Thursday, July 14, 2011

Yang Kucari

Salaam...sedang mengikuti kuliah oleh Datin Che Balkis. Jujurnya:- isi kuliah menarik, tetapi entah kenapa, jiwa saya tidak boleh khusyuk dengan pengisian beliau. Yang terlintas dalam kepala otak sekarang adalah komen seorang teman (yang dia plagiat dari akhbar tertentu). Sungguh, ulama yang satu ini mengganggu rasionaliti diri. Nama tidak akan disebutkan, tetapi ciri beliau akan saya cuba kritik.

Menurut pemahaman saya, ada dua jenis ulama; satu ulama konservatif dan satu lagi ulama progresif. Ada juga ulama jenis ketiga, yakni ulama optimis, tetapi kita tinggalkan ianya. Tiada kaitan dengan ulama Perlis yang satu ini.

Ulama progresif adalah jenis ulama yang mengutamakan peredaran zaman. Bagi mereka, Islam agama yang fleksibel; murunah, dalam bahasa tasawwur dan selalunya tidak terlalu ketat dalam mengistinbat hukum. Mereka mengambil kira maslahah umum dan terkini, serta menimbang juga prinsip wasatiyyah. Golongan ini berpegang teguh kepada idea bahawa Islam tidaklah susah, dan tidak pula menyusahkan seperti yang diriwayatkan Imam Ahmad.

Kekurangan golongan ini adalah, sesetengah daripada mereka menonjolkan sifat ulama su`ul ulama. Ada yang sanggup mengorbankan hukum Allah serta manhaj Nabiullah SAW demi menyesuaikan Islam dengan keadaan semasa. Bukan mahu bertindak sebagai mujtahid, tetapi bukankah sudah jelas lagi bersuluh bahwa ulama begini mendukung neosekularisme?

Mereka yang mengorbankan hadith dan Sunnah Rasulullah SAW, serta mentakwilkan larangan baginda yang sudah mubin, sikapnya seperti peragu potensi Islam. Sampai hati mereka mendakwa hadith itu dan ini sebagai tidak relevan dan hanya praktikal pada zaman Abbasiyah demi memuaskan kehendak ramai.. astaghfirullahal aziim. Kita minta dijauhkan dari ilmuwan sedemikian. Jika anda inginkan kemodenan dan kemajuan, carilah mereka ini.

Bergerak kepada golongan yang seterusnya, yakni golongan ulama konservatif. Ulama jenis ini cenderung untuk menyamakan zaman Rasulullah SAW dengan zaman kita, demi menyesuaikan hukum dahulu dengan sekarang. Mereka sangatlah resistan--kalau bukanpun--teliti dalam menilai sesuatu perkara. Bagi mereka, masa dan keadaan tidak merubah hukum Allah SWT dan manhaj Rasulullah SAW kerana Allah SWT lebih tahu akan semuanya. Golongan konservatif ini juga agak ketat dalam mengistinbat sesuatu hukum, tetapi selalunya mementingkan kebenaran berbanding apa yang manusia Cenozoic gelar sebagai keadilan.

Acuan mereka seratus-peratus mengikut Sunnah dan tauladan Rasulullah SAW, tanpa mempedulikan cemuhan dunia terhadap mereka. Tiada apa yang mampu merubah jiwa mereka untuk berpaling dari jalan yang ditunjuki Tuhan dan untuk itu, tidak selalu mereka bertakwil dalam memahami hadith mahupun ayat Al-Qur'an itu sendiri. Mafhum diambil secara literal.

Seluruh jiwa raga mereka ditundukkan kepada Kehendak dan Perintah Allah SWT semata-mata, tanpa meninggalkan sedikitpun ruang bagi dunia menggoncang fahaman mereka. Akan selalulah diri berzikir dan beramal dengan Sunnah Rasulullah. Mereka tidak menghendaki dunia, bahkan menolaknya. Dunia ini--buat mereka--hanyalah debu pada Pandangan Tuhan Azzawajalla.

Mereka mungkin berperwatakan purba dan ketinggalan zaman pada mata kita. Mereka radikal tetapi mahir pula dalam ilmu agama. Yalah, keprihatinan dalam menjalani setiap saat demi Allah SWT, dengan manhaj `Ul-Islam menjadikan mereka ulama yang sangat fakih dalam pelbagai ilmu. 

Ulama konservatif adalah jenis yang sangat-sangat kita perlukan. Tidak gundah diasak arus globalisasi dan tidak randah dirodok gading kemodenan. Sangat merindui golongan ini. Jika anda inginkan Syurga, saya sarankan anda untuk mencari ulama sebegini.

Dan renungilah dua ayat Allah SWT ini:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." 
-Surahtul Hujuraat, ayat 1 

 "Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: Perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus."
 -Surahtul Hujuraat, ayat 7
"Bukalah hatimu pada kebenaran, dan sanjungilah kebenaran itu.  Perjuangkan ia, meskipun terpaksa kauhadapi seluruh dunia. Peluk cahaya itu erat-erat, kerana dengan itu, tiada mampu memisahkanmu dari janji Allah; keselamatan, kebahagiaan dan akhir nanti... SYURGA."

No comments:

Post a Comment

Ohana :)