Thursday, July 7, 2011

#343: Sikap

Salaam...

Saudara, andai anda sedari, sebenarnya hidup ini tidak akan sempurna tanpa merenung hari yang telah lalu. Selalunya, masa silam mampu mengajar kita lebih banyak perkara berbanding seorang guru biasa boleh ajar. Di sekolah, kita diajar untuk menjadi pandai, manakala di dalam kehidupan kita ini, kita belajar sendiri untuk menjadi cemerlang. Sama ada mahu memilih atau menolak kecemerlangan. 

Kecemerlangan sebenar manusia terletak pada sikap. "Sikap adalah apa yang kita tiada," kata Faizal Tehrani; seorang penulis yang awal meletakkan sikap pada hari-harinya. Pada sikap, ada kelengkapan-kelengkapan yang berpatutan yang boleh digunakan untuk memberi reaksi berpatutan pada bakat dalam diri mahupun kelemahan. Sikap memainkan peranan dalam pembentukan diri yang utuh; meskipun dalam taufan adat-adat baru yang menggoncangkan tradisi pemikiran.

Begitupun, sikap tidak semesti bertujuan untuk "bertahan" melainkan untuk "berubah". Kekuatan sikap memberikan manusia ketahanan ke atas perkara yang tidak baik, namun masih membenarkan kritikan. Pelajar yang tidak bersikap, kecuali negatif, mempunyai kecenderungan untuk bergantung kepada guru dan kawan-kawan. Atau pada ibu bapa. 

Pembentukan sikap boleh dilakukan dengan menjadikan sesuatu perkara baik (bercakap, berbincang, mengkaji, menuntut ilmu) sebagai budaya. Tidakkan pun budaya masharakat; budaya untuk diri sendiri pun jadilah. Kerana saya faham betapa masharakat tidak akan berubah jika tiada yang memulakan langkah perubahan.

Pembudayaan sikap ke atas diri-sendiri dan terhadap orang lain akan membentuk rutin dan kebiasaan. Kebiasaan ini akan mematangkan seseorang beserta pemikirannya. Tanpa pembudayaan, sukarlah untuk kita benar-benar mengaplikasi kehidupan bersikap, dan ini menjurus kepada kematian bakat.

Tiada penanda wacana saya letakkan di sini. Karangan ini baru separuh, dan untuk itu, saya meletakkan tanggungjawab separuh lagi karangan kepada anda untuk menyiapkannya bagi pihak anda. Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Ohana :)