen dan kertas? Tidak bersedia? Tidak berminat? Timbul aspek baru; persediaan. Adakah persediaan mempengaruhi perspektif?

Jawaban saya: TIDAK. Persediaan tidak mempengaruhi perspektif. Sukar  untuk saya jelaskan kenapa, tetapi setelah bereksperimentasi dengan diri-sendiri, saya agak yakin dengan jawaban saya. Tetapi jika anda bercakap mengenai ekspektasi/persangkaan, ya. Ekspektasi mungkin dipengaruhi oleh persediaan. Atau berjungkir-balik.

Dan terakhir sekali adalah aspek dalam diri. Penilaian seseorang sebenarnya jauh lebih banyak dipengaruhi oleh aspek-aspek dalam diri. Saya senaraikan beberapa aspek tersebut: ideologi, agama, pegangan, pengalaman, kemahiran, intelektual, keperluan, kehendak, kesukaan, faktor relativiti, inspirasi dan aspirasi, cita-cita, kesedaran dan motivasi dsb. 

APA GUNANYA MEMPERKAYA PERSPEKTIF?

Mengayakan perspektif seperti mengasah pisau; banyak gunanya. Saya terangkan secara ringkas sahajalah, memandangkan ada komitmen lain sikit. 

Pertama: Perspektif melahirkan inspirasi/kreativiti. Dengan perspektif (yang sentiasa berubah), kita sentiasa menemukan cara baru yang mungkin lebih mudah, lebih efektif dan lebih efisien dalam menyelesaikan sesuatu perkara.

Kedua: Selain itu, perspektif memandu kita ke arah membina wawasan yang bukan sahaja tinggi tetapi bersesuaian dengan batas dan kemampuan, bervariasi dan juga teguh. Dengan perspektif yang pelbagai, kita mungkin menyedari bakat dan potensi sebenar kita.

Ketiga: Perspektif menjadikan kita makhluk yang prihatin dan memahami. Kita tidak memandang dari sudut "saya ada" tetapi memandang juga dari sudut "dia tiada". Maksudnya, kita tidak teralu ego dalam menentukan sesuatu hal. Contoh paling komprehensif adalah ketika setiausaha memungut cukai. Baginya, dari perspektifnya sebagai penjawat kerajaan--memanglah cukai tu cikai. Tetapi bagi yang kurang pendapatan? 

Secara langsung, perspektif merendahkan egoisme dan sikap individualistik manusia. Kita "berego" di tempat yang sepatutnya.

Keempat: Perspektif memperkaya ilmu bersosial. Seperti yang ditulis di atas, perspektif menjadikan kita makhluk yang tidak egoistik. Kita lebih mudah bercampur dan lebih mudah menerima pendapat. Lebih mudah didekati dan lebih berkepentingan.

No comments:

Post a Comment

Ohana :)