Wednesday, July 27, 2011

#782: Karisma

Salaam... sudah lama tidak memperkatakan perihal inspeksi diri ini. Dan untuk entri kali ini, saya mahu memberi komen sedikit berkenaan suatu aspek interpersonal *dan intrapersonal  juga* yang sangat penting dalam pembawaan diri. Karisma.

Sebelum saya memulakan teks *macam ucapan daa~* baiklah, kita bergerak terus kepada pengertian saya sendiri (maksudnya tidak valid) perkataan karisma itu sendiri.


Maksud Karisma

...pada pengalaman saya--adalah suatu cabang penguasaan pentas diri. Ia merupakan perkara paling asas dalam menonjolkan diri serta mengutarakan pendapat, dan menjadi alat utama dalam memenangi hati akal manusia. Pemilik karisma cenderung untuk menarik pandangan audiens/penonton/manusia untuk melihatnya, meskipun tidak mengucapkan sepatah katapun. Ringkasnya, karisma adalah kebolehan menarik dan membujuk manusia.


Adakah Ianya Semulajadi Atau Dibentuk?

Karisma boleh datang dari dua sumber, yakni semulajadi dan benturan diri. Kita akan bercakap mengenai ini secara lanjut di bawah:

Setiap manusia yang memiliki karisma secara semulajadi sememangnya makhluk yang sangat istimewa dan amat, amatlah bertuah. Mereka membesar dengan suasana disayangi dan mendapat perhatian ramai. Tidak bijak bukan menjadi penghalang kepada golongan seperti ini. Tanpa membuka mulut, cukup dengan tersenyum saja; sudah mampu mendorong manusia untuk kembali tersenyum kepadanya atau paling kurangpun:- berpaling kepada dia. Saat dia berucap, telinga dengan sendirinya terbuka untuk menyerap setiap bait hikmahnya.
"...seorang lelaki diumumkan namanya untuk berucap di atas rostrum. Maka, ternampaklah sesusuk tubuh kecil dengan langkah perlahan melintasi bahagian pentas ke arah rostrum yang turut sama menantikan kemunculan lelaki ini. Sorotan lampu seiring, sejalan dengan setiap derap kakinya dan kedengaran bunyi lagaan sepatu dengan lantai kayu pentas. Mata tidak berganjak, mulut ternganga..."
Jika anda pernah terlibat dalam situasi begini, maka ketahuilah bahawa ada ribut karisma telah anda saksikan. Sungguh menghentikan nafas. Begitulah penerangan untuk mereka memiliki karisma semulajadi.

Semua orang di dunia ini ada karisma. Bahkan Adolf Hitler yang terkenal dengan kebengisannya yang membunuh 10 juta manusia juga, punya karisma. Jika tidak, masakan bisa beliau berjaya membina negara Jerman dan memerintah pula. Maka, tiada persoalan "tiada bakat". Persoalannya adalah "ada alasan" dan "tiada usaha" untuk mencungkil karisma diri anda.

Namun berhadapan dengan sikap terhadap diri, karisma melalui jalan kesemulajadian tiadalah harganya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Adil dan Dia tidak akan pernah memberikan sesuatu nikmat tanpa memberikannya secara sama rata kepada semua ciptaanNya. Dengan pemahaman ini, maka tidak dapat ditolak bahawa semua daripada kita punya nilai tambah karisma diri yang sama.

Tetapi satu yang perlu diingati bahawa sesuatu yang lahir daripada usaha ternyata jauh lebih manis dan kekal. Jika mengharap usaha dan wajah sahaja, saya kira, tidak akan cukup. Perlu ada ikhtiar untuk menonjolkan karisma diri dan mengasahnya menjadi senjata. Ada banyak alternatif boleh diusahakan *akan saya tulis dalam entri akan datang*. Namun dalam kita merai kebolehan memenangi orang lain, ingatlah akan pesan Pencipta, dalam Surahtul Insyiaq, ayat 6:
 Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatat semuanya).
Dan ingatlah juga pada Surahtul Mulk, ayat 23:
 Katakanlah (wahai Muhammad): Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.
Bersyukurlah kepada Pemberi karisma anda. Tunduk kepadaNya yang telah menghadiahi kita dengan suatu hibbah dunia yang sangat hebat. Pada yang berkarisma, gunakannya pada jalan yang baik dan ma`aruf dan pada jalan kebenaran. Janganlah kita jatuh dalam golongan kufur nikmat (na`udzubillahi min zalik).

Semoga Allah SWT menunjuki jalan kepada kita. Amiin.





*P/S: Masa tengah syiok menulis entri ini, Zudien datang bawa sekotak 'Big Apple' dan suruh pilih. Saya pilih bertatahkan kacang hazel (mungkin ada nama Hazel kot)*

No comments:

Post a Comment

Ohana :)