Afzan mengeluh kesakitan. Kakinya semakin kebas sementara peluh semakin deras menitik. Sungguh tidak tertanggung sakitnya, apabila bagi setiap saat berdetik, batu yang menghimpit kaki kirinya itu dirasakan semakin berat. Hujung kakinya yang tersepit itu sudah tidak ada deria lagi. Dia cuba menolak tongkol batu itu beberapa kali, namun tiada makna. Tenaganya sudah habis setelah berjuang melawan keperitan sejak dua jam yang lalu.
Dia sebenarnya sedang dalam sabbatical leave sebagai geologis. Dia ditugaskan untuk meneliti efek kuartza yang ditinggalkan sebongkah asteroid yang menghempas bumi 2000 tahun dahulu. Masalah, kawasan kejadian terletak jauh di ngarai Yarlung Zanbo dan atas desakan tugas ini, beliau terpaksa meredah gaung terbesar di dunia itu. Dia dihantar menggunakan helikopter mini oleh kerajaan China kerana kajian itupun atas permintaan kerajaan China. Kononnya, kajian efek kuartza itu berpotensi untuk menjadi satu lagi kunci dalam membongkar misteri suku Dropa. Setengah jam dia menuruni denai ke kawasan kawah.
Setelah dua jam berjalan, barulah dia sedar bahawa dia tersalah membaca peta. Tersalah tafsir petunjuk dan grid tanah atas sebab peta yang diserahkan kepadanya dibuat dalam bahasa Cina. Menyedari itu, dia cuba menghubungi pejabat perhubungan pusat dan yang berdekatan, namun sia-sia kerana ketebalan awan di ngarai itu menghalang perembatan gelombang komunikasi. Yang menjawab panggilannya hanyalah desiran yang berterusan. Mencuba beberapa kali dan gagal. Dia meneruskan perjalanan mengikut gerak hati ditambah kepakaran membaca topografi bumi.
Sehinggalah dia berhadapan suatu jurang. Dibuangnya penglihatan ke dasar jurang itu.. dalam. Kemudian pandangan dialih kepada tebing sebelah sana. Luas jurang tidaklah seberapa, dengan perkiraan sendiri, dia yakin dapat melompat ke tebing sebelah. Berundur sepuluh langkah dan terus menarik nafas sedalam-dalamnya. Membaca basmalah dan menutup sebentar mata untuk menenangkan diri. Sebagai seorang atlit, dia tahu mata adalah komponen koordinasi dan psikomotor yang penting. Apa yang dilihatnya mempengaruhi interpretasi keadaan. Menutup mata mengurangkan sedikit rasa gundah itu. Membuka semula mata.
Setelah berasa selesa dan bersedia, dia memecut sepenuh upaya. Namun, baru sahaja menjejak tebing, tanah tempatnya berpijak runtuh dan badannya langsung melayang ke kedalaman yang menyediakan satu kepastian: mati. Dia lupa mengambil-kira keutuhan tanah dan itu amat dia kesalkan. Menutup mata; takut menghadapi kematian.
***********************************************************************
Membuka mata; langit kemerah-merahan, bersih dari tompokan awan melainkan serakan awan sirus yang turut berwarna jingga. Kedapatan sekawan burung bangau terbang melintasi kemerahan itu. Afzam duduk dan lantas cuba bangkit.
"AARGHH!!!"
Sakit. Cukup sakit sehingga air mata jantannya mengalir dengan tiba-tiba. Dilihatnya kaki kirinya dan serta-merta dia menjerit sekali lagi, memanggil emaknya. Seperti yang disebutkan tadi; apa yang mata nampak, itulah stimulus utama. Tadinya dia tidak merasa sakit namun setelah matanya menangkap situasi yang sedang dihadapinya sekarang, kesakitan mula menjalari jasad. Tidak terperi sakitnya, tatkala darah semakin deras menitik. Pendarahan dan serentak itu, dia tahu yang dia memerlukan hemostat segera. Mencapai beg sendeng yang tercampak kira-kira semeter darinya. Tiada hemostat. Sakitnya fraktur tibianya semakin pedih menggigit. Jeritan sahajalah yang mampu dibuat Afzam.
Dua jam bertarung dengan kesakitan, tenaganya habis. Sekarang menjeritpun tidak dia mampu, apalagi melakukan percubaan untuk melepaskan himpitan tongkol batu itu. Liputan radio dan telekomunikasi langsung tiada, sekaligus memutuskannya dari perhubungan luar. Yalah, mustahil apapun gelombang mampu menerobosi ketebalan kabus Yarlung Zanbo. Ditambah lagi malam yang semakin mendekati. Dengan mudahnya gelombang radio dibelau dan dihuru-harakan. Ketika itu, hanya ada satu perkara sahaja yang bermain di fikirannya: mati. Dia menutup mata, yakin itu akan berlaku.
(bersambung..)
No comments:
Post a Comment