Friday, July 29, 2011

Tolong Hentikan.. (Bahagian 1)

Salaam...saya pernah janji dulu, dengan seorang kawan mahu menuliskan cerita ngeri/seram/menakutkan setiap malam Juma'at. AHAHAHA, sudah banyak Juma'at terlepas, maafkan saya. InshaAllah; kalau ada idea dan masa, akan saya usahakan untuk menetapkan diri pada janji itu. Kalau tidak, ampuni saya. OKlah, mula bercerita;
Pak Berahim memberhentikan teksi merah putihnya, setelah lampu merah bernyala. Lampu trafik itu berkelip-kelip keusangan. Tiangnya pun sudah berkarat, manakala kalibrasinya tidak tegak sudah. Sudah lari dari keserenjangan dengan lantai bumi. 
Sungguhpun lampu merah bernyala, tiada kereta dari arah kiri dan kanan trafik melintas. Hanya deru angin yang menyejukkan jiwa, bertiup memasuki teksi lapuk Pak Berahim. Sesekali beliau menggosok lengannya yang kesejukan, sambil merunguti mutu kerja JKR serta ADUN yang memerintah daerah ini. Mencebik sendiri beliau. 
Lama... lampu merah masih bernyala, segila benderang biji saga. Tiada tanda akan bertukar kepada hijau dan Pak Berahim sudah mula naik bosan. Ditekannya punat radio dan penala bunyi dipusing epada aras maksima. Maka, bergoncanglah teksi tua itu dengan lagu retro. Pak Berahim suka dengan stesyen muzik 'RetroFM'. Selain pro-Kerajaan, lagu-lagu yang dihidangkan juga membeli nalurinya untuk kembali ke zaman remaja dulu-dulu.  
"Bunga-bunga, berterbangan ditiup bayu... taburkanlah bunga di pusaraku.. andai, tiada ku pulang.." 
Lagu 'Berjuta Batu' bergema, mengusir kebosanan yang semakin menyendati kesabaran Pak Berahim. Digoyangnya sedikit bahunya; jarang bermanja dengan diri-sendiri. Bila sunyi macam ini, tiada orang; Pak Berahim buat perangai. Asyik saja beliau berlibur dan berdansa dalam kesempitan teksi itu. 
Sepuluh minit sudah berlalu. 
"Aah, tiadalah ini. Mesti lapu trafik rosak", getus hatinya. Pedal minyak ditekan perlahan dan keretanya pun bergerak.  
Tiba-tiba, ada suatu ketawa kecil berdengung di telinga Pak Berahim, dan radio terpadam. Hanya bunyi desiran yang memanjang kedengaran. Pak Berahim langsung menoleh ke arah suar itu berpunca; yakni kerusi belakang. Tiada siapa. "Aah, mungkin radio saja". Memujuk hati. Tengok semula cermin belakang. Masih (sudah) tiada. 
Bergerak sejauh sepuluh kilometer dari simpang trafik tadi, radio berfungsi semula. Lagu Allayarham Tan Sri P. Ramlee berdendang, dan Pak Berahim--seperti yang saya ceritakan tadi--melayan secebis jiwa mudanya yang masih bertempek di hati.
"Berkorban.. apa saja.
 Harta ataupun nyawa..
 Itulah kasih mesra...
 Sejati.. dan mulia..." 
Tangisan. Tiba-tiba Pak Berahim mendengar suatu tangisan lelaki ddari kerusi belakang. Suara itu seperti pernah beliau dengari dari wayang gambar dulu-dulu. Kemanusiaan mendahului ketakutan, apalagi cuaca malam yang "syahdu" dan kesunyian jalan raya yang semakin tinggi gravitasnya, Pak Berahim menoleh ke kersui belakang. Masih-  
Tidak ada apa-apa. Tangisan tadipun berhenti. 
Dan alangkah terkejutnya beliau apabila menoleh semula ke jalan raya, sesusuk tubuh dengan pakaian kasual petak-petak ber'blazer' sedang berdiri di tengah jalan. Pak Berahim menekan brek dan lampu kereta direndahkan. Takut kesilauan pula. 
Pak Berahim memerhatikan lelaki itu dan mengenyit kedua belah matanya untuk menginspeksi siapa lelaki itu. Bukan hantu, kerana kakinya jelas menjejak tanah (petua dulu-dulu; LOL). Hany bahagian pinggang ke bawah saja kelihatan, sedang dari pinggang ke atas, kegelapan dan kesuraman. Pak berahim mengeluarkan kepalanya yang penuh dengan uban pengalaman. 
"Encik mahu teksi ke?", tanya Pak Berahim. Mengangguk. Meskipun wajahnya samar, Pak Berahim masih mampu mengesani isyarat mengangguk dari lelaki tadi. "Naiklah", jemput Pak Berahim pula. Sebatang rokok dikeluarkan dari kotak 'Marlborrow' yang berletak di papan meter kereta. Mancis diumpil dari kocek seluar, lalu rokok tadi bernyala merah. 
"Hendak ke mana, anak muda?" 
"Uhmm.. bawa saja ke mana. Akan saya barhentikan enche' bilamana sudah sampai tujunya". 
Pak Berahim mulai garu kepala. Dan garu kepala dalam kamus hidup Pak Berahim bermaksud takut dan rasa keseraman. Bergelombang aturan ubannya, tatkala jari semakin ganas menggaru dahi. Semakin takut. (tidak pula Pak berahim ini terfikir untuk memandang cermin belakang, kan? Takut kot.. HEHEHE. *woi, ini cerita seriuslah!* Oops.. maaf. Teruskan). 
"Saya bawa anak pergi jalan Tunkulah, boleh?" 
"Ahh, sangat moleklah" 
Pak Berahim menggeleng kepala, perlahan. Ini mesti kes putus cinta. Tidakpun, lari dari rumah. Atau mungkin juga, hilang kerja. Alahailah anak muda sekarang.. tiada hala tuju jelas. Hanya mahu berseornok-seronok. Apabil sudah kesempitan, bunuh dirilah, terjun sungailah, berzinalah, mabil/hisap dadahlah. Menggeleng lagi, Pak Berahim. 
Sungguhpun sipenumpang tidak berkata apa-apa, Pak Berahim sudah tahu benar auranya penumpang begini dan begitu. Pengalaman memandu teksi selama dua puluh lima tahun meneguhkan auta itu. Pak Berahim sebenarnya ingin bertanya, tetapi entah kenapa malam itu, mulutnya berat. Biasanya akan berlakulah komunikasi pemandu-penumpang yang gamat. Entahlah, lagu RetroFM itupun sudah tidak beliau hiraukan. Mata ditancap pada jalan di hadapan. 
"EEEEEEEEEEEEE......". Suara lelaki menangis (maaf, tidak pandai menukarkan suara menangis kepada perkataan). Sudah diduga, pasti manusia yang kecewa, penumpang yang satu ini. 
"Pak Im.." 
Berdegup jantung Pak Berahim. Bagaimana lelaki kecewa ini tahu namanya? Dari siapa, kenapa? Bergelodak rasa. Kepala digaru. 
"Pak Im!" 
Setahu pak Berahim, hanya sahabat yang betul-betul rapat sahaja, mahupun rakan sekeluarga yang menyebutnya namanya dengan gelaran "Pak Im". Orang lain mana tahu. 
"PAK IM!!" 
"Iye nak?", jawab Pak Berahim. Matanya yang liar bergerak sedikit demi sedikit ke cermin belakang. Dan sedikit lagi, dan sedikit lagi.. Sampai.

P. Ramlee. Adalah P. Ramlee (atau bayangan; qarin) yang sedang duduk di belakang. Matanya buta seperti dalam filem 'Ibu Mertuaku', sedang darah mengalir dari mata itu...

4 comments:

  1. Wah, ini ka cerita seram yg ko cakap dlm group tuh? Lagi scary dr yg 1st la~~ Suka pengolahan, kalau sy, guna bahasa pasar ja.. HAHA.

    ReplyDelete
  2. Ada sambunganlah (sekuel dia, sedih sikit)

    ReplyDelete

Ohana :)