Sunday, June 5, 2011

Hikmah


Hikmah #1: 
Keluarbiasaan akan sentiasa tercipta dari pemikiran biasa-biasa. Jika dilihat pada morfologi perkataan luar biasa itupu, kita dapat melihat dua perkataan biasa. Keluarbiasaan tercipta daripada minda yang biasa tetapi dengan azam yang menyala, merah membara. Pernah saya ditegur oleh seorang jurulatih Pembentukan Karakter sewaktu di maktab dahulu. Beliau berkata, "Kejayaan itu tercipta daripada seratus-peratus komitmen terhadap minat dan cita-cita. Usaha sahaja tidak cukup"
Hikmah #2: 
Tidak pernah lagi dunia menyaksikan pemimpin berdiri tanpa sahabat. Nabi Isa A.S, Nabi Muhammad S.A.W bahkan bapa kita, Nabi Adam A.S hidup bersahabat. Seakan Pencipta mengajar manusia akan betapa pentingnya berteman dalam hidup. Apatah lagi jika kita memegang jawatan sebagai pemimpin; mustahak untuk memiliki seorang penasihat yang setia untuk sentiasa menegur diri. 
Pemikir melihat seluruh semesta sebagai makmal mindanya; tetapi masih memahami serta mematuhi batas fikirnya.


Hikmah #3: 
Kebijaksanaan bukan sahaja kebolehan memvisikan masa depan; tetapi juga kemahiran menoleh ke belakang dan merenung keadaan sekarang. Manusia yang pinta mempunyai dua lapangan mata; fizikal dan mental, dan lapangan mental itu pula terpecah kepada prospek dan retrospek (ini adalah sekadar buah fikiran saya). Menguasai lapangan mata fizikal memang tidak mejadi masalah buat kebanyakan orang. Tetapi lapangan mental... tidak semua mampu menerajunya ke arah yang betul, malah, ada yang tidak langsung mampu mengemudi mindanya ke arah jalan yang benar.
Pengiktirafan siapa bijak dan siapa tidak itu, perlu diskusi yang panjang lebar, maka lebih baik untuk kita tidak pergi ke daerah falsafah itu. Cuma satu yang penting dalam membincangkan persoalan prioritas minda; apabila manusia menumpukan sepenuh perhatian pada kepentingan diri dan material, maka kepentingan altruistik dan spiritual akan tergendala *awak lari topik, kawan* ohh, maaf--maafkan saya. 
Hikmah #4: 
Bakat bukan persoalan ada atau tiada. Ia adalah persoalan mahu atau tidak mahu. Saya kira ini tidak perlukan penjelasan berpuluh kata. Bakat bagaikan pedang. Tidak digunakan, maka berkaratlah ia. Tidak diasah, maka tumpullah intensitasnya. Kita mampu memilih untuk menajamkan dan mengilatkan 'pedang' itu. Bakat tidak diukur dengan dirinya, tetapi diukur pada sikap yang dicurahkan ke atasnya.
Hikmah #5: 
Semakin banyak yang kita tahu, semakin sedikit yang kita perkatakan. Orang yang pandai sentiasa berfikir efek perkataannya. Ia selalu berkira-kira dalam meluahkan sesuatu; menyedari konsekuensi dan kelebihan memperkatakan sesuatu. Proses pertimbangan yang berjela-jela inilah yang selalunya menjadikan seseorang kelihatan pasif dan tidak berkata banyak. Cara yang senang untuk mengenalpasti manusia sebegini adalah dengan menanyakan soalan yang sukar seperti, "Bila semua ini bermula?" Jika dia terus menjawab dengan petah dan lancar, maka ketahuilah bahawa orang itu tidak berapa bijak. Namun jika dia mendiamkan diri, merenung dan tidak menjawab, sedarilah bahawa orang itu bijaksana. Saya mempunyai ramai kawan yang bersifat sebegini dan kontra dengan sikap mereka, saya senang melaah dengan persoalan sesukar itu.

No comments:

Post a Comment

Ohana :)