Salaam...mari kita teruskan dengan mentadabburi beberapa kelebihan lain bulan Ramadhan. Pada pos sebelum ini, saya telah menyatakan tiga kelebihan utama menurut beberapa potong hadith dari Sahihul Bukhari dan Sahih Muslim, yaitu; penjagaan adab, jaminan syurga dan pengiktirafan "bau orang berpuasa lebih wangi di sisi Allah dari kasturi".
Alangkah Pengasihnya Allah Subhanallahu wa Ta`ala terhadap kita, sedang kita selalu melalaikan rahmat serta rukhsah ke syurga yang Ia bentangkan di hadapan mata kita. Bagaimana lalaipun kita, pintu taubat dan pintu rahmatNya masih luas terbuka. *Hurmm... saya sendiripun terlalu berat untuk berubah, oleh itu; sama-samalah kita bermuhasabah diri.*
1. Limpahan rahmat Tuhan. Allah SWT turut memberikan perlindungan buat mereka yang memperhatikan puasa dengan penuh tekad perlindungan daripada sambaran hangat api neraka. Sesungguhnya, janji Allah itu amatlah benar dan jika diimani dengan sepenuh jiwa, maka tiada yang mustahil.
Allah SWT menutup pintu neraka, membuka pintu syurga, menghadiahi Lailat `Ul-Qadr, melipatganda pahala dan memberikan pula rukhsah dalam ibadah ini. Dia mengiktiraf mereka (yang berpuasa) dengan setinggi-tinggi pengiktirafan terhadap makhluk dan menjanjikan pula agar syaitan diikat, rahmat ditambah serta pintu pengampunan dibuka dengan seluasnya. Hibbah solat sunat tarawih dan jaminan Ar-Rayyan juga tidak patut kita lupakan. Subhanallah...
Belas kasihan Allah SWT tidak mungkin bisa terganti dengan apapun juga nikmat dunia. Menurut Khalid Al-Ghazali dalam tulisannya, 'Lautan Al-Fatihah', mukasurat 117-119 menyifatkan bahawa Allah SWT itu sangat tinggi nilai mawaddahNya terhadap makhluk. Meskipun kita ini tersangatlah hina jika dibandingkan dengan darjatNya sebagai Tuhan; limpahan kasih sayangNya lebih teguh dari kasih sayang seorang ibu terhadap anak kandungnya; menurut riwayat Ahmad (sila perbetulkan jika saya memberi sanad). Inilah yang diperkatakan dalam tiga potongan hadith Nabi seperti yang di bawah.
Sahih Muslim: Buku 006, No. 2570, 2571 dan 2572:
Abu Sa'id al Khudri r.a melaporkan bahawa Rasulullah (SAWS) bersabda: "Setiap hamba Allah yang melaksanakan puasa untuk sehari pada jalan Allah, (maka) Allah akan menjauhkan, kerana hari itu, mukanya jauh dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun jarak."
Sahih Bukhari: Jilid 3, Buku 31, No. 123:
Abu Hurairah r.a melaporkan bahawa Rasulullah (SAWS) bersabda: "Apabila Ramadhan bermula, pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup dan syaitan dirantai."
Sahih Bukhari: Jilid 3, Buku 31, No. 125:
Abu Hurairah r.a melaporkan bahawa, Rasulullah (SAWS) bersabda: "Barangsiapa mendirikan sembahyang pada malam Lailatul Qadr dengan keikhlasan iman sedang dia berharap ganjaran daripada Allah, maka semua dosanya yang lalu akan diampunkan; dan barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan keikhlasan iman, dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, maka kesemua dosanya yang lalu akan diampunkan."
*Semoga mendapat iktibar, dan:- selamat berpuasa! :)*
No comments:
Post a Comment