Thursday, July 14, 2011

Sedikit Mengenai Muktazilah

Wassalam... hari ini mahu berbicara sedikit berkenaan sebuah mazhab yang pernah saya anuti dan saya pegang. Tapi dalam masa enam bulan sajalah, lebih kurang. Pertama kali membaca berkenaan mazhab ini adalah pada tahun 2010 dalam penulisan Dr Muhammad `Imarah, 'Islam dan Pluraliti'. Banyak keanehan mazhab ini, inshaAllah akan saya poskan pada masa lain.


Muktazilah adalah satu daripada 73 mazhab Islam yang pernah wujud di muka Bumi ini. Mazhab Muktazilah diasaskan oleh Washil ibn `Atha, setelah suatu insiden yang melibatkan pertelagahan beliau dengan guru tauhidnya sendiri; Hasanul Basri.

Ketika Hasanul Basri menyampai ceramah tazkirah berkenaan status kekafiran Muslim yang berdosa, Washil ibn `Atha membidas pendapat bahawa hanya terdapat dua situasi; sama ada kafir mahupun bukan kafir. Beliau berpendapat bahawa adalah tempat di tengah-tengah kekafiran dan keimanan, dan dari situlah, konsep pemahaman perrtama Muktazilah terbentuk:- 'manzila baina manzilatain' yang bermaksud 'tempat di antara dua tempat'.

Washil berijtihad bahawa seorang Muslim yang mati dalam melakukan dosa besar bukanlah kafir, dan bukan juga mukmin. Tempatnya (`asi yang beragama Muslim) adalah di neraka yang sejuk sedikit. Dan ini adalah fahaman yang menambah lagi jumlah mazhab yang bertengkar mengenai akhirat, di mana kita tahu, Murji`ah dan Khawarij berijtihad bahwa si Muslim yang mati tanpa bertaubat setelah melakukan dosa kabir adalah mukmin dan kafir secara respektifnya.

Hal ini bertentangan dengan dogma Ahlus Sunnah yang menyatakan bahawa orang Muslim yang belum bertaubat dari dosa-dosanya akan dimasukkan dahulu ke neraka dalam beberapa waktu, sebelum dimasukkan ke syurga untuk hidup bersama-sama penghuni Jannah.

Mazhab Muktazilah tumbuh ketika zaman Ummayah dan mencapai kegemilangan pada zaman khalifah Abbasiyah. Mereka terlalu fanatik dalam menggunapakai aqal sehingga mentakwilkan malah menghapuskan nas-nas yang bertentangan dengan fahaman mereka. Pada mereka, 'Keadilan Allah' yang sangat mutlak, membenarkan manusia untuk memilih tindakannya, tanpa ada intervensi daripada Allah SWT. Setiap perbuatan manusia bagi mereka, adalah atas kudrat dan iradat yang telah Allah SWT berikan kepada mereka.

Fahaman ini berubah menjadi suatu penghinaan terhadap Tuhan apabila puak Muktazilah  memprojeksikan diri mereka sebagai manusia yang percaya bahawa Allah SWT tidak tahu apa yang akan manusia buat selepas ini. Ini adalah suatu kekarutan kerana Allah SWT Tuhan yang Maha Mengetahui, bahkan Dialah yang menyusun taqdir.

Berbalik kepada isu mubah, tiada bezanya. Muktazilah adalah antara beberapa mazhab yang terbentuk atas perselisihan akidah, dan bukan akibat perpecahan politik. Masih ada sebahagian sarjana serta intelektualis Islam yang menganut kefahaman ini. Wallahu`alam.
"Alaisallahu biahkamil hakimiin"

No comments:

Post a Comment

Ohana :)