Salaam...ini adalah sekuel terakhir bagi siri 'Kenapa Perlu Ditumbangkan Kerajaan (Bahagian I)' dan 'Kenapa Perlu Ditumbangkan Kerajaan (Bahagian II)'. Untuk entri ini: lebih bersifat pendapat sendiri dan segala apa yang saya nukilkan di sini, saya sedia bertanggungjawab. Begini...
Buat penyokong 'BERSIH 2.0' yang beragama...ketahuilah bahawa Islam mengharamkan perbuatan menderhakai pemberontak, apatah jika anda bermazhab Ahlus Sunnah Wal Jama`ah, Salafi atau Ashaab `Ul-Hadeeth. Ya, Islam mengajarkan kebencian terhadap korupsi dan kezaliman, tetapi Islam juga mengajarkan kita bahawa niat tidak menghalalkan cara. Lagipula, bukankah ada Dewan Parlimen untuk membahaskan isu ini? Kenapa perlu berdemonstrasi?
Saya juga ingin menyangkal tuduhan Malaysia bukan negara Islam. Menurut tafsiran Abu Hanifah, Muhammad Abu Zahrah, Yusuf `Ul-Qardhawi dan Dr. Wahbah Az-Zuhaili, negara Islam adalah negara di mana umat Islam mampu hidup dan berasa aman, tenang serta bahagia. Menurut definisi empat tokoh ini, Malaysia masih bergelar negara Islam. Begitupun, label fasik di belakang frasa negara Islam tidak dapat dibuang. Untuk ini, saya mengakui bahawa Kerajaan perlu melakukan sesuatu.
Syed Qutb, Abu Bakar Zaidan, Al Maududi dan ramai lagi tokoh mengatakan bahawa negara Islam adalah negara yang mengamalkan hukum Islam. Penjelasan mudah saya utarakan; saya tidak dapat nafikan bahawa Kerajaan gagal untuk memenuhi syarat pengimplementasian hukum Islam di Malaysia. Namun sejauh manakah anda dapat menjamin bahawa Pakatan Rakyat mampu melaksanakan hukum Islaam. Setakat ini, saya tidak dapat melihat potensi itu.
Satu lagi perkara yang saya ingin utarakan adalah persoalan untuk diri-sendiri. Kita lakukan demostrasi untuk menegakkan keadilan dan kebenaran, sedang diri-sendiri hanyut dalam arus hiburan. Tidak sedikit kawan saya yang tinggal di maktab ini yang menyokong Pakatan Rakyat dan 'BERSIH 2.0' meninggalkan hidup Islami. Siapalah saya untuk menegur, namun sekurang-kurangnya, biarlah natijah yang kita kejar bersesuaian dengan cara hidup kita.
Dr Muhammad Imarah ada menekankan dengan sungguh-sungguh pembaikan pada peringkat diri-sendiri. Yang paling perlu berubah adalah diri kita; dekatkan diri dengan amalan Nabi Muhammad SAWS dan Para Sahabat. Istilah istikhlaf serta islah diri perlu dimengertikan, lalu dipraktikkan. Ada kepercayaan kuat dalam diri saya, bahawa, apabila kita berjaya mengIslamkan diri-sendiri sepenuhnya, urusan lain yang bersangkutan dengan isu integriti dalam parti dan pilihan raya pasti akan terlaksana.
Tinggalkan perkara laghoh dan melalaikan. Jika Liga FA itu menyebabkan anda lupa dengan solat Subuh, tinggalkan. Jaga pertuturan dan patuhi garis perbualan. Jangan melayan program bodoh + jahil seperti Maharaja Lawak, Akademi Fantasia, Mentor dan sebagainya. Apalagi mengundi.
Beriadah, jaga aurat dan pandangan. Amalkan amal ma`ruf nafi mungkar serta elakkan pergaduhan. Tumpukan juga sepenuh tenaga pada pelajaran dan cuba tumbuhkan dalam diri dengan minat terhadap pendalaman subjek agama.
Saya mengakui, banyak daripada perkara di atas, saya sendiri tidak mampu laksanakan. Tetapi bukankah lebih baik untuk ada kesedaran sedemikian lalu dengan kesedaran itu, menidakkan demonstrasi berbanding tiada kesedaran lalu membuta-tuli, mengotorkan nama Islam dengan berkata, "Nabi Muhammad SAW juga pasti melakukan sedemikian (demonstrasi)!"
Saya bukan pro-UMNO; saya cuma pro-Islam. Dan sebagaimana Islam menyuruh taat pada Datuk Sri Najib, begitulah juga taatnya saya pada beliau. Tiada jalan lain. Kalau mahu ada jalan lain, undi saja Parti Keadilan Rakyat pada PRU13 nanti, saya tiada masalah. Sementara itu, biarkan saya tidur lena.
Akhir kata, izinkan saya berkongsi petikan sebuah hadith dan kata-kata dari ulama agung, Imam asy-Syaukani Rahimahullah:
لَتَتْبَعُنَّ سَنَنَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ شِبْرًا شِبْرًا وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا جُحْرَ ضَبٍّ تَبِعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ"Sesungguhnya akan ada dari kalangan kamu (umat Muhammad) yang mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kamu akan mengikutinya." Kami (para sahabat) bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah yang engkau maksudkan itu (jalan) Yahudi dan Nasara?" Beliau menjawab, "Siapa lagi (sekiranya bukan mereka)?" (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/298, no. 6775)
ويؤدب من يثبط عنه” فالواجب دفعه عن هذا التثبيط فإن كف وإلا كان مستحقا لتغليظ العقوبة والحيلولة بينه وبين من صار يسعى لديه بالتثبيط بحبس أو غيره لأنه مرتكب لمحرم عظيم وساع في إثارة فتنة تراق بسببها الدماء وتهتك عندها الحرم وفي هذا التثبيط نزع ليدهمن طاعة الإمام"Orang yang melakukan provokasi dan kekacauan (membakar emosi rakyat) untuk membenci pemerintah, mereka wajib diberi hukuman, maka yang diwajibkan adalah menghentikan perbuatannya (agar tidak timbul kekacauan). Jika mereka tidak juga berhenti dari melakukan kekacauan (provokasi tersebut), maka mereka berhak mendapat hukuman yang berat dan dipisahkan daripada orang-orang yang mereka provokasikan, sama ada dengan cara dipenjara atau selainnya. Ini adalah kerana mereka telah melakukan suatu perkara yang sangat-sangat diharamkan dan dalam masa yang sama telah berusaha menyebar fitnah yang berpotensi mengakibatkan pertumpahan darah serta mencemarkan kehormatan yang menodai harga diri. Provokasi seperti inilah yang menyebabkan seseorang keluar dari ketaatan terhadap pemerintah." (asy-Syaukani, as-Sailul Jarrar, 1/942 – Maktabah Syamilah).
Wassalam dan wallahu`alam.
*SAYA SAYANG ALLAH::*
*::SAYA SAYANG ISLAM::*
*::SAYA SAYANG RASULULLAH SAWS::*
No comments:
Post a Comment