Salaam...
Semalam, saya dan rakan-rakan seangkatan dibawa oleh Ustaz Mu`az ke suatu majlis tahlil anjuran Datuk Dr Asariah, pegawai di Bahagian Pendidikan Guru. Kami berangkat menggunakan bas selama lima belas minit, lebih kurang. Namun, bukan kisah majlis tahlil ataupun keenakan hidangan majlis yang saya ingin ceritakan. Yang saya ingin beritakan di sini adalah suatu pelajaran yang saya peroleh sepanjang perjalanan ke sana.
Destinasi kami adalah Damansara: sebuah kawasan perumahan mewah dan untuk ke situ, perlu melintasi kawasan urbanisasi Kuala Lumpur. Maka, berkesempatan juga kami menjenguk keindahan dan keamanan Kuala Lumpur, meski hanya dari dalam bas.
Subhanallah.. indahnya negaraku ini. Dengan matahari yang semakin tunduk, dan tunduk bak menyembah Illahi. Menara Berkembar Petronas berkemilau disimbah cahayanya. Samalah resminya dengan pencakar langit yang lain. Mega yang merah jingga, menenun rasa syukur yang amat sangat dalam diri saya. Saya lihat Razvipun, sedang memerhatikan setiap ceruk kota yang dia mampu. Mungkin diapun seakal dengan saya. Lalu:-
..tiba-tiba saya terimbau dengan peristiwa 9 Julai 2011 lalu. Air mata masa itu seakan mahu saja menitis, namun saya pujuk untuk tidak. Malu kot, kalau dituduh terlalu patriotisme. Takut dilabel pro-Kerajaan.
Wahai rakyat jelata, warga Malaysia.. tidakkah engkau melihat betapa bahagianya negara kita ini? Meskipun korupsi, rasuah, riba dan hedonisme bermaharajalela, kedamaian masih mampu kita kecapi. Cuba buka jendela anda:- dapatkah anda menghidu aroma selain dari aroma ketenangan? Bukan aroma kebebasan bersuara, tetapi aroma kesyukuran. Alhamdulillah...
Negara lain, sekarang ini sibuk meraih kemerdekaan. Sarajevo, Chechnya, Mesir, Afghanistan, Iraq, Palestin; semua dari negara ini berjuangan bermati-matian demi menjulang nama agama dan negara. Demi meraih sekeping kemerdekaan. Yang sedihnya, ada di antara mujahidin ini yang sudah siap tahu bahawa mereka mungkin tidak akan sempat menghidu bau merdeka. Namun, janji Allah SWT untuknya dan untuk anaknya, yakni merdeka tetap menguatkan setiap gerak langkahnya.
Dan kita?? Meruntuhkan merdeka; berperang sesama saudara demi sebuah "merdeka"... sanggup kita mengkafirkan dan menghukum sesat antara satu sama lain demi memenangkan "merdeka" dari perspektif masing-masing. Tunggulah apabila Malaysia menjadi Palestin nanti.
Atas keteguhan berpegang dengan fahaman anti-rusuh dan memberontak, seringkali saya dilabel juga pro-`asi kerana seakan-akan mensyukuri kemaksiatan di negara kita. Saya yang ditempelkan lencana anti-ma'aruf, dicop juga pembela orang-orang mungkar. Namun percayalah saudara-saudari, sayalah yang paling merindui syari'ah. Saya ingin benar hidup bagaimana Rasulullah SAW hidup, dan makan bagaimana baginda makan.
Seluruh hidup saya, akan saya dedikasikan untuk mencapai matlamat mulia itu. Membina Islam. Tenaga, masa dan nyawa sekalipun, akan saya serahkan. Iman pada Tuhan yang `adil tidak akan menjadikan kita ragu dengan akhirat. Mencetuskan rasa zuhud dan ingin terus beribadat.
Apakah yang anda mahupun setelah semua ini, saudara-saudari? Apakah mampu Islam ditegakkan dengan cara yang Islam haramkan? Mengapakah harus ada persekutuan antara kuffar, bagi kita memenangi antara satu dengan yang lain?
Bilakah kita akan kenal erti merdeka?
semuanya bermula dari politik...siapa yang tidak sayangkan kedamaian???
ReplyDelete