Salaam...hari ini, saya mahu menyentuh perihal hukuman nusyuz. Mungkin agak ringkas, oleh itu saya sarankan agar dibaca buku yang lebih komprehensif mengenai hal ini. *Dia akan menekankan pula perlakuan memukul isteri yang dianjurkan Al-Qur`an.* Terima kasih, Sven. Semoga Allah SWT menunjukkan jalan lurus dan baik pula, serta memberkati usaha ini dan meletakkan kita mulia pada pandanganNya dan mendapat lindungan `Arsy Allah. InshaAllah.
*Memukul isteri*
Sebenarnya dalam Islam, memukul isteri adalah perkara yang disyari`atkan kepada seluruh umat Muslimiin. Memukul isteri atau adhribu, menurut konteks Al-Qur`an adalah suatu jalan yang diambil untuk mendidik wanita. Memukul dalam Islam lebih banyak melibatkan penekanan terhadap aspek psikologi berbanding aspek fizikal.
*Memukul isteri!? Bukankah ianya zalim?*
Atas justifikasi apakah anda memperkatakan sedemikian? Apakah hanya ada sejenis pukulan saja, yakni, dengan kuatnya- ini adalah serangan Barat terhadap agama Islam dan ianya perlu diterangkan kepada anak muda agar mereka tidak tertipu dengan doktrin Islamofobia.
Sebenarnya dalam Islam, memukul isteri itu sangatlah ketat pelaksanaannya. Peraturan-peraturan ultra-ketat ini, pada saya; seolah-olah membisikkan perkataan: "Lebih baik jangan pukul!"
Jadi, bagaimana kita boleh menilai istilah memukul mereka (wanita; isteri kamu)? Senang saja, rujuki Al-Qur`an dan As-Sunnah. Sayugia diingatkan bahawa Al-Qur`an itu syumul dan perlukan panduan hadith untuk ditadabburi. Untuk kes memukul isteri ini, kita buka balik ayat yang membenarkan sedemikian itu (memukul isteri. Saya akan memotong ayat tersebut yang berkenaan dengan konteks pukul isteri) dan kita patut selak juga isi khutbah tawaf Wida' terakhir Rasulullah SAW yang menerangkan nusyuz.
Surah An-Nisa' ayat 34, Allah SWT telah berfirman: "...perempuan-perempuan yang kamu khawatirkan akan nusyuz, hendaklah kamu berikan nasihat kepada mereka, tinggalkanlah tempat mereka di tempat tidur dan pukullah mereka. Tetapi jika mereka mentaatimu, maka janganlah engkau mencari jalan untuk menyusahkannya pula. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar."
Maksud nusyuz adalah 'derhaka' (Haji Dusuki bin Haji Ahmad: 'Kamus Pengetahuan Islam'. Cet. 1988), dan dalam lingkup perbahasan kita kali ini, nusyuz dijelaskan dengan klausa 'menderhakai suami'. Menurut ayat ini, nusyuz dihukum dengan tiga lapisan balasan; menasihat, memisahkan tempat tidur dan akhir sekali barulah memukul
Apa yang saya faham mengenai ayat ini adalah, si lelaki perlu melaksanakan dua jenis hukuman terlebih dahulu, sebelum bergerak kepada metodologi memukul isteri. Dapat juga diringkaskan bahawa memukul isteri untuk mengelakkan nusyuz adalah metodologi terakhir. Tirmidzi, Abu Dawud, An-Nasa`ie dan Ibn Majah meriwayatkan bahawa memukul isteri adalah jalan terakhir.
Perlu diingat juga bahawa memukul HANYA halal apabila isteri dikhuatiri berlaku derhaka dan bukan dilakukan atas kehendak amarah suami. Haraam si lelaki mengambil kesempatan Surah An-Nisaa' ayat 34 itu untuk menjustifikasi perbuatan mengasari isteri tanpa hujjah yang kuat. Orang lelaki perlu ingat bahawa memukul wanita tanpa sebab kukuh, apalagi isteri sendiri akan membawa kepada hukum dayus. Dan mereka yang dayyus akan tidak akan menghidu bau syurga, tahu?
Jadi, memukul isteri memerlukan sebab yang kukuh dan untuk itu, memerlukan keimanan yang sangat hebat pula. Oleh sebab itulah, si lelaki diperintahkan untuk mendalami dahulu Islam dan mempertingkatkan iman sebelum ada autoriti memukul isteri.
Saya suka untuk mengulas peringkat kedua hukuman mengelakkan nusyuz itu, yakni mengasingkan tempat tidur. Sebagai seorang lelaki, saya melihat hukuman ini lebih kepada mendidik lelaki untuk bersabar kerana dalam berkeluarga (sila open-minded), pihak lelaki lebih tinggi tuntutan nafsunya. Justeru yang di"hukum" di sini adalah lelaki, sebenarnya. Pelik, bukan?
Apa yang saya dapat perkatakan adalah hukuman ini memberi serangan psikologi kepada isteri. Wanita ini, hatinya lembut dan luhur dan sedar bahawa lelaki adalah makhluk yang perlu dibelai (walaupun lelaki ego untuk mengakui hakikat ini). Dalam hukuman ini, menurut saya, akan membentuk semula rasa belas dan kasih terhadap suami. Sudah tentulah ini akan menjernihkan semula keadaan. Indahnya Islam...
Bergerak kepada proses menghambat isteri:- ini adalah bahagian yang paling misterius dan barangkali paling kontroversi dalam sistem matrimoni Islam. Untuk menjawab persoalan ini, saya memetik pendapat dua manusia hebat (Al-Fadhil Ustaz Eleas dan Al-Fadhil Ustaz Osman; dua-dua lulusan Al-Azhar) dan seorang penulis mantap.
Menurut Ustaz Eleas, memukul isteri merupakan perkara yang sanga tsukar untuk dilakukan. Ianya bertujuan untuk mendidik, tanpa doronngan amarah dan benci. Semata-mata bertujuan untuk memenuhi syari`ah Al-Qur`an dan bukan untuk memenuhi rasa dendam suami. Beliau menggariskan bahawa alat untuk memukul isteri adalah tidak lebih dari kain yang disimpul pada hujungnya. Cara pukulan pun, beliau terangkan. Tangan yang diangkat tidak patut terlalu tinggi sehingga menampakkan bulu ketiak (atau ketiak).
Ustaz Osman pula memiliki pendapat yang lebih ekstrim. Dalam ceramahnya 'Pengurusan Stres dalam Rumahtangga' pada 21 Julai 2011, beliau banyak kali menekankan "Jangan dipukul isteri kamu". Kenyataannya seperti bercanggah dengan syari`ah, tetapi jelas; benar-benar jelas beliau menyatakan betapa memukul isteri dengan betul itu sangat sukar. Takut saja tersilap niat, tersilap langkah. Selain itu, dinyatakan juga olehnya iktibar Nabi Ayub a.s yang berjanji merotan isterinya jika dia sembuh. Bagaimana dia pukul? Diambilnya seratus batang gandum dan dipukulnya si isteri dengan penuh berhati-hati. Dan ada bahagian ceramah beliau berkata, "Pukul isterimu pada hujung kain tanpa dia merasa sakit".
Dan akhir sekali, penulisan Saari Sungib:- 'Islam Demokrasi dan Hak Asasi Manusia'. Pada muka surat 84, pasal ke-11 yakni 'PerlindungaN Hak-Hak Lelaki dan Wanita Dalam Institusi Keluarga', beliau mengutarakan khutbah terakhir Rasulullah SAWS. Di dalamnya, tertulis hal berkenaan nusyuz. Disebutkan, pukulan untuk hukuman nusyuz mestilah ghayr mubarrih, bermaksud, tidak menyakitkan.
Pendapat Orientalis yang mengatakan Nabi Muhammad SAWS sebagai anti-feminis adalah suatu iasertasi yang bohong. Selidikilah di bawah ini, beberapa hadith yang menunjukkan Baginda SAWS mulanya bencikan manusia yang memukul isteri. Namun apabila diturunkan wahyu Surahtul Nisaa', ayat 34;
Diriwayatkan oleh Baihaqi r.a bahawa Rasulullah (SAWS) pernah berpesan bahawa: "Lelaki yang baik di kalangan kamu tidak akan memukul isterinya."
Abu Dawud, An-Nasa`ie, Ibn Majah, Ibn Hibban, Hakim dan Al-Baihaqi pula meriwayatkan bahawa Rasulullah (SAWS) bersabda: "Jangan sekali-kali kamu memukul wanita-wanita yang dicipta oleh Allah."
Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan bahawa Rasulullah (SAWS) bersabda: "Apakah ada dalam kalangan kamu yang memukul isterinya sebagaimana dia memukul hambanya dan kemudian menidurinya pada waktu malam?"
Tafsir Al-Manar pula menyebutkan bahawa setelah turunnya ayat [4: 34] itu, Rasulullah (SAWS) bersabda: "Aku menghendaki sesuatu yang lain, dan Allah mahukan sesuatu yang lain pula. Sesungguhnya apa yang dikehendaki Allah SWT itu adalah yang terbaik."
Ulama-ulama terdahulu ada juga menyebutkan secara teliti akan perihal ini. Imam Syafi`e menyatakan memukul isteri adalah antara larangan dan kebenaran. Bagi beliau, lebih baik untuk si suami untuk berhati-hati dan menjauhi kebenaran ini. Jumhur ulama dan para fuqaha dalam menyentuh perihal ini, mengatakan bahawa pukulan adalah bersiat simbolik dan tidak boleh bertujuan untuk menyakiti isteri.
At-Tabari menyatakan bahawa ulama terdahulu (awal islam) menyuruh agar digunakan kayu siwak untuk memukul isteri. Imam Al-Razi r.a jauh lebih radikal: hanya dibolehkan memukul isteri dengan sapu tangan berlipat!
Kesimpulannya, memukul isteri dalam Islam adalah sangat ketat termanya dan sangat sukar untuk dilepasi syaratnya. Saya berani katakan, "Lebih baik jangan dibuat, tetapi cari resolusi lain". Jalan Islam adalah jalan yang menyenangkan (HR. Ahmad). Jika perlu pun memukul isteri, janganlah melampaui batas-batas (HR. Ahmad) yang telah digariskan Islam (Allah, Nabiyullah SAWS dan jumhur). Selamat beramal. :)
Alhamdulillah, wallahua`lam fissawab.
No comments:
Post a Comment